Super Mario Run merupakan antara permua terawal yang diterbitkan oleh Nintendo. Dikeluarkan pada Disember 2016 untuk iOS dan Mac 2017 untuk Android, permua ini sudah menghampiri tahun kedua pengeluaran.
Berdasarkan rekod tidak rasmi yang dipantau oleh Sensor Tower, setakat ini Super Mario Run telah menjana $60 juta untuk Nintendo. Ia merupakan satu nilai yang besar akan tetapi jika dilihat kepada IP yang digunakan iaitu Mario jumlah tersebut tidak lah boleh dibanggakan.
Jika dibandingkan dengan permua Nintendo yang lain seperti Animal Crossing dan Fire Emblem, Super Mario Run agak jauh ketinggalan akan tetapi ini mungkin disebabkan berbeza dengan dua permua tersebut, Super Mario Run tidak mempunyai mikro-transaksi sebaliknya sekadar satu bayaran untuk membuka keseluruhan permainan.
Berdasarkan laporan sebelum ini, Super Mario Run mempunyai 20 juta pemain aktif setiap bulan akan tetapi peratusan yang besar adalah pemain yang tidak membeli permainan ini sepenuhnya dan mungkin sekadar mencuba.
Jika mengikut peranti, 77% pendapatan adalah dijana oleh iOS manakala 23% untuk Android. Jika mengikut negara Amerika Syarikat menjana 43% pendapatan diikuti 17% dari Jepun.
Nintendo sebelum ini tidak berpuas hati dengan pendapatan yang dijana oleh permua dan ingin meningkatkan pendapatan tersebut, kemungkinan atas sebab ini mereka tidak akan lagi mengeluarkan permua seumpama Super Mario Run sebaliknya akan mengeluarkan permua seperti Animal Crossing dan Fire Emblem yang mempunyai mikro-transaksi.
Permua seterusnya oleh Nintendo adalah Mario Kart Tour yang akan dikeluarkan pada Mac 2019 dan kemungkinan besar akan mengikut sistem Animal Crossing berbanding Super Mario Run.