Skip to main content

Sebelum ini, kami melaporkan bahawa permainan Devil May Cry 5 yang diumumkan sebelum ini akan dilancarkan lebih awal oleh Capcom yang mana kini, menurut mereka, pembangunan permainan tersebut telahpun berada di peringkat 75% hampir selesai.

Capcom juga berkongsi sebilangan informasi terbaru buat permainan tersebut dimana penjahat bagi Devil May Cry 5 merupakan penjahat terkuat pernah para watak Devil May Cry hadapi. Penceritaan permainan tersebut juga akan memfokuskan adegan yang berlangsung di kedua-dua dunia manusia dan dunia syaitan. Namun dari segi nama penjahat tersebut, Capcom masih belum berkongsi berkenaannya.

Manakala Nero pula akan mendapatkan semula sesuatu yang dirampas olehnya, dan seperti yang dipertontonkan di trailer video permainan sebelum ini, kami pasti ianya berkaitan dengan tangan syaitan Devil Bringer beliau.

Selain itu, pengarah permainan tersebut, Hideaki Itsuno juga berkongsi sebilangan informasi tambahan berkenaan permainan tersebut.

Menurut beliau, permainan ini bertempatkan beberapa tahun selepas permainan Devil May Cry 4 dimana Nero, dihadiahkan oleh Dante sebuah tanda lampu Neon, “Devil May Cry”. Melaluinya, Nero menghasilkan satu agensi pemburu syaitan mudah-alih bersama-sama dengan kenderaan van beliau dan menurut Hideaki Itsuno, penceritaan Devil May Cry 5 bermula disitu.

Terdapat pelbagai perkara baru berkenaan Devil May Cry 5 dimana pengarah permainan tersebut menyatakan bahawa antara perkara baru adalah lengan robotik baru Nero, iaitu Devil Breaker. Beliau juga menyatakan dengan menggunakan enjin permainan RE Engine, mereka berjaya menghasilkan visual grafik permainan yang lebih foto realistik.

Pada akhir video tersebut, Hideaki Itsuno menyatakan bahawa demo permainan tersebut boleh dimainkan ketika acara Gamescom 2018 yang akan berlangsung pada Ogos ini.

Devil May Cry 5 merupakan sekuel kepada Devil May Cry 4 yang dilancarkan 10 tahun lepas. Kali ini, Capcom membawa kembali watak-watak daripada permainan sebelum ini dan terus melupakan permainan Devil May Cry DmC daripada Ninja Theory 2013 lepas. Pemain akan boleh memainkan tiga watak dalam permainan Devil May Cry 5 ini, dan ianya masih lagi mengekalkan bentuk permainan aksi pantas antara senjata api dan pedang. Menurut Capcom, permainan ini akan dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan PC pada tahun 2019 ini.

Bagi sebarang informasi lanjut berkenaan permainan tersebut, kami akan kongsikanya apabila Capcom mengumumkannya kelak.

Leave a Reply