Nampaknya selain permainan God Of War, CyberPunk 2077 yang diumumkan oleh CD Projekt Red baru-baru ini juga tidak akan mempunyai sebarang skrin pemuatan. Tampaknya, dengan teknologi terkini CD Projekt Red juga mengambil langkah seperti Santa Monica Studio untuk menghasilkan permainan yang tanpa skrin pemuatan.

Skrin pemuatan (Loading Screen) merupakan salah satu fungsi yang sering berada di dalam permainan dunia terbuka untuk mengakses sebilangan tempat memandangkan sesuatu peranti tidak berupaya untuk menjana kesemua kandungan dunia permainan tersebut.

Pengarah rekaan permainan CD Projekt Red, Kyle Rowley menyatakan bahawa setelah pemain memasuki permainan buat pertama kalinya, skrin pemuatan tidak akan dipaparkan selepas itu.

Namun, sememangnya teknik ini bukanlah sesuatu yang baru malah melalui permainan God Of War sebelum ini, pembangun Santa Monica Studio sebenarnya menggantikan skrin pemuatan tersebut dengan adegan permainan ataupun dalam bentuk watak permainan melakukan sesuatu yang pemain tidak boleh mengawalnya untuk menggantikan skrin pemuatan tersebut.

Kami percaya, CD Projekt Red akan menggunakan teknik yang hampir sama. Namun, fungsi ini juga memberi impak yang menarik memandangkan permainan tersebut akan dimainkan secara terus dalam bentuk masa-nyata sekaligus memberi pengalaman permainan yang lebih menarik.

Cyberpunk 2077 merupakan permainan seterusnya oleh CD Projekt Red, dimana mereka terkenal dengan siri permainan The Witcher. Dengan bertempatkan di kawasan bandar futuristik, Cyberpunk 2077 akan membawa pemain di dalam permainan berbentuk dunia terbuka RPG. Buat masa ini, CD Projekt Red masih belum berkongsi sebarang tarikh pelancaran bagi permainan tersebut mahupun platform permainan.

Sohor Kini