Teach You a Lesson bukan sekadar popular di carta Top 10 Netflix, tetapi juga berjaya menyentuh hati penonton dengan gabungan aksi, isu sosial dan emosi. Dengan sepuluh episod, jalan ceritanya terasa dekat dengan kehidupan sebenar lalu menjadikan setiap babak lebih relevan. Naskhah ini turut berfungsi sebagai sindiran sosial yang lembut kerana ia memperlihatkan bagaimana isu pendidikan dan ketidakadilan digambarkan melalui jalan ceritanya.

Siri ini mengadaptasi webtoon popular, Get Schooled, yang memfokuskan kepada Korean Educational Rights Protection Bureau (ERPB) iaitu satu pasukan ditubuhkan khas untuk menangani kes buli dan kekerasan di sekolah. Mereka menjadi tulang belakang kepada konflik utama dalam cerita. Tugas mereka ialah menilai keadaan sebuah sekolah, tetapi usaha itu tidak pernah mudah kerana berdepan dengan pelajar dan guru yang saling bertentangan, ditambah pula dengan campur tangan pihak berkuasa yang membuat keadaan semakin rumit.

Kalau dibandingkan dengan dunia nyata, peranan mereka boleh diibaratkan seperti nazir sekolah yang datang untuk menilai dan membetulkan keadaan, cuma dengan kuasa yang lebih besar dan tindakan yang lebih tegas, mereka juga mempunyai kebenaran oleh kerajaan sendiri untuk melakukan corporal punishment dengan tidak teragak-agak memukul pelajar yang berkelakuan tidak baik.

ERPB terdiri daripada bekas komando dan pegawai pendidikan. Watak utama, Na Hwa-jin (lakonan Kim Mu-yeol), ialah bekas kapten Pasukan Khas tentera yang kini berkhidmat sebagai inspektor di ERPB. Latar belakangnya menjadikan peranan yang dimainkan terasa realistik, dengan karakter tegas dan berani yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi pelajar. Kehilangan orang tersayang menjadikan misinya lebih peribadi dan sarat dengan emosi. Inilah yang membuatkan saya mudah terikat dengan wataknya.

Selain Hwa-jin, drama ini turut memperkenalkan beberapa watak penting lain seperti Menteri Pendidikan Choi Gang-seok (Lee Sung-min) iaitu watak berpengaruh yang menubuhkan ERPB. Dia digambarkan sebagai seorang menteri berwibawa, tetapi pada masa sama mempunyai agenda tersendiri. Kehadirannya menambah unsur politik dalam cerita kerana setiap tindakan ERPB bergantung pada kuasa dan mandat daripadanya.

Hubungan peribadinya dengan Na Hwa-jin menjadikan jalan cerita lebih kompleks, kerana mereka berdua mempunyai satu perhubungan yang memainkan peranan penting di dalam penceritaan. Hal ini mencetuskan ketegangan antara kepentingan keluarga dan tanggungjawab rasmi. Dari awal lagi, penonton dapat merasakan bahawa Choi Gang-seok bukan sekadar watak penting, tetapi seorang yang penuh strategi yang sukar dijangka.

Seorang lagi inspektor untuk ERPB Im Han-rim (Jin Ki-joo). Wataknya membawa dimensi emosi yang kuat kerana pernah melalui pengalaman pahit ketika zaman sekolah. Misinya bukan sekadar tugas rasmi, tetapi juga perjuangan peribadi terhadap sistem pendidikan yang dianggap gagal melindunginya. Hubungan rapat dengan Na Hwa-jin menambah lapisan dramatik, kerana Han-rim pernah diselamatkan oleh Hwa-jin, kemudian menjadikan mereka berdua saling mempercayai dan bekerjasama dalam misi. Watak ini memberi keseimbangan kepada cerita kerana selain aksi, ia juga memaparkan luka lama dan semangat perjuangan peribadi yang membuat penonton lebih mudah bersimpati dengannya.

Satu lagi watak yang menjadi perhatian saya ialah Bong Geun-dae (Pyo Ji-hoon) yang merupakan Timbalan Pengarah ERPB dan berperanan sebagai pakar teknologi dalam pasukan khas. Dia merupakan lulusan KAIST, universiti teknologi terkemuka di Korea, dan digambarkan sebagai seorang yang bijak dalam menggunakan kepakaran teknikal untuk menyokong operasi. Peranannya unik kerana bukan sekadar memberi sokongan dari belakang, tetapi juga turun padang untuk mengumpul maklumat di lapangan. Hal ini menjadikan strategi pasukan lebih moden dan berkesan.

