Minggu lepas, Epic Games mengumumkan permainan Fortnite kini tiba di konsol hibrid terkenal, iaitu Nintendo Switch. Namun begitu, bagi mereka yang bermain permainan Fortnite di Playstation 4 ataupun menghubungkan akaun Epic Games dengan konsol Playstation 4, akaun tersebut tidak boleh digunakan untuk Switch.
Tindakan ini sekaligus mendapat cacian oleh ramai pemain seluruh dunia kerana mereka perlu menghasilkan akaun baru untuk bermain Fortnite di Switch buat mereka yang telahpun bermainnya di konsol Playstation 4. Malah bagi mereka yang telah pun menghabiskan wang untuk mikro-transaksi di konsol tersebut, dengan halangan ini mereka tidak boleh membawanya ke konsol Switch.
Namun, baru-baru ini John Smedley, iaitu bekas ketua pembangun permainan Planetside 2 dan H1Z1 di konsol Playstation dibawah syarikat Daybreak Game Company menyatakan bahawa puncanya adalah wang.
Berdasarkan Tweet yang dikongsikan oleh beliau, beliau menyatakan bahawa pihak Sony tidak ingin pemain yang membeli sesuatu melalui konsol Xbox dan menggunakannya di konsol Playstation. Namun, Tweet yang dikongsikan oleh John Smedley telahpun dipadam.
Ini bermaksud, sebagai contoh permainan Fortnite, Sony tidak menyukai jika pemain membeli sebarang kandungan permainan Fortnite di konsol Xbox One, melalui Xbox Live dan log masuk ke akaun Playstation Network dengan menggunakan kandungan tersebut di konsol Playstation 4.
Berkenaan rentas-platform yang dihalang oleh Sony pula, Sony sebelum ini menyatakan bahawa mereka sememangnya ingin menghasilkan komuniti pemain melalui rentas-platform Playstation 4 bersama pengguna PC, Mac dan permua di iOS dan Android.
Namun, kenyataan tersebut tidak memberi sebarang jawapan berkenaan rentas-platform antara Xbox One dan Nintendo Switch, sekaligus kami berasa kenyataan John Smedley adalah betul.
Namun buat masa ini, pihak Sony mahupun Epic Games tidak memberi sebarang kenyataan tambahan mahupun sebarang penyelesaian berkenaan perkara tersebut.
Pada pendapat kami sendiri, ini merupakan satu tindakan yang agak kurang bijak memandang dengan membuka permainan Fortnite secara rentas-platform kami percaya ianya akan memberi peluang komuniti yang lebih besar bukan sahaja di konsol Playstation 4, malah kesemua konsol permainan antara pemain.
Kami percaya jika pemain mendesak pihak Playstation, mungkin pada masa akan datang mereka akan membuka peluang rentas-platform buat konsol permainan?
Apakah pendapat anda berkenaan perkara ini dan bagi anda yang ingin menyertai petisyen yang dilakukan oleh Dexerto berkenaan berkara ini, anda boleh melakukan perkara sedemikian melalui pautan ini.