Ulasan Baldur’s Gate 3

Sebagai seorang yang tidak mengikuti Baldur’s Gate ataupun permainan Dungeon & Dragons, akan tetapi telah meluangkan ratusan jam bermain permainan lain oleh Larian Studios, Baldur’s Gate 3 (BG3) menarik minat saya tidak seperti kebanyakan orang lain. Saya sebelum ini ternanti-nanti untuk bermain Baldur’s Gate 3 kerana ingin melihat apa yang seterusnya oleh Larian dan mereka tidak mengecewakan. Baldur’s Gate 3 sangat menakjubkan dan saya tidak merasakan ada satu permainan yang memberikan penceritaan serta dunia yang sentiasa berhubung dengan saya sebagai pemain dan saya ingin melihat setiap sudut, bahagian yang ditawarkan di dalam permainan ini.

Seperti saya katakan sebelum ini, saya bukan yang fasih mengenai dunia Baldur’s Gate, saya mengenali beberapa watak daripada permainan ini melalui kad-kad daripada Magic: The Gathering yang saya ada. Namun, bermula dari awal dengan watak pemain berada di atas kapal illithid yang juga digelar sebagai mind flayer dan telah dimasukkan tadpole yang sepatutnya akan mengubah sesiapa sahaja menjadi illithid akan tetapi atas sebab tertentu ia tidak terjadi kepada watak pemain sehinggalah mengenai perubatan kuasa di Baldur’s Gate, permainan ini mempunyai penceritaan yang sangat menarik. Bukan sahaja penceritaan utama, tetapi juga penceritaan sampingan sebelum-sebelum ini.

Seperti Divinity: Original Sin, apabila saya memasuki kawasan baharu, ia akan ditutup dengan ‘awan hitam’, jika terdapat misi-misi tertentu ia juga akan diperlihatkan di atas peta akan tetapi bagi saya cara terbaik untuk bermain permainan seperti ini adalah mengembara kepada setiap sudut untuk memastikan awan hitam tersebut hilang, dan pada masa sama, saya juga akan menjumpai pelbagai watak dan penceritaan tidak kira yang utama ataupun yang sampingan. Di dalam permainan ini, jumlah perkara sampingan yang saya dapat jumpa dengan sekadar mengembara terasa seperti tiada akhiran, ada sahaja sesuatu yang baharu. Oleh disebabkan itu bagi saya pengembaraan di dalam permainan ini adalah perkara yang sangat mengasyikkan dan sebab utama permainan yang mungkin mengambil 60 jam untuk dihabiskan, sebaliknya mengambil lebih 100 jam.

Penceritaan utama bagi saya adalah mencukupi, ia tidak tidaklah membawa sesuatu yang baharu, bahkan penceritaan di dalam Divinity: Original Sin (DOS) terasa lebih menarik, namun saya masih gembira untuk meluangkan masa mendengar penceritaan ini, terutama melalui narrator yang menyampaikannya dengan baik sekali, setiap penceritaan juga disampaikan dengan berlainan mengikut watak yang digunakan. Saya boleh memilih daripada 6 watak terbina, seperti Astarion, Gale, Shadowheart dan Karlach ataupun hadir dengan watak sendiri. Mana-mana watak yang saya pilih ataupun hadir dengan watak sendiri, watak-watak lain boleh dicari di dalam permainan untuk mengikuti pengembaraan saya, terdapat juga 4 watak tambaha yang juga boleh direkrut iaitu Halsin, Minthara, Minsc, Jaheira.

Setiap watak ini boleh disertakan adalah pilihan saya, saya mengikut pilihan saya, terdapat juga watak yang tidak akan menyertai ataupun tidak dapat menyertai atas halangan-halangan tertentu. Saya boleh dapatkan semua, tetapi pada satu masa boleh membawa 4 watak sahaja. Watak yang di bawa akan memberikan kejadian berbeza untuk sesuatu adegan. Seperti apa yang saya lakukan di dalam DOS, saya biasanya menggunakan 4 watak dari awal permainan sehingga akhir, perkara yang sama saya lakukan untuk BG3. Ini adalah kerana lebih mudah untuk membina skuad dan juga agar saya boleh memulakan sesi permainan baharu dengan lebih segar kerana akan menggunakan 4 watak yang berlainan.

Watak-watak di dalam permainan ini ditulis dengan sangat baik, setiap watak mempunyai penceritaan tersendiri yang berkait dengan dunia yang direka di dalamnnya. Ini memberikan pengalaman yang lebih baik di dalam lebih mengenali watak-watak ini, setiap daripada mereka juga mempunyai kejutan tersendiri. Sedikit rungutan, saya merasakan perhubungan di antara watak saya dengan watak-watak lain ada masa terasa terlalu mendorong kepada perhubungan yang lebih rapat terlalu cepat, ia bagaikan semua orang jatuh cinta dengan watak saya. Saya merasakan jika ia dilakukan dengan mengambil lebih masa menjadikan perhubungan tersebut lebih bermakna, tetapi bahagian lain ia dilakukan dengan sangat baik terutama dengan pelbagai konflik yang timbul apabila saya melakukan pilihan tertentu.

