Sepanjang pengalaman saya menguji pelbagai peranti audio, pencarian untuk fon telinga tanpa wayar yang benar-benar seimbang dari segi reka bentuk, kualiti bunyi, dan ciri pintar sentiasa menjadi cabaran. Kali ini, saya menguji Samsung Galaxy Buds4 Pro yang sebelum ini dilancarkan bersama dengan Samsung Galaxy S26 Ultra. Di atas kertas, ia menjanjikan pengalaman premium yang direka khusus untuk memaksimumkan ekosistem Galaxy. Namun, sejauh manakah ia berjaya menterjemahkan spesifikasi ini ke dalam kegunaan dunia sebenar?

Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah anjakan drastik pada reka bentuknya. Samsung telah meninggalkan rekaan unik masa lalu mereka, seperti siluet berbentuk telur atau garisan lampu yang menonjo dan beralih kepada rekaan berbatang yang minimalis. Walaupun ada yang mungkin melihat ini sebagai kehilangan identiti kerana ia kini lebih menyerupai profil Apple AirPods, rekaan kemasan logam berus di bahagian belakang binaannya berjaya mengekalkan aura premium dan industrial. Ia juga ditawarkan dalam pelbagai warna, memberikan kelebihan variasi berbanding pesaingnya.
Apabila disematkan di telinga, fon telinga seberat 5.1 gram ini terasa sangat ringan. Sepanjang sesi mendengar yang panjang mahupun ketika saya melakukan pergerakan yang aktif, ia kekal kemas dan selesa. Batang berbentuk segi empat pada fon telinga ini terbukti ergonomik, menjadikan isyarat cubitan dan leretan jauh lebih mudah dilakukan berbanding batang berbentuk bulat. Namun, jika saya berpeluh atau bergerak terlalu kuat saya akan menyedari ketiadaan sirip kestabilan, yang kadangkala memaksa saya untuk membetulkan semula kedudukannya di dalam telinga. Putik silikonnya juga agak sukar untuk ditanggalkan dan ditukar.

Dengan penarafan IP57, ia bermakna putik telinga ini tahan debu, peluh, dan rendaman air cetek. Malangnya, ketahanan ini tidak dipanjangkan kepada bekas pengecasnya. Bercakap tentang bekas pengecas, ia berbentuk kiub yang sangat padat, mudah disimpan dalam poket, dan dilengkapi penutup lutsinar berwarna yang diakhiri dengan penutupan magnetik yang memuaskan, proses membuka dan menutup adalah mudah, tetapi semasa menutup jika dilepaskan sahaja ia mungkin tertutup terlalu kuat, ia mungkin baik untuk memberikan perasaan yang ia ditutup secara kemas, tetapi jika berada di tempat awam, ia mungkin akan menarik perhatian.
Dari segi kualiti bunyi, gabungan dwi-pemacu yang terdiri daripada woofer dan tweeter planar membawakan bunyi yang besar dan terang. Bass yang dihasilkan cukup berdentum, disulami dengan trebel yang memuaskan. Menariknya, bagi peranti yang menyokongnya, Buds4 Pro menyokong audio resolusi tinggi 24-bit/96kHz melalui pengekod SSC UHQ Samsung.
Walau bagaimanapun, saya mendapati penalaan bunyi secara lalai tidak memuaskan untuk saya. Ia dihalakan ke arah profil yang agak menenggelamkan frekuensi pertengahan atau menyebabkan lagu yang padat dengan instrumen kedengaran berserabut. Mujurlah aplikasi menawarkan equalizer 9-jalur yang sangat mantap bersama pelbagai tetapan, membenarkan saya mengubah suai profil bunyi mengikut kecenderungan peribadi.

