Permasalahan rentas-platform makin menjadi topik yang dipersoalkan di dalam industri permainan video. Walaupun ia bukan satu topik yang baru tetapi kini baru mula menjadi sesuatu yang penting. Ada pelbagai sebab akan tetapi fenomena battle royale terutama Fortnite yang giat mengeluarkan permainan mereka untuk pelbagai platform membantu membesarkan api rentas-platform.
Tambahan dengan adanya Switch yang merupakan konsol hibrid menjadi kegemaran ramai untuk dijadikan sebagai konsol kedua mereka walaupun sudah memiliki Playstation 4 ataupun Xbox One.
Penulisan ini adalah pendapat saya mengenai perkara ini dah secara khususnya mengapa Sony sepatutnya tidak menjadi syarikat yang sebelum ini mereka ejek. Sebelum itu, saya ingin terangkan serba sedikit mengenai kepentingan rentas-platform.
Ada pelbagai sebab pemain ingin fungsi rentas-platform ini di adakan, pertama untuk pemain yang memiliki lebih daripada satu platform. Contohnya seorang pemain yang memiliki Playstation 4 dan PC, sudah semestinya pemain tersebut ingin bermain permainan mereka di kedua-dua platform menggunakan akaun atau simpanan fail yang sama.
Kedua, pemain yang hanya memiliki satu konsol akan tetapi mempunyai rakan yang menggunakan konsol yang lain. Untuk mereka dapat bermain bersama fungsi rentas-platform ini diperlukan. Inilah yang baru-baru ini Microsoft dan Nintendo mengejek Sony melalui iklan untuk Minecraft yang pemain di Xbox One boleh bermain bersama pemain di Switch.
Ketiga, secara amnya fungsi rentas-platform ini akan mencipta satu komuniti yang lebih luas. Pemain di Playstation 4 tidak lagi perlu hanya mengharapkan pemain di konsol yang sama sahaja sebaliknya mereka dapat menjumpai rakan permainan di atas talian yang menggunakan konsol-konsol lain.
Fungsi ini mempunyai pelbagai perkara yang positif akan tetapi Sony masih berdegil dan terus kukuh dengan keputusan mereka untuk menutup rangkaian Playstation 4. Sebelum ini bekas ketua pembangun Sony melalui kuciran di akaun Twitter beliau mengatakan sebab utama adalah wang.
Mungkin ramai yang masih sinis dengan kenyataan tersebut kerana dinyatakan oleh seorang bekas pembangun Sony dan bukanya dari Sony sendiri. Melalui temubual terbaru ketua pengawal eksekutif Sony Interactive Entertainment America Shawn Layden bersama dengan Eurogamer, beliau mengatakan mereka mendengar permintaan oleh pemain dan melihat pelbagai kemungkinan untuk memberikan jalan penyelesaian yang boleh diterima oleh pemain dan juga perniagaan mereka.
Walaupun kenyataan tersebut adalah lebih baik berbanding kenyataan Sony sebelum ini yang hanya memberitahu yang mereka sudah menjual 79 juta unit Playstation 4 dengan kata lain komuniti Playstation sendiri sudah cukup tetapi apa yang menariknya adalah mereka mencari jalan penyelesaian yang turut baik untuk ‘perniagaan’ mereka.
Berdasarkan kenyataan tersebut jelas sebab utama Sony tidak membuka fungsi rentas platform sepenuhnya adalah disebabkan oleh wang sepertimana yang diperkatakan sebelum ini. Dengan kata lain, Sony tidak menyukai pemain membeli barangan di dalam permainan di platform lain terutama Xbox One ataupun Switch kemudiannya menggunakan barangan tersebut di Playstation 4. Ini akan menjadi satu kerugian untuk Sony kerana setiap pembelian di dalam permainan akan memberi sedikit peratusan kepada pengeluar konsol tersebut.
Tidak dapat dinafikan ini adalah perkara yang perlu dipertimbangkan oleh Sony akan tetapi bagi saya Sony yang sedang mendahului ‘perlumbaan’ konsol terutama berbanding Microsoft seharusnya menjadi lebih baik dan tidak terlalu memikirkan keuntungan sehingga mengenepikan pemain.
Jika ketika E3 2013, Sony mengejek Microsoft kerana pelbagai polisi yang yang dikeluarkan oleh Microsoft, yang Microsoft kemudiannya menukarnya agak ironi jika sekarang Microsoft pula mempunyai peluru untuk mengejek Sony kerana polisi mereka.
Saya sudah tentunya tidak tahu secara penuh mengenai perniagaan Sony dan maklumat dalaman mereka tetapi berikut adalah pandangan saya untuk mengapa Sony harus membuka fungsi rentas-platform secara sepenuhnya.
Pertama, Sony mempunyai lebih ramai pemain ini diperkatakan sendiri oleh mereka dengan mengatakan 79 juta unit Playstation 4 sudah terjual. Daripada jumlah tersebut hanya sebilangan kecil sahaja yang turut memiliki konsol lain, adakah kerana sebilangan kecil yang mungkin menggunakan konsol lain untuk membeli menyebabkan Sony menutup fungsi ini sepenuhnya? Bagi saya itu adalah satu tindakan yang lemah.
Kedua, Sony mempunyai pelbagai cara lain untuk memastikan sebilangan kecil yang memiliki konsol lain menggunakan konsol mereka untuk membeli barangan di dalam permainan. Antaranya mereka boleh mengadakan jualan promosi melalui Playstation Store mereka juga boleh bekerjasama dengan Fortnite contohnya untuk menjual sesuatu barangan eksklusif untuk di Playstation Store walaupun boleh menggunakan barangan tersebut di kesemua platform.
Ketiga, Sony juga mempunyai langganan PS Plus yang menjana kewangan untuk mereka walaupun pemain (sebilangan kecil) membeli barangan di dalam permainan di platform lain. Sesetengah permainan memerlukan PS Plus untuk bermain secara atas talian, dan agak tamak untuk menutup rentas-platform sedangkan mereka sudah meminta bayaran untuk menggunakan fungsi tersebut.
Berdasarkan kenyataan Shawn Layden saya mempunyai harapan yang tinggi perkara ini akan diselesaikan dengan cara yang memuaskan pemain. Sebab utama saya ingin perkara ini diselesaikan sekarang agar permasalahan ini tidak terbawa ke generasi seterusnya untuk konsol.
Ini adalah pendapat saya, dan sudah semestinya Sony yang sering mengatakan mereka adalah syarikat yang mesra pemain harus melakukan satu keputusan yang tepat. Bagaimana dengan anda, haruskah Sony menyerah kalah dan mengikut kehendak pemain atapu mereka terlalu besar dan tidak perlu melakukan apa-apa?