Semalam ketika acara persidangan Square-Enix, mereka berkongsi sebilangan versi permainan bersama trailer baru. Hari ini, melalui persidangan Sony, Square-Enix sekali lagi mempertontonkan trailer baru buat permainan Kingdom Hearts 3 dan mengumum sebilangan pengumuman baru.
Trailer baru yang dipertontonkan memaparkan dunia Pirates Of The Caribbean kini kembali buat permainan Kingdom Hearts 3 dan kali ini kostum Sora juga berubah. Trailer tersebut juga memaparkan visual grafik yang sangat cantik buat watak-watak Pirates Of The Caribbean seperti Captain Jack Sparrow dan juga Barbossa.
Dari segi kawalan permainan pula, tampaknya Sora juga bakal mempunyai pelbagai jenis serangan unik berdasarkan dunia tersebut dan bukan sahaja beliau berupaya bertempur di udara, malah bentuk permainan yang dipertontonkan hampir kelihatan seolah berada di dalam bentuk dunia terbuka.
Apa yang menarik sekali bagi kami adalah mod pertempuran kapal yang mengingatkan kami dengan permainan Skulls And Bones yang mana juga akan disertakan melalui permainan Kingdom Hearts 3 tersebut. Dari segi penembakan merian dan juga menaiki kapal musuh, tampaknya Square-Enix mengambil beberapa elemen daripada permainan Ubisoft dan membawanya di dunia Pirates Of The Caribbean buat Kingdom Hearts 3.
Selain daripada itu, Square-Enix juga memperlihatkan konsol Playstation 4 edisi terhad buat Kingdom Hearts 3 yang mana ia juga akan menyertakan alat kawalan Dualshock 4 dengan rekaan permainan tersebut. Dari segi rekaan konsol pula, ia kelihatan seolah rekaan-rekaan senjata Keyblade berada di atas lapisan Playstation 4 Pro tersebut.
Buat mereka yang masih lagi belum pernah bermain siri permainan Kingdom Hearts, Square-Enix juga mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan edisi lengkap permainan tersebut iaitu Kingdom Hearts All-One-Package dimana ia kini boleh dipra-tempah melalui PSN Store dengan harga $99.99(~RM400). Mereka juga akan menyertakan edisi lengkap permainan ini bersama buat setiap pembelian edisi terhad Playstation 4 Pro diatas.
Kingdom Hearts 3 bakal tiba di Playstation 4 dan Xbox pada 29 Januari 2019 ini.