Arena esukan antarabangsa kini beralih ke Paris Expo Porte de Versailles bersempena dengan pembukaan rasmi Esports World Cup (EWC) 2026. Kejohanan yang berlangsung selama tujuh minggu sehingga 23 Ogos ini menawarkan jumlah hadiah terkumpul terbesar dalam industri esukan, iaitu sebanyak $75 juta.

Edisi kali ini merupakan kali pertama EWC dianjurkan di peringkat antarabangsa di luar pangkalan asalnya di Riyadh. Acara ini menghimpunkan lebih 2,000 pemain profesional dan 200 kelab esukan terkemuka yang mewakili lebih 100 buah negara. Sebelum melayakkan diri ke pentas utama di Paris, seramai 1.5 juta pemain dari seluruh dunia telah bersaing terlebih dahulu melalui 330 kejohanan kelayakan di bawah siri “Road to EWC”.

Fokus utama kejohanan ini tertumpu kepada Kejohanan Kelab (Club Championship) yang memperuntukkan dana ganjaran sebanyak $30 juta daripada keseluruhan hadiah terkumpul. Kelab yang berjaya meraih gelaran juara keseluruhan bakal membawa pulang hadiah utama bernilai $7 juta. Pasukan Team Falcons yang memenangi kejuaraan ini pada tahun 2024 dan 2025 turut kembali bagi mempertahankan gelaran mereka.

Secara keseluruhan, EWC 2026 mempertandingkan 25 acara kompetitif yang merangkumi 24 judul permainan video popular. Antara senarai permainan yang disahkan adalah Apex Legends, Call of Duty: Black Ops 7, Call of Duty: Warzone, Catur, Counter-Strike 2, Crossfire, Dota 2, EA SPORTS FC 26, Fatal Fury: City of the Wolves, Fortnite, Free Fire, Honor of Kings, League of Legends, Mobile Legends: Bang Bang, Overwatch 2, PUBG MOBILE, PUBG: Battlegrounds, Rainbow Six Siege X, Rocket League, Street Fighter 6, Teamfight Tactics, Tekken 8, Trackmania, dan VALORANT.

Bagi meningkatkan profil kejohanan, bintang bola sepak Cristiano Ronaldo dan jaguh catur Magnus Carlsen kembali dilantik sebagai Duta Global EWC untuk menghubungkan komuniti sukan tradisi dan gaming.

Dari segi penyiaran, penganjur menyediakan lebih 7,000 jam kandungan langsung yang akan diedarkan ke lebih 160 buah negara dalam 40 bahasa. Siaran ini digerakkan oleh lebih 100 rakan penyiar global dan platform digital termasuk DAZN, FOX Sports, France Télévisions, HBO Max, dan CBS Sports Network. Selain itu, seramai 5,000 co-streamer rasmi turut terlibat di bawah Creator Program, mencatatkan peningkatan sebanyak 42% berbanding tahun lalu untuk mendekati komuniti tempatan secara digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Esports Foundation, Ralf Reichert, menjelaskan bahawa sistem Kejohanan Kelab dalam EWC sengaja direka untuk menilai konsistensi, kedalaman strategi, dan daya tahan sesebuah kelab secara menyeluruh merentas pelbagai judul permainan, berbanding hanya memberi ganjaran kepada kemenangan individu.

Ahli Lembaga Pengarah Esports Foundation, YAM Putera Faisal bin Bandar bin Sultan Al Saud, menyatakan bahawa langkah membawa EWC ke Paris merupakan sebahagian daripada komitmen untuk meluaskan impak esukan ke peringkat global. Seiring dengan perkembangan tersebut, Menteri Sukan, Belia dan Kehidupan Komuniti Perancis, Marina Ferrari, memaklumkan bahawa Perancis akan membentangkan strategi pembangunan esukan kebangsaan 2026–2030 pada musim luruh ini bagi memperkukuh ekosistem dan menyokong bakat baharu di negara tersebut.

Leave a Reply