Golden Screen Cinemas (GSC) telah mengumumkan yang penawaran dewan IMAX seterusnya oleh mereka akan bertempat di IOI Mall Damansara. Melalui perkongsian di media sosial, mereka mengatakan yang dewan ini akan beroperasi tidak lama lagi. Walaupun tiada tarikh akan tetapi GSC mengacahkan yang penonton boleh menonton The Odyssey yang akan mula ditayangkan pada 16 Julai di dewan tersebut.
Oleh itu kita boleh jangkakan yang dewan ini akan mula beroperasi selewat-lewatnya pada 16 Julai dan mungkin lebih awal. Tarikan utama dewan IMAX baharu di IOI Mall Damansara ialah penggunaan teknologi visual Laser. Teknologi ini memberikan paparan lebih terang, warna lebih hidup dan kontras lebih mendalam berbanding sistem biasa. Selain itu, dewan ini turut dilengkapi dengan sistem bunyi imersif 12-channel iaitu sistem audio yang mengelilingi penonton dari pelbagai arah.
GSC sebelum ini telah mengatakan yang mereka akan membuka sembilan dewan yang menggunakan teknologi IMAX with Laser, setakat ini sudah ada lima iaitu The Exchange TRX, KL East Mall, IOI City Mall 2, Mid Valley Southkey, dan Paradigm Mall. IOI Mall Damansara akan menjadi yang keenam dengan tiga lagi masih tidak disahkan.
Dilaporkan oleh Amy Maizura.


