Informasi Permainan Video Terkini
Pandang Pertama Pokemon Quest – Permainan Yang Lebih Sesuai Sebagai Permua

Pandang Pertama Pokemon Quest – Permainan Yang Lebih Sesuai Sebagai Permua

Diterbitkan pada Mei 31, 2018 oleh .

Semasa acara khas yang dianjurkan oleh The Pokemon Company di Jepun mereka mengumumkan dua permainan terbaru Pokemon iaitu Pokemon Let’s Go untuk Switch dan Pokemon Quest (PQ) untuk Switch dan juga permua.

PQ kini boleh dimuat turun melalui eShop untuk Switch, pengeluaran permua masih tidak diumumkan lagi tetapi bakal tiba kemungkinan besar pada bulan hadapan. Permainan ini adalah percuma untuk dimuat turun dan Nintendo menggunakan terma “free-to-start”.

Grafik untuk permainan ini agak ringkas dan berbentuk bongkah. Walaupun Pokemon yang ada adalah berpetak-petak tetapi tetap comel, dan warna permainan ini yang terang lebih menjadikan grafik yang ditampilkan menarik.

Kami kini sedang mencuba permainan ini dan selepas beberapa jam berikut adalah pendapat kami berdasarkan pandang pertama.

Luaskan Kawasan Anda

PQ akan membawa pemain ke kepulauan Tumblecube di mana seperti permainan-permainan Pokemon yang lain pertempuran dan menangkap Pokemon adalah teknik permainan utama.

Di kepulauan ini akan terdapat beberapa kawasan yang pemain boleh lawati. Setiap kawasan akan mempunyai beberapa peringkat, dan setiap peringkat pemain akan membawa 3 ekor Pokemon yang dipanggil sebagai satu pasukan.

Di peringkat ini pemain akan melalui beberapa wave, setiap peringkat mempunyai jumlah wave yang berbeza. Setiap wave akan membuatkan pasukan anda bertempur dengan Pokemon liar di pengakhiran wave akan mempunyai Boss Fight di mana pemain akan bertempur dengan Pokemon yang lebih kuat berbanding Pokemon liar ketika wave.

Pertempuran adalah agak senang, Pokemon anda akan bergerak sendiri mencari Pokemon liar, dan akan menyerang secara automatik tanpa memerlukan sebarang arahan dari pemain. Setiap Pokemon akan mempunyai kekuasaan tersendiri dan pemain boleh mengawal kekuasaan tersebut tetapi ada juga pilihan untuk menjadikannya automatik dengan kata lain anda tidak perlu memberikan apa-apa arahan dan sekadar melihat.

Bergantung kepada kekuatan Pokemon anda, pertempuran mungkin menjadi sukar dan Pokemon anda akan tercedera, apabila kritikal Pokemon anda akan kembali ke Pokeball, tetapi selepas beberapa ketika Pokemon tersebut akan kembali bertempur, oleh sebab itu selagi bukan ketiga-tiga Pokemon anda mati serentak, wave ataupun Boss Fight tidak akan berakhir.

Setiap kali menyelesaikan satu kawasan tersebut, pemain akan mendapat pelbagai barangan yang boleh digunakan untuk meningkatkan kuasa ataupun nyawa Pokemon anda, ini akan diterangkan di bahagian seterusnya. Selain itu pemain juga akan mendapat bahan-bahan masakan (untuk apa? penerangan di bahagian Masak Memasak) dan juga meningkatkan tahap Pokemon anda.

Setakat ini kami baru sahaja menyelesaikan tiga kawasan, dan sedang bermain di kawasan keempat yang dibuka setelah anda menghabiskan terlebih dahulu kawasan lain. Kami hanya menggunakan sistem automatik untuk semua jenis serangan biasa atau kuasa dan dapat menyelesaikan kawasan-kawasan tersebut tanpa sebarang masalah selagi kekuatan kumpulan anda adalah lebih tinggi berbanding kekuatan kawasan tersebut.

