Kingdom Come: Deliverance II (KCD2) adalah satu permainan yang sangat baik, disebabkan perkara yang sama mengapa Baldur’s Gate 3 satu permainan yang dicemburui oleh pembangun-pembangun lain, iaitu mereka menghasilkan permainan yang mereka ingin hasilkan dan tidak cuba untuk menjadi permainan yang ingin menggembirakan sesiapa sebaliknya menjadi permainan yang membuatkan pemain gembira untuk mengalaminya. Seperti permainan Astro Bot pada tahun lepas yang mengingatkan saya mengenai kegembiraan bermain permainan video, permainan ini mengingatkan saya mengapa permainan dunia terbuka yang dihasilkan dengan penuh teliti boleh memberi satu pengalaman bermain yang tiada tandingan.
Meneruskan penceritaan daripada permainan pertama, KCD2 bermula dengan Henry menemani Sir Hans Capon di dalam perjalanan untuk berjumpa dengan Otto von Bergow di Istana Trosky bagi mengesahkan kedudukan dia di dalam peperangan di antara Wenceslaus IV iaitu raja Bohemia tetapi di dalam kurungan dengan Sigismund iaitu raja Hungary dan Croatia. Sebelum mereka dapat ke istana tersebut, kumpulannya telah diserang oleh perompak dan mengakibatkan semua mati dibunuh kecuali Henry dan Hans yang melarikan diri, namun mereka juga diserang yang mengakibatkan Henry hampir terbunuh tetapi diselamatkan oleh seorang pawang.

Selepas terselamat, Henry dan Capon sekali lagi cuba untuk ke Istana Trosky akan tetapi kerana mereka sudah kehilangan segala pakaian dan pengenalan diri, mereka dianggap sebagai orang biasa sahaja dan tidak dapat untuk berjumpa dengan Otto von Bergow. Maka bermulalah pengembaraan Henry untuk mencari cara agar dapat memasuki istana tersebut dan berjumpa dengan Otto von Bergow, tetapi pada masa yang sama juga terlibat dengan peperangan yang sedang berlaku pada waktu itu. Penceritaan kemudian berkembang dan saya boleh katakan pengalaman menghayati penceritaan utama adalah seperti menonton filem yang disampaikan dengan sangat menarik.
Penceritaan utama banyak berpusing di beberapa bahagian yang sama, kerana seperti biasa ada sahaja masalah di dalam perancangan yang dilakukan oleh Henry dan untuk kebanyakan bahagian Henry tidak langsung mempunyai pilihan sebaliknya sekadar mengikuti sahaja. Namun, penceritaan ini masih terasa disampaikan dengan menarik dan terdapat banyak adegan-adegan yang sama ada membuatkan saya ketawa, bersedih ataupun sekadar terkejut. Jika anda merasakan penceritaan untuk KCD adalah baik, KCD2 boleh dikatakan berganda lebih baik dan menarik.


Kekuatan KCD2 tidak hanya terletak kepada penceritaan utama sahaja, tetapi kepada dunia terbuka dan bagaimana ia diisikan. Selain daripada misi utama, terdapat ratusan misi sampingan, dan setiap misi ini terasa seperti satu penceritaan yang ditulis dengan baik, mempunyai pengenalan, klimaks dan pengakhiran tersendiri. Saya tidak boleh mencari jika ada mana-mana misi yang saya rasakan membazir masa, sebaliknya kebanyakan misi, saya tidak boleh jangkakan apa yang akan berlaku. Saya mungkin bermula dengan misi untuk menghasilkan tapak kuda, tetapi kemudian berakhir dengan menyelamatkan seorang perempuan daripada membunuh diri kerana disisihkan oleh orang kampung.
Itu merupakan satu contoh sahaja daripada lambakan misi yang ada di dalam permainan ini. Jika anda mendapat satu misi sampingan yang mungkin bermula dengan agak membosankan, seperti pergi ambil sesuatu di satu tempat yang lain, ataupun pergi berjumpa dengan seseorang, jangan risau, kerana ia tidak mengambil masa yang lama untuk misi itu berubah menjadi sesuatu yang berlainan dan sangat jarang jika tiada langsung misi akan menjadi membosankan. Penghasilan misi-misi ini membuatkan saya mengingati kenangan indah bermain The Witcher 3, dan tidak sabar untuk menyelesaikan sesuatu misi.


Dengan pengisian misi-misi ini, di dalam dunia terbuka KCD2, melakukannya tidak terasa sekadar untuk menanda ‘selesai’ di mana-mana kotak sebaliknya saya melakukannya kerana ingin melakukannya. Sudah terdapat banyak permainan dunia terbuka yang diisikan dengan pelbagai aktiviti akan tetapi melakukannya adalah sekadar ingin mengejar trofi ataupun sekadar ingin mengisi kekosongan permainan tersebut. KCD2 adalah berlainan dan setiap misi memberi nilai tambah kepada permainan ini.
Sebagai satu permainan RPG, setiap misi ini juga diberi ruang untuk pemain menyelesaikan dengan cara yang tersendiri dan mengikut kepakaran yang ada pada Henry. Tidak kira jika Henry pandai bercakap, ataupun Henry kelihatan menakutkan, setiap penyelesaian yang berbeza ini akan memberi pengalaman yang berbeza terutama dengan dialog-dialog yang akan digunakan oleh Henry, ada masa tidak masuk akal tetapi berkesan kerana kepakaran yang ada pada Henry di dalam percakapannya.


