Pentas akhir kejohanan esukan Free Fire Malaysia Championship (FFMC) 2026 Fall bakal berlangsung di Quill City Mall, Kuala Lumpur pada Sabtu ini, 11 Julai. Perlawanan luar talian ini akan menyaksikan 12 pasukan teratas negara bersaing sengit demi merebut gelaran juara serta sebahagian daripada wang tunai daripada keseluruhan hadiah terkumpul bernilai $50,000.

Peringkat akhir ini merupakan kemuncak kepada kejohanan kebangsaan selepas mengharungi persaingan peringkat kalah mati selama dua minggu. Kesemua 12 finalis yang berjaya mengesahkan tempat ialah Aurora Gaming, Expand, Argon, Maqna Esports Club, Rocks Esports, SSZ x PSSJ, Team Haq, Arcadia Esports, Veto Knight, Enigmax Esports, MNA_EWG, dan Elite.
Selain ganjaran tunai dan trofi kejuaraan, kejohanan kali ini turut menawarkan slot kelayakan yang amat penting. Kesemua 12 finalis ini secara automatik layak ke Free Fire World Series (FFWS) Malaysia 2026 Fall yang akan diadakan pada 25 Julai ini. Seterusnya, tiga pasukan terbaik daripada saingan tersebut akan mendapat tiket untuk mara ke peringkat serantau FFWS Southeast Asia Fall yang dijadualkan berlangsung dari 14 Ogos hingga 20 September.

Acara yang dianjurkan oleh Garena ini dibuka kepada orang ramai bermula jam 11:00 pagi. Peminat yang hadir berpeluang menyertai pelbagai aktiviti komuniti termasuk stesen permainan, pencetakan magnet foto percuma di ruang foto, jualan barangan eksklusif, cabutan bertuah, cabaran Bingo, serta melawat gerai pameran Persekutuan Esukan Malaysia (MESF) untuk menerokai peluang penglibatan dalam ekosistem esukan tempatan. Pengunjung yang melakukan pendaftaran awal (RSVP) juga bakal menerima penyertaan cabutan bertuah tambahan.
Sebelum pentas utama bermula, tumpuan penonton akan terarah kepada perlawanan pertunjukan KOL 4v4 antara Malaysia dan Indonesia pada jam 2:00 petang. Pasukan Malaysia akan diwakili oleh Masdo, Ayyied, Lordzamm, dan Xspezx, manakala Indonesia membariskan Dejet, Arkan, Asep, dan Kamiel.

Satu sesi ramah mesra bersama pasukan Aurora Gaming kemudiannya akan diadakan pada jam 3:00 petang sebagai acara pelepasan rasmi sebelum mereka berlepas ke Paris, Perancis untuk bersaing dalam kejohanan ‘Free Fire at EWC 26’. Dianggotai oleh Kapten AUR.JUN, AUR.ZUEZZ, AUR.THEAXEL, AUR.AZRIEL25, dan AUR.YASTA, Aurora Gaming merupakan wakil tunggal negara ke kejohanan dunia tersebut selepas melakar kejayaan menduduki tempat keempat di FFWS Southeast Asia 2026 Spring.
Kejohanan global ‘Free Fire at EWC 26’ tersebut akan berlangsung dari 15 hingga 18 Julai, mengumpulkan 24 pasukan dari pelbagai rantau dunia termasuk Asia Tenggara, Amerika Latin, Brazil, Asia Selatan, Timur Tengah, Afrika, dan Amerika Syarikat untuk merebut hadiah terkumpul berjumlah $1,000,000. Juara di Paris nanti akan menerima kelayakan terus ke FFWS Global Finals 2026 di Bangkok, Thailand pada November depan.

Bagi peminat yang tidak dapat hadir secara fizikal ke Quill City Mall, saingan Grand Finals yang bermula rasmi pada jam 3:30 petang serta perlawanan pertunjukan boleh ditonton secara langsung bermula jam 2:00 petang melalui saluran rasmi YouTube dan TikTok Free Fire Malaysia dengan ulasan dalam Bahasa Melayu. Permainan Free Fire boleh dimuat turun melalui platform Mobile di App Store dan Google Play.


