Filem animasi Papa Zola The Movie kini tersedia untuk tontonan di platform penstriman Netflix. Filem yang menjadi filem tempatan kelima dengan kutipan tertinggi ini membawa jalan cerita yang menggabungkan elemen pengembaraan keluarga dengan persekitaran permainan simulasi.
Fokus penceritaan bermula apabila rancangan percutian Papa Zola bersama keluarganya berubah menjadi satu krisis. Mereka secara tiba-tiba terperangkap di dalam sebuah dunia digital yang dipanggil ‘Simulated Game World’. Walaupun kawasan tersebut pada pandangan kasar kelihatan indah, ia sebenarnya merupakan sebuah lokasi yang berbahaya.
Bagi menyelamatkan keadaan, Papa Zola, Pipi, dan rakan-rakan yang lain terpaksa meningkatkan kuasa masing-masing di dalam dunia tersebut untuk melawan balik. Filem ini akan memperlihatkan pelbagai babak pertempuran mekanikal, sistem serangan kombo, dan bos gergasi, selain mengekalkan unsur komedi apabila Papa Zola ditewaskan oleh musuh yang menyamar dengan rupa yang comel.
Diterbitkan bersama oleh Monsta dan Astro Shaw, Papa Zola The Movie sudah mengutip RM68.2 juta sepanjang tayangan di pawagam.


