Jika ada satu permainan yang boleh menggambarkan keseronokan bermain permainan video, saya akan nyatakan Astro Bot merupakan permainan yang benar-benar mengisi gambaran tersebut. Sebelum ini hadir sebagai permainan VR sebelum menjadi demo teknologi untuk PlayStation 5, Astro Bot diberikan ruang untuk menjadi permainan kendiri dan saya boleh katakan Team Asobi berjaya melakukannya dengan sangat bergaya.
Sepanjang saya bermain permainan ini, saya mendapati yang saya sentiasa tersenyum dengan pelbagai imaginasi menarik rekaan dunia dan juga tingkah laku pelbagai bot yang perlu dicari oleh saya untuk menghabiskan permainan ini. Permainan ini menyertakan 6 ‘galaksi’ dengan setiap-nya mempunyai beberapa planet tersendiri yang membawa kepada 50 planet dan 80 tahap yang berbeza. Di planet dan peringkat ini saya perlu mencari lebih 150 bots, terdapat juga cebisan jigsaw yang akan membuka pelbagai perkara menarik di hab permainan, dan juga mencari tahap tersembunyi.
Setiap planet serta tahap yang disertakan akan memberikan cabaran yang berbeza dan mekanik permainan yang berlainan menjadikan setiap daripadanya sentiasa terasa segar. Ini ditambah lagi dengan penggunaan power-up yang unik, seperti roket anjing yang membuatkan saya bergerak pantas ke depan, ataupun tangan monyet untuk memudahkan saya memanjat dan juga mengangkat batu-batu yang berat. Rekaan yang pelbagai ini membuatkan saya ternanti-nanti untuk melihat ‘gimik’ apa yang akan disertakan di dalam peringkat seterusnya, tetapi ia bukan gimik kosong sebaliknya gimik yang membuat saya tersenyum lebar.
Menghabiskan kesemua planet dan peringkat boleh dilakukan dalam masa 15 jam, mungkin lebih cepat jika anda mahir di dalam platforming, kerana terdapat beberapa tahap yang akan menguji kemahiran saya, walaupun majoriti peringkat adalah lebih kasual ataupun mudah untuk diselesaikan. Namun, saya masih mempunyai sebilangan bot yang tidak dijumpai ataupun cebisan jigsaw dan juga tahap-tahap yang tersembunyi. Menyelesaikan kesemuanya ataupun mendapat platinum bagi permainan ini yang saya boleh katakan agak mudah akan mengambil tambahan 5 jam lagi, mungkin lebih jika anda seperti saya agak buta semasa bermain, sering terlepas pandang tempat-tempat yang tersembunyi.
Dapat dihabiskan dalam masa lebih kurang 20 jam mungkin satu durasi yang pendek untuk sesetengah pemain. Bagi saya, benar saya inginkan lebih lagi, mungkin satu ataupun dua lagi galaksi, akan tetapi saya juga merasakan pengalaman yang diberikan dalam masa yang ‘pendek’ ini sudah memuaskan untuk saya berpuas hati. Team Asobi sudah mengumumkan akan ada lebih banyak peringkat yang akan disertakan dan bagi saya ia akan menjadi nilai tambah untuk permainan ini, bahkan saya menerima dengan tangan terbuka jika ia adalah DLC yang berbayar.
Melakukan kesemua perkara di atas adalah sebahagian daripada perkara yang menjadikan permainan ini menyeronokkan, tambahan pada itu, perkara yang sering membuatkan saya tersenyum adalah menjumpai bot yang dipanggil sebagai VIP, ia adalah bot berdasarkan watak-watak daripada siri permainan oleh PlayStation ataupun yang boleh dimainkan di konsol tersebut. Selain dapat mencari mereka, sesetengah peringkat juga dihasilkan mengikut tema untuk watak tersebut. Ia membantu saya untuk mengenang nostalgia mengenai watak tersebut dan juga menjadi sebagai satu pengenalan bagi watak-watak yang saya tidak kenali. Ada juga beberapa peringkat yang akan menjadikan saya watak VIP tersebut.
Bercakap mengenai PlayStation, walaupun Astro Bot menjadi permainan yang penuh dan bukan lagi sekadar demo teknologi untuk konsol, permainan ini masih memberikan demo yang baik untuk keunikan fungsi yang disertakan di PS5, terutama melalui penggunaan DualSense. Ada sahaja helah menggunakan fungsi di alat kawalan yang disertakan. Contohnya, jika saya menggunakan power-up tangan monyet, selain memanjangkan tangan menggunakan L2 atau R2, saya juga perlu menggerakkan DualSense untuk membolehkan saya memanjat sesuatu dinding.
Akhir kata, Astro Bot merupakan satu permainan yang benar-benar membawa keriangan ataupun keseronokan di dalam permainan video. Tidak kira rekaan peringkat, ataupun rekaan persekitaran, perkara-perkara tersembunyi dan juga bot dengan rekaan yang unik, segala perkara ini menjadi bahan untuk menghasilkan satu permainan yang sentiasa membuatkan saya tersenyum. Durasi keseluruhan permainan serta majoriti peringkat adalah ringkas mungkin membuatkan permainan ini terasa cepat berlalu, akan tetapi dengan Team Asobi sudah menjanjikan kandungan tambahan di masa hadapan, ia akan menjadikan pengalaman yang lebih baik.