Peminat permainan video kini boleh mendapatkan koleksi edisi terhad Herschel × Minecraft berikutan pelancaran rasminya di pasaran Malaysia. Kolaborasi ini bukan sahaja menawarkan rangkaian aksesori fizikal, malah turut membawakan penawaran digital terus ke dalam dunia permainan video tersebut.
Bagi produk fizikal, koleksi ini menampilkan enam corak khas Minecraft yang diterapkan pada rekaan beg serta aksesori klasik Herschel. Rangkaian produk untuk dewasa menerima sentuhan reka bentuk yang diispirasikan daripada dimensi ikonik permainan tersebut iaitu Overworld, Nether, dan End. Sementara itu, rekaan untuk siri belia, kanak-kanak, dan aksesori pula menampilkan watak-watak popular seperti Creeper, Enderman, dan Pink Sheep.


Kolaborasi ini turut dilanjutkan ke alam digital menerusi add-on Herschel Backpack Trials untuk Minecraft: Bedrock Edition. Boleh dimuat turun secara percuma melalui Minecraft Marketplace, fungsi ini memperkenalkan beg galas Herschel dalam permainan yang membantu pemain menguruskan inventori dengan kapasiti simpanan sehingga 442,368 barangan apabila dikumpul sepenuhnya.
Satu tarikan utama yang diperkenalkan sempena kolaborasi ini adalah Event-Exclusive Orange Block Backpack yang membawakan estetika blok ikonik Minecraft. Beg ini dihasilkan secara eksklusif untuk acara pelancaran di Malaysia, tidak dijual untuk pasaran runcit, dan berfungsi sebagai barangan pengumpul.


Orang ramai yang ingin melihat koleksi ini secara dekat boleh mengunjungi pemasangan khas Herschel × Minecraft yang dibuka untuk tempoh terhad di ATO Gaming Café TTDI. Pengunjung yang memuat naik kandungan gambar atau video di Instagram atau Facebook dengan meletakkan tag @herschelsupplymalaysia dan @atogamingcafe berpeluang memenangi beg eksklusif Orange Block Backpack tersebut menerusi cabutan bertuah. Setiap pembelian yang dibuat di cawangan Herschel seluruh negara atau melalui laman web herschel.my sepanjang tempoh kempen ini juga akan memberikan mata penyertaan bonus.
Koleksi Herschel × Minecraft kini sudah mula dijual di stor fizikal Herschel di seluruh negara serta secara dalam talian di herschel.my. Terdahulu, majlis pelancaran rasmi koleksi ini telah diadakan di ATO Gaming Café dengan kehadiran 28 tetamu jemputan yang terdiri daripada komuniti pencipta kandungan Minecraft, pihak media, serta rakan industri.


