Bloomberg melaporkan bahawa divisyen permainan Xbox milik Microsoft sedang berhadapan dengan fasa penyusunan semula yang besar, mengakibatkan beberapa studio di bawah naungannya kini berada dalam risiko penutupan. Bagi mengelakkan nasib tersebut, sumber yang biasa dengan perancangan syarikat mendedahkan kepada agensi berita berkenaan bahawa beberapa studio kini sedang dalam rundingan aktif untuk berpisah dan beroperasi secara bebas.

Antara yang terlibat dalam perbincangan ini termasuklah Ninja Theory dari Cambridge yang membangunkan Hellblade, serta baru sahaja mengumumkan permainan baharu, Senua, Compulsion Games yang berpangkalan di Montreal dengan pelancaran South of Midnight pada tahun lalu, serta Double Fine dari San Francisco yang terkenal dengan siri Psychonauts dan judul yang lebih kecil pada tahun lalu iaitu Keeper dan Kiln.

Pergolakan ini berpunca daripada arahan Ketua Pegawai Eksekutif Xbox yang baharu, Asha Sharma, yang mengambil alih jawatan tersebut pada Februari lalu. Melalui kenyataan sebelum ini, beliau telah menghantar satu memo kepada kakitangan yang menyatakan bahawa penyusutan pendapatan dan margin sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah satu situasi yang tidak boleh diteruskan. Sebagai langkah pemulihan, Xbox kini akan memberi keutamaan kepada francais-francais terbesar mereka demi pertumbuhan semula.

Selain ancaman penutupan studio, rombakan ini turut melibatkan perubahan pengurusan tertinggi. Ketua Xbox Game Studios, Craig Duncan, telah meletakkan jawatan pada minggu lalu sejurus sebelum rancangan pemberhentian pekerja dilaksanakan.

Bagi studio-studio yang mungkin mendapat peluang untuk membeli semula hak mereka bagi menjadi entiti bebas, kesan langsung masih tidak dapat dielakkan kerana ramai pekerja dijangka akan kehilangan pekerjaan. Kakitangan di beberapa studio yang terjejas telah dimaklumkan tentang status operasi yang masih tidak menentu dan telah diberikan kebenaran untuk mula mencari pekerjaan baharu.

Jurucakap Xbox enggan memberikan sebarang ulasan mengenai situasi ini.

Leave a Reply