Golden Screen Cinemas (GSC) bakal melancarkan dewan IMAX dengan Laser terbaharunya di GSC IOI Mall Damansara pada 16 Julai 2026. Pembukaan ini menjadikan cawangan berkenaan sebagai lokasi keenam yang dilengkapi kemudahan tersebut di seluruh negara.

Sebelum ini, GSC telah mengendalikan lima rangkaian dewan pawagam premium berkenaan yang terletak di GSC IOI City Mall 2, GSC KL East Mall, Aurum Theatre The Exchange TRX, GSC Paradigm Mall JB, dan GSC Mid Valley Southkey JB. Seperti diumumkan sebelum ini, mereka merancang untuk terus menambah lebih banyak dewan format besar premium ini pada masa hadapan.

Rangkaian filem akan datang yang disahkan bakal ditayangkan di dewan ini termasuk The Odyssey, The End of Oak Street pada bulan Ogos, dan Resident Evil pada bulan September.

Sempena dengan pembukaan ini, tiket ditawarkan pada harga promosi RM28.50 berbanding harga asal RM36.50. Ahli GSC Rewards turut ditawarkan promosi mengikut kod keahlian seperti berikut:

  • Silver: Beli 3 tiket, percuma 1 tiket
  • Gold: Beli 2 tiket, percuma 1 tiket
  • Platinum: Beli 1 tiket, percuma 1 tiket

Selain itu, seramai 3,000 pelanggan pertama yang menonton filem di dewan baharu ini bakal menerima ganjaran GSCoins sebanyak tiga kali ganda. Pelanggan yang menonton filem The Odyssey juga berpeluang membawa pulang barangan pengumpul eksklusif selagi stok masih ada, termasuk:

  • Poster A3 IMAX edisi terhad untuk setiap pembelian seunit tiket.
  • Pin logam eksklusif untuk setiap pembelian dua unit tiket bagi tayangan terpilih.

Tiket untuk dewan baharu di GSC IOI Mall Damansara kini sudah mula dijual dan boleh didapati melalui aplikasi rasmi GSC.

Leave a Reply