Sistem pertempuran di dalam BG3 bagi saya adalah perkara yang paling mengecewakan, jika anda fikirkan ini adalah perbezaan pendapat mengenai ‘turn-based’ dan ‘action’, ia bukan, saya menyukai bermain turn-based ataupun pertempuran yang lebih aksi, cuma pertempuran BG3 terasa terlalu perlahan dan agar sukar untuk saya memikirkan ada perkara menarik berlaku semasa pertempuran ini. Ia mungkin kerana saya sering menggunakan watak yang sama sahaja, tetapi sebab utama bagi saya BG3 lebih mementingkan kepada bertempur dengan penjahat yang jauh lebih ramai berbanding pemain. Oleh itu, jika ingin membina watak, saya merasakan ia menjadi terlalu fokus kepada untuk melakukan serangan secara kawasan berbanding individu. Tambahan pada itu, saya juga perlu menunggu setiap penjahat menyelesaikan pergerakan mereka dan ia mengambil masa yang lama atas jumlah penjahat yang ada.

Bahagian besar permainan ini saya bermain menggunakan PC dan dengan PC spesifikasi sederhana saya boleh katakan yang permainan ini agak berat dan mungkin memerlukan tetapan yang tertentu untuk memberikan pengalaman bermain yang baik. Terutama apabila anda memasuki Baldur’s Gate, dua bahagian pertama permainan ini anda berada di kawasan lain. Di Baldur’s Gate dengan kawasan bandar yang dipenuhi dengan orang ramai, ia akan memberi kesan lebih besar kepada prestasi permainan. Ia masih boleh dimainkan dengan baik tetapi anda perlu memilih tetapan yang lebih rendah berbanding kebiasaan.

Saya juga bermain permainan ini di Xbox Series X, dengan sokongan fungsi ‘cross-save’ saya boleh menggunakan fail simpanan yang sama, saya boleh bermula di PC, meneruskan di Xbox Series dan kembali bermain di PC. Fungsi cross-save ini berfungsi dengan baik akan tetapi jika anda bermain di Xbox Series dan mungkin juga di PS5, pastikan anda menutup permainan dan membukanya kembali untuk pastikan fail telah di-sync. Di Xbox Series X saya boleh katakan yang prestasi adalah lebih kurang dengan apa yang saya dapat daripada PC, kecuali saya hanya mempunyai dua pilihan grafik sahaja iaitu Performance Mode ataupun Quality Mode, saya menggunakan Performance Mode dan kualiti grafik adalah mencukupi tetapi masih terdapat beberapa kawasan yang terganggu kadar kelancaran dan juga masih ada pepijat grafik terutama semasa dialog.

Bagi kawalan pula, menggunakan alat kawalan akan memberikan UI yang sedikit berlainan berbanding menggunakan tetikus dan papan kekunci. Ia menjadi lebih mudah untuk menggunakan alat kawalan, dengan kebanyakan menu boleh diakses melalui roda, akan tetapi saya masih menyukai penggunaan tetikus dan papan kekunci kerana ia lebih mudah, terutama di dalam pengurusan inventory ataupun mengurus watak-watak. Namun, jika anda tidak mempunyai PC ataupun ingin bermain BG3 di konsol anda tidak akan mempunyai pilihan dan ia bukanlah satu pilihan yang kurang baik kerana saya masih boleh bermain menggunakan alat kawalan tanpa sebarang masalah.

Baldur’s Gate 3 adalah satu permainan yang kaya dengan rekaan dan juga pengisian dunia, penceritaan walaupun pada asasnya adalah biasa akan tetapi ia mempunyai cabang yang mendalam menjadikan satu pengalaman yang sangat baik, terutama dengan kepelbagaian watak yang disertakan di dalam permainan ini. Pertempuran sedikit membosankan, akan tetapi jika anda dapat mencari cara untuk menjadikannya menarik, permainan ini menghampiri kesempurnaan.

Penafian: Kod permainan Baldur’s Gate 3 untuk Xbox Series disediakan oleh Larian Studios bagi tujuan ulasan ini.

Baldur's Gate 3
Baldur's Gate 3 adalah satu permainan yang kaya dengan rekaan dan juga pengisian dunia, penceritaan walaupun pada asasnya adalah biasa akan tetapi ia mempunyai cabang yang mendalam menjadikan satu pengalaman yang sangat baik, terutama dengan kepelbagaian watak yang disertakan di dalam permainan ini. Pertempuran sedikit membosankan, akan tetapi jika anda dapat mencari cara untuk menjadikannya menarik, permainan ini menghampiri kesempurnaan.
Positif
Penceritaan dan cabangnya yang mendalam
Perwatakan menarik
Dunia yang kaya dengan pengisian dan luas
Negatif
Sistem pertempuran sedikit membosankan
9

Sohor Kini