Kekuatan utama Teach You a Lesson ialah keberaniannya mengangkat isu berat tanpa berselindung. Sejak episod pertama, dengan adegan pembukaan yang drastik melibatkan insiden tragis seorang pelajar, penonton sudah dapat merasakan bahawa drama ini bukan sekadar hiburan ringan. Sebaliknya, ia mengajak kita berfikir secara mendalam tentang sistem pendidikan dan masyarakat. Jalan ceritanya pula disusun secara bertahap. Ia bermula dengan isu buli yang berlarutan, kemudian berkembang kepada jurang sosial yang menindas pelajar miskin. Selepas itu, drama menyingkap sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan anak sendiri. Akhirnya, ia membawa kita kepada kisah pelajar juvana yang terus dilabel tanpa diberi peluang kedua, di samping isu penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing.

Oleh sebab itu, setiap episod bukan sahaja menambah lapisan konflik, malah menimbulkan rasa ingin tahu yang mendalam. Penonton terdorong untuk terus menonton kerana ingin mengetahui bagaimana sistem yang rapuh ini akhirnya akan ditangani. Jika diteliti dengan lebih mendalam, setiap cerita sebenarnya cuba menunjukkan satu benang yang bersambung antara satu sama lain, meskipun tidak kelihatan secara nyata.

Dalam beberapa episod tertentu, penonton turut didorong untuk berfikir kerana berlakunya konflik pendapat yang mencabar perspektif terhadap jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan. Selain itu, drama ini berfungsi sebagai cermin masyarakat kerana ia memperlihatkan guru bukan sahaja sebagai pendidik, tetapi juga sebagai mangsa tekanan ibu bapa, fitnah pelajar, dan kelemahan sistem yang kurang berkesan dalam melindungi mereka. Begitu juga dengan pelajar, yang digambarkan sebagai kelompok mudah terpinggir apabila sistem tidak berfungsi sepenuhnya. Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan akhirnya bertukar menjadi ruang yang penuh cabaran.

Walaupun siri ini membawa mesej sosial yang kuat, terdapat beberapa kelemahan yang sedikit menjejaskan keseluruhan impaknya. Beberapa adegan dilihat terlalu dilebihkan sehingga menjejaskan keaslian serta kelancaran jalan cerita, tetapi ia mungkin dilakukan untuk memastikan gaya penceritaan webtoon dikekalkan. Tempo penceritaan juga kadang terasa perlahan yang menjadikan pengalaman tontonan yang kurang baik. Selain itu, sesetengah konflik diselesaikan dengan cepat yang menyebabkan impak penceritaan sedikit berkurang. Watak-watak sampingan kurang diberi perhatian, menyebabkan cerita lebih banyak berpusat pada watak utama sahaja. 

Kesimpulannya, Teach You a Lesson berjaya kerana berani membongkar realiti tersembunyi dunia pendidikan tanpa sekadar menjadi drama hiburan. Ia mengajak penonton berfikir sama ada sekolah benar-benar berfungsi sebagai tempat melindungi pelajar atau sekadar institusi yang menjaga imej. Kehadiran ERPB sebagai pemantau sekolah menambah lapisan menarik kerana ia mencerminkan dilema dunia nyata, iaitu antara melindungi pelajar atau menjaga reputasi. Walaupun ada elemen yang sengaja dilebihkan untuk memberi kesan emosi, mesej utamanya tetap jelas iaitu sistem pendidikan yang rapuh boleh membawa kepada tragedi besar. Pendidikan bukan sekadar soal akademik, tetapi juga tentang melindungi manusia daripada ketidakadilan sosial.

Amy Maizura merupakan Penulis untuk Amanz.

Teach You a Lesson
Berjaya kerana berani membongkar realiti tersembunyi dunia pendidikan tanpa sekadar menjadi drama hiburan. Ia mengajak penonton berfikir sama ada sekolah benar-benar berfungsi sebagai tempat melindungi pelajar atau sekadar institusi yang menjaga imej.
Positif
Menggambarkan cabaran sebenar dalam dunia pendidikan
Mesej sosial jelas dan mampu membuat penonton berfikir
Watak-watak dibina dengan konflik yang relevan
Negatif
Beberapa adegan dilebihkan sehingga menjejaskan logik cerita
Tempo kadang terasa berat dan sarat emosi
8

Leave a Reply

Final Score