Mungkin untuk kawasan-kawasan yang lain akan menjadi lebih sukar akan tetapi setakat ini, pertempuran adalah terlalu senang dan anda sekadar melihat Pokemon-Pokemon anda melompat dan bertempur dengan comelnya.

Kuatkan Pokemon Anda

Antara barangan yang diperoleh apabila menyelesaikan sesuatu peringkat adalah Mighty Stone dan Sturdy Stone. Mighty Stone digunakan untuk meningkatkan kekuatan serangan Pokemon anda dan Sturdy Stone digunakan untuk menambah nyawa ataupun ketahanan Pokemon anda.

Setiap Pokemon mempunyai jumlah slot yang berbeza untuk Mighty Stone dan Sturdy Stone. Setiap kali Pokemon meningkat tahap, lebih banyak slot akan dibuka membolehkan anda meletak lebih banyak Mighty Stone ataupun Sturdy Stone.

Selain itu terdapat juga Stone kuasa yang meningkatkan kebolehan kuasa Pokemon anda, contohnya Wait Less Stone yang mengurangkan durasi masa menunggu untuk menggunakan sesuatu kuasa. Dengan adanya Stone ini menjadikan permainan ini lebih menarik berbanding pertempuran yang sedikit membosankan. Anda mempunyai storan yang terhad oleh kerana itu Stone yang tidak diguna boleh dikitar semula menjadi bahan untuk memasak.

Banyakkan Koleksi Pokemon Anda

Jika anda membaca dari atas, mesti tertanya apa masak memasak yang disebut-sebut. Kebiasaan permainan Pokemon, anda perlu mengembara dan menangkap Pokemon dengan membaling Pokeball, tetapi untuk PQ anda perlu memasak agar Pokemon akan datang dan menjadi sebahagian daripada koleksi Pokemon anda.

Untuk memasak anda perlu pergi ke Base Camp tempat di mana anda akan dapat melihat Pokemon-Pokemon anda bersiar-siar, dan menggunakan periuk yang disediakan dan memasukan bahan-bahan yang anda perolehi dengan mengkitar semula Stone dan juga menyelesaikan sesuatu peringkat.

Bergantung kepada bahan anda akan mendapat Pokemon yang berbeza. Contohnya jika anda banyak menggunakan bahan berdasarkan api, lebih tinggi peluang untuk mendapatkan Pokemon yang berunsurkan api. Pokemon yang datang adalah rawak, jadi anda mungkin perlu memasak dengan kerap untuk mencari Pokemon yang anda ingini.

Setiap kali memasak anda perlu menunggu dengan menyelesaikan beberapa peringkat, setakat ini kami pernah mendapat 2 peringkat paling sedikit dan 5 peringkat paling banyak, selain itu anda juga boleh menggunakan PM Tickets iaitu matawang di dalam permainan ini untuk menyelesaikan masakan dengan segera.

Selain itu setiap 50 minit akan ada Pokemon yang melawat Base Camp anda (tanpa memasak), jika terserempak dan anda menekan Pokemon tersebut ia akan memasuki ke koleksi anda. Setiap Pokemon yang memasuki koleksi boleh digunakan untuk mengembara tetapi terhad kepada 3 pokemon sahaja untuk satu pasukan.

Terdapat 150 Pokemon keseluruhan untuk anda ‘tangkap’ dan dengan sistem masak ini ia semestinya akan mengambil masa yang lama terutama kerana anda perlu menunggu. Sistem ini agak menarik, tetapi tidak lah menarik seperti cara biasa iaitu mengembara dan menangkap menggunakan Pokeball, mungkin mereka akan memperkenankannya nanti tetapi buat masa ini memasak lah kita.

Habiskan Duit Anda

Oleh kerana permainan ini adalah ‘percuma’ untuk di muat turun dan main sudah semestinya akan ada beberapa sekatan untuk mengelakkan anda terlalu seronok bermain.

