Pada pengumuman kewangan untuk tahun 2017, Take-Two iaitu penerbit permainan seperti Grand Theft Auto, permainan sukan 2K mencatat pendapatan sebanyak $1.7 bilion dengan keuntungan sebanyak $173 juta, walaupun ini adalah jumlah yang baik tetapi ia tetap kurang daripada apa yang disasarkan oleh mereka.
Walaupun Red Dead Redemption 2 yang sepatutnya menjadi sumber kewangan utama pada akhir tahun 2017 tertunda ke 2018, peningkatan keuntungan dari permainan Grand Theft Auto Online dan juga penjualan yang baik untuk permainan NBA 2k18 membantu meningkatkan prestasi kewangan mereka.
Bercakap bersama GamesIndustry.biz, Ketua Pengawal Eksekutif Take-Two Strauss Zelnick mengatakan yang Grand Theft Auto memecah rekod dari segi pendapatan untuk suku keempat tahun kewangan mereka dan Grand Theft Auto V sudah terjual sebanyak 95 juta unit secara global. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 5 juta unit selepas laporan kami sebelum ini yang mengatakan Grand Theft Auto V terjual sebanyak 90 juta unit pada Februari lepas.
Beliau juga mengatakan NBA 2K18 merupakan permainan sukan terbaik untuk siri 2K, untuk tahun pertama permainan tersebut terjual sebanyak 9 juta unit dan turut mendapat pendapatan melalui pembelian di dalam permainan.
Ini merupakan satu berita yang baik untuk Take Two yang terus mendapat prestasi kewangan yang baik, kami menjangkakan prestasi mereka untuk tahun ini akan lebih baik apabila permainan utama mereka Red Dead Redemption 2 dikeluarkan pada Oktober nanti.