Sistem Pembatalan Hingar Aktif (ANC) yang disertakan memuaskan dan berprestasi cemerlang dalam menapis bunyi dengungan frekuensi rendah seperti enjin kapal terbang atau penyaman udara, meletakkannya setanding dengan pesaing teratas di pasaran. Mod Ambien pula berbunyi sangat semula jadi, dan ciri Mod Adaptif berfungsi dengan lancar, ia akan bertukar antara ANC dan Ambien secara automatik sebaik sahaja ia mengesan bunyi siren atau apabila saya mula bercakap. Satu perkara yang saya harus katakan jika berada di tempat yang betul-betul bising, ANC ini tidak akan sepenuhnya memadam bunyi tersebut. Kualiti panggilan juga amat memuaskan, dengan keupayaan mikrofon menapis bunyi bising di jalanan atau di kawasan sibuk dengan sangat baik. Namun begitu, ia mesti dipakai dengan kemas di telinga untuk memastikan fungsi ini berada dalam keadaan yang terbaik. Jika kedudukannya sedikit longgar, bunyi angin dan persekitaran akan mula bocor ke dalam panggilan telefon anda.
Dalam penggunaan seharian, keselesaan bebas tangan adalah salah satu kekuatan utama peranti ini. Kawalan suara sentiasa aktif, serta kawalan isyarat kepala, seperti mengangguk untuk menjawab atau menggeleng untuk menolak panggilan terbukti sangat praktikal. Ekosistem gandingan pantas, penukaran automatik antara peranti Samsung, dan ciri “Find My Earbuds” berfungsi seperti yang diharapkan. Terdapat juga sokongan kebolehcapaian seperti Live Translate, sokongan Auracast, dan peringatan regangan leher yang inovatif.
Di sebalik ciri canggih ini, pengalaman pengguna masih mempunyai ruang penambahbaikan. Sebagai contoh, proses mengubah kelantangan menggunakan kawalan sentuh kadangkala tidak konsisten, malah boleh menjadi tidak responsif jika tangan saya basah atau berpeluh. Penyesuaian bagi butang kawalan fizikal juga agak terhad. Perkara yang paling mengelirukan bagi saya ialah ciri asas, seperti pengesanan dalam telinga untuk menjeda muzik secara automatik apabila fon telinga dikeluarkan, dimatikan secara lalai dan perlu diaktifkan secara manual di dalam tetapan. Selain itu, ketiadaan sokongan Multipoint Bluetooth yang sebenar menyukarkan peralihan lancar ke peranti di luar ekosistem Samsung.

Baterinya cemerlang dan menepati janji, memberikan sekitar 6 jam waktu main balik dengan ANC dihidupkan (7 jam jika dimatikan), dan mencecah sehingga 30 jam jumlah keseluruhan bersama bekas pengecas. Bagi peminat penstriman atau permainan mudah alih, kehadiran mod permainan khusus sangat membantu mengurangkan kependaman audio.
Namun, ada beberapa kekurangan kecil. Semakan tahap bateri bekas pengecas agak renyah kerana ia hanya muncul pada tetapan telefon semasa sambungan awal. Anda juga tidak akan menemui sebarang aksesori di dalam kotak, walaupun kabel pengecas USB-C. Sesuatu yang lebih kritikal, nilai fon telinga ini sangat terikat kepada ekosistemnya. Ciri-ciri terbaiknya seperti audio UHQ, panggilan suara jalur ultra lebar, dan audio spatial 360 terkunci secara eksklusif dan tidak boleh digunakan jika anda tidak memiliki telefon pintar Samsung Galaxy yang terkini.
Kesimpulannya, jika anda merupakan pengguna tegar peranti Samsung, Galaxy Buds4 Pro tidak diragukan lagi adalah set fon telinga terbaik dan paling sepadan untuk anda. Namun, jika anda sering bertukar antara pelbagai jenama peranti atau menggunakan peranti Android jenama lain, sebahagian besar kehebatan peranti ini akan kekal tersembunyi membuatkan anda tidak dapat sepenuhnya kelebihan yang di bawah oleh set fon telinga ini. Samsung Galaxy Buds4 Pro ditawarkan dengan harga RM999 yang bagi saya sangat berpatutan untuk kualiti sebaik ini.
Gambar: Jin Soh


