Skip to main content

Berikut merupakan petikan daripada ulasan untuk Spider-Man 2 untuk PlayStation 5. Ulasan khusus untuk versi PC, boleh dibaca di bahagian grafik.

Peter Parker, Spider-Man dan Miles Morales, Spider-Man masing-masing telah menerima permainan tersendiri, dan melalui Marvel’s Spider-Man 2 mereka berdua bersatu di dalam satu permainan dan tidak salah untuk saya katakan harapan saya bagi permainan ini adalah dua kali ganda berbanding permainan-permainan sebelum ini. Di kebanyakan aspek di dalam permainan ini, mereka berjaya untuk membawa satu permainan yang ‘dua kali ganda’ lebih baik, tetapi ada juga aspek yang terasa tidak membawa perubahan yang ketara berbanding permainan sebelum ini.

Perkara pertama yang saya ingin sentuh adalah penceritaan, dua permainan yang lepas membawa satu penceritaan yang baik dan penuh dengan emosi. Perkara yang sama untuk Marvel’s Spider-Man 2 ini dengan tambahan pelbagai lagi watak-watak yang disertakan dengan lebih menyeluruh di dalam penceritaan utama. Insomniac Games mempunyai ramai watak yang ingin disertakan, bukan sahaja kedua-dua Spider-Man, tambahan itu ada MJ, Harry Osborn serta penjahat baharu seperti Kraven the Hunter dan Venom.

Walaupun mempunyai ramai watak, penceritaan masih lagi berjaya disampaikan dengan tidak bercelaru, pacing adalah baik kecuali untuk beberapa adegan yang melibatkan tatamain berbeza, yang saya akan bincangkan kemudian. Kraven the Hunter dan Venom sebagai antagonis adalah menarik, tetapi jelas permainan ini lebih memfokuskan Venom membuatkan Kraven terasa kurang digunakan, namun bagaimana Insomniac Games menggunakan kesemua watak ini, baik atau jahat untuk menggerakkan plot saya boleh katakan mereka melakukan satu tugas yang baik.

Satu lagi perkara yang baik di dalam penceritaan adalah ia menitik beratkan perhubungan di antara watak, bukan sahaja di antara Peter Parker dan Miles tetapi juga dengan watak-watak lain. Cuma sedikit mengecewakan dengan bagaimana permasalahan untuk watak contohnya Peter Parker, Miles Morales dan MJ disampaikan. Saya mengetahui atau menyedari yang mereka mempunyai masalah ataupun sedang melalui sesuatu, tetapi bagaimana perkara tersebut disampaikan membuatkan saya tidak mendapat kesan daripadanya menjadikan ia kurang berkesan.

Mungkin sukar untuk memasuki segala penceritaan di dalam masa yang singkat, tetapi pada masa sama saya merasakan yang permainan ini boleh dipanjangkan lