Sebagai penonton yang sebelum ini hanya mengenali watak Papa Zola secara dasar dan bukan pengikut tegar siri asalnya, saya mendekati filem Papa Zola: The Movie dengan harapan untuk melihat sebuah filem yang boleh berdiri dengan sendiri. Ternyata, jangkaan tersebut berjaya dipenuhi. Filem ini menawarkan penceritaan yang mudah difahami tanpa memerlukan saya melakukan banyak rujukan terdahulu, namun masih sarat dengan elemen yang menghiburkan.

Premis cerita bermula dengan kisah silam Zola. Sebelum menjadi bapa yang kita kenali hari ini, Zola merupakan salah seorang anggota elit PAPA (Protect and Prevent Agency), sebuah agensi rahsia yang ditugaskan untuk melindungi negara daripada sebarang bentuk ancaman. Konflik tercetus apabila Zola bersama isterinya yang baru dikahwini, Zila, terlibat dalam satu misi kritikal untuk menghalang makhluk asing daripada mengubah dunia nyata menjadi sebuah simulasi permainan video, di mana manusia akan bertukar menjadi raksasa menggunakan sfera kuasa, CIMUBOT.

Malangnya, semasa misi tersebut, Zola dan Zila telah disedut masuk ke dalam dunia simulasi itu, mengakibatkan mereka berdua kehilangan ingatan. Cerita kemudian melompat beberapa tahun ke masa kini. Zola dan Zila kini mempunyai seorang anak bernama Pipi. Zola masih menggunakan gelaran “Papa Zola”, namun tanpa disedarinya, nama tersebut sebenarnya merujuk kepada agensi lamanya, bukan sekadar nama panggilan. Keadaan menjadi tegang apabila semasa bercuti, Zola diminta oleh rakannya untuk kembali beraksi menentang penjahat yang berniat untuk sekali lagi mengaktifkan simulasi dunia permainan video tersebut.

Dari segi penceritaan, saya harus mengakui bahawa permulaan filem ini terasa agak perlahan dan sedikit meleret. Babak yang memaparkan usaha Papa Zola bekerja keras mengumpul wang untuk membawa keluarganya pergi bercuti, walaupun bertujuan untuk membina konteks, dirasakan terlalu panjang. Namun, momentum filem ini berubah sepenuhnya apabila fokus beralih kepada ancaman simulasi tersebut. Sebaik sahaja elemen “permainan video” dan aksi bermula, naratifnya menjadi jauh lebih menarik dan bertenaga.

Kekuatan utama filem ini jelas terletak pada dinamik keluarga Zola. Papa Zola, Mama Zila, dan Pipi benar-benar menjadi tunjang yang menggerakkan emosi penonton. Watak Papa Zola sebagai bapa yang tidak serius namun sangat penyayang, digabungkan dengan ketegasan tetapi kelembutan Mama Zila, serta Pipi yang sangat comel dan mudah disayangi, mencipta keserasian yang sangat natural. Ditambah pula dengan skrip yang bijak mengimbangi momen serius, sedih, dan jenaka, filem ini berjaya menyentuh perasaan tanpa perlu berlebih-lebihan. Watak-watak sampingan juga memainkan peranan yang baik dalam menyokong perjalanan wira utama kita.

Dari aspek teknikal, kualiti animasinya berada pada tahap yang baik. Walaupun tidak menampakkan lonjakan teknologi yang drastik berbanding filem-filem Monsta atau animasi Malaysia yang lain, konsep dunia simulasi permainan video memberikan ruang kreatif yang luas kepada pasukan produksi. Idea mengubah watak-watak popular menjadi raksasa di dalam dunia game tersebut adalah satu langkah bijak dan membuka peluang tanpa had untuk pemasaran barangan (merchandising) kelak. Reka bentuk makhluk dan persekitaran digitalnya kelihatan bervariasi dan menarik mata.

Bagi babak pertarungan pula, koreografinya menyeronokkan untuk ditonton. Saya perasan terdapat banyak penggunaan teknik “close-up” atau jarak dekat semasa aksi tempur. Walaupun ini mungkin satu taktik produksi untuk memudahkan proses animasil dan menjimatkan masa (rendering), ia dilakukan dengan kemas sehingga tidak kelihatan janggal atau mengganggu pengalaman menonton.

Secara keseluruhannya, Papa Zola: The Movie adalah sebuah filem yang menyeronokkan. Walaupun bermula dengan langkah yang perlahan, ia berjaya membaikinya kembali melalui aksi yang padat, skrip yang beremosi, dan dinamik kekeluargaan yang utuh. Bagi saya, ini adalah sebuah filem animasi oleh Monsta yang harus menjadi tontonan semua.

Papa Zola: The Movie
Sebuah filem yang menyeronokkan. Walaupun bermula dengan langkah yang perlahan, ia berjaya membaikinya kembali melalui aksi yang padat, skrip yang beremosi, dan dinamik kekeluargaan yang utuh.
Positif
Dinamik keluarga mantap
Dunia permainan kreatif
Aksi pertarungan menghiburkan
Negatif
Permulaan agak perlahan
9

Leave a Reply

Final Score