Lanjutan daripada siasatan Belgium berkenaan sistem lootbox yang dianggap sebagai satu bentuk perjudian, kini Belgium mengumumkan bahawa sistem lootbox tersebut dikenal-pasti sebagai satu sistem perjudian.
Menurut komisyen permainan video Belgium, mereka menyatakan percampuran antara ketagihan dan wang sememangnya merupakan satu bentuk perjudian. Terutamanya jika ia didedahkan terhadap kanak-kanak sekaligus ia akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental kanak-kanak tersebut.
Menurut laporan media VTM News tersebut juga, mereka akan mengharamkan mikro-transaksi dan sistem lootbox yang terdapat di dalam permainan video yang mana ketika pembelian oleh pemain, pemain tidak mengetahui kandungan barangan tersebut. Tambahan juga, proses pengharaman ini bakal disertakan di seluruh negara Eropah. Menurut mereka, proses ini mungkin akan mengambil masa untuk dilaksanakan.
Ini merupakan suatu yang akan memberi impak besar terhadap permainan video, terutamanya kontroversi permainan Star Wars Battlefront II yang mana sebelum ini EA memberhentikan segala mikro-transaksi permainan tersebut disebabkan kecaman peminat.
Namun, pengharaman sistem lootbox dan mikro-transaksi masih belum lagi dipertimbangkan di Malaysia. Walaubagaimana pun, dengan pengharaman di negara Belgium, kita mungkin akan mendengar dari pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) pada masa terdekat berkenaan isu tersebut.
Bagaimanakah pendapat anda, adakah sistem lootbox dan mikro-transaksi patut diharamkan di Malaysia mahupun seluruh dunia kerana ia melibatkan satu bentuk perjudian?