Tambahan pada itu, rekaan dunia di dalam KCD2 juga sangat memukau, saya meluangkan masa lebih 50 jam sekadar menaiki kuda dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain, dan saya boleh katakan yang tiada kawasan yang terasa sekadar pengisian kosong, setiap kawasan, setiap pokok, setiap penempatan dihasilkan dengan teliti untuk memberikan satu dunia yang terasa hidup dan segar. Jika saya menaiki tempat yang tinggi, dan melihat ke bawah, ia membuatkan saya mengagumi permainan ini. Ia memberi makna kepada konsep dunia terbuka dan tidak sekadar luas tetapi penuh dengan pengisian walaupun sekadar rumah lama yang ditinggalkan. Saya boleh katakan yang pengalaman pertama saya melihat bandar Kuttenberg buat pertama kali adalah perasaan yang saya tidak boleh lupakan.
Tatamain lain di dalam permainan ini, masih lagi lebih kurang dengan KCD, contohnya pertempuran masih memberikan perlawanan senjata yang realistik dan mempunyai keunikan tersendiri. Seperti permainan pertama, ia bukanlah perkara yang saya sukai di dalam permainan ini, walaupun dipertingkatkan kualitinya dengan ia terasa lebih baik akan tetapi ia membawa satu masalah lain terutama di bahagian pertengahan permainan. Jika saya sudah membentuk Henry untuk menjadi seseorang yang pakar di dalam perlawanan pedang, walaupun melawan dengan ‘bos’ akhir ia terasa sangat mudah untuk diselesaikan. Jika anda bermain seperti saya, meluangkan terlalu lama bermain perkara sampingan, misi-misi utama akan menjadi sangat mudah dan pertempuran menjadi sedikit membosankan.


Perkara yang sama juga saya boleh katakan untuk groshen ataupun duit di dalam permainan ini, pada awalnya, saya sentiasa kekurangan duit untuk membeli perisai ataupun senjata baharu dan sekadar menggunakan apa yang ada sahaja, namun di pertengahan permainan, walaupun dengan jumlah groshen yang boleh ditukarkan melalui jual beli adalah terhad akan tetapi saya masih menjadi ‘kaya’ tetapi tiada barangan yang saya boleh beli. Pada pertengahan permainan, saya sudah menggunakan perisai dan senjata yang terkuat, dengan senjata yang lebih kuat hanya boleh dilakukan secara crafting, membuatkan groshen yang saya kumpul tidak mempunyai sebarang makna. Terdapat laporan yang mengatakan KCD2 akan menerima DLC yang membolehkan Henry untuk membuka perniagaan sendiri seperti blacksmith, jika benar ia mungkin akan membuatkan groshen ini kembali berguna.
Selain itu, perkara-perkara lain seperti menghasilkan ubat, ataupun bertukang besi masih sama dan ia boleh menjadi membosankan ataupun sesuatu yang menenangkan. Saya tidak terlalu memberi fokus kepada perkara ini, dan melakukannya sekadar di atas keperluan sahaja. Contohnya, saya menghasilkan 4 jenis potion yang saya sentiasa gunakan sahaja, termasuk juga untuk menyimpan permainan dan saya biasanya meluangkan 30 minit setiap 20 jam untuk mengisi semula. Manakala smiting saya merasakan membosankan dan hanya melakukannya jika diperlukan untuk misi.

Permainan ini juga boleh dikatakan bermula dengan sangat perlahan, selepas pemain boleh mengawal Henry sepenuhnya dan dapat untuk pergi ke mana sahaja, ia sangat overwhelming dan anda tidak tahu bagaimana ingin bermula. Setiap misi berada di ‘penghujung dunia’ dan Henry pada awalnya tidak mempunyai sebarang kemahiran ataupun kuda. Namun, saya boleh katakan tiada cara bermula yang salah ataupun betul, anda boleh bermula dengan apa cara sekalipun, jika terasa malas berjalan boleh mencuri kuda, jika terasa lemah elak daripada pencuri ataupun orang jahat. Kebebasan ini pada awalnya terasa seperti perkara negatif, tetapi jika diluangkan sedikit masa ia menjadi perkara yang terbaik untuk permainan ini.
Akhir kata, Kingdom Come: Deliverance II benar-benar menjadikan dunia terbukanya satu kanvas putih yang menantikan lukisan daripada pemain dengan pengembaraan mereka sendiri. Tiada lukisan yang salah, tiada lukisan yang lebih baik sebaliknya sekadar lukisan yang secara uniknya didapati oleh pemain yang mengambil masa untuk melihat segala yang terisi di dunia ini. Ia satu permainan yang memberikan pengalaman yang penuh dan memuaskan, setiap misi, setiap adegan, setiap perkara ada sahaja perkara yang berlaku yang anda tidak akan jangkakan. Ia satu pengalaman penuh untuk satu permainan dunia terbuka.
Kod permainan disediakan oleh Plaion bagi tujuan ulasan ini.