Permainan ini mempunyai 2 sekatan utama, pertama adalah setiap kali memasak anda perlu menunggu dengan menyelesaikan peringkat di mana-mana kawasan walaupun peringkat tersebut sudah diselesaikan sebelum ini.

Setakat ini kami menjumpai 5 peringkat terbanyak dan mungkin akan terus bertambah apabila makin lama bermain. Anda boleh menyelesaikan terus dengan menggunakan PM Tickets iaitu 10 PM Tickets untuk 1 peringkat.

Selain itu ada juga sekatan dari segi bateri, anda mempunyai 5 slot bateri dan setiap kali menyelesaikan sesuatu kawasan 1 slot bateri akan digunakan. 1 slot bateri ini akan diisikan semula selepas 30 minit. Jika anda sudah menghabiskan kelima-lima slot, anda perlu menuggu 30 minit untuk dapat bermain kembali ataupun sejam setengah untuk mendapatkan kelima-lima slot kembali. Anda juga boleh mengunakan PM tickets untuk terus mengisi kembali bateri anda iaitu 25 PM Tickets untuk 5 slot.

Selain itu PM Tickets juga digunakan untuk membeli storan lebih bagi membolehkan anda menyimpan Pokemon ataupun Stone dengan lebih banyak tanpa perlu melepaskan ataupun mengitar semula Stone anda. Buat masa ini tiada pilihan untuk membeli PM Tickets secara terus sebaliknya anda boleh membeli Pek seperti gambar dibawah. Setiap pek mengandungi pelbagai penambahan yang lebih mencepatkan anda untuk bermain permainan ini selain memberikan PM Tickets harian dan beberapa ekor Pokemon yang istimewa.

Setakat kami mencuba, permainan ini tidak terlalu mendesak untuk anda membelinya. Walaupun mempunyai pelbagai sekatan tetapi permainan ini tidaklah seronok untuk dimainkan secara terus. Walaupun agak tidak menyeronokkan kerana sekatan-sekatan yang ada akan tetapi tidaklah sangat mencacatkan permainan ini.

Rumusan

PQ adalah permainan Pokemon yang masih mengekalkan resipi sama seperti permainan Pokemon lain, dengan grafik yang bongkah dan menggunakan warna yang terang menjadikan permainan ini senang untuk dilihat.

Sistem pengembaraan dan pertempuran adalah sangat mendatar dan mudah akan tetapi kami masih di peringkat awal dan merasakan permainan ini mempunyai potensi untuk menjadi lebih menarik apabila menemui Pokemon yang lebih kuat dan menjadikan sistem pertempuran automatik kurang digunakan.

Sistem Stone yang digunakan juga membantu menjadikan permainan ini lebih menarik dan tidak sangat mendatar. Jika anda ingin menguatkan kesemua Pokemon anda sudah semestinya anda akan bermain untuk masa yang lama.

Walaupun tidak menarik seperti cara menangkap Pokemon menggunakan Pokeball, sistem memasak ini dengan secara tidak langsung memberikan perasaan berharap untuk mendapat Pokemon yang anda inginkan. Oleh kerana anda boleh memilih bahan untuk dimasak, sekurang-nya anda boleh memfokuskan untuk mencari Pokemon dari jenis tertentu.

Seperti permainan percuma yang lain sudah tidak boleh lari dari sistem pembelian di dalam permainan. Akan tetapi permainan PQ tidak terlalu mendesak pemain untuk membeli sebarang pek ataupun Stone, dan kami tidak merasakan penambahan yang diberikan berbaloi.

Akhir kata, PQ adalah satu permainan yang menarik untuk anda menghabiskan masa beberapa jam setiap hari akan tetapi apabila permainan ini dikeluarkan untuk permua, platform tersebut adalah lebih baik dan tidak perlu membazirkan bateri Switch anda untuk permainan ini.


TIPS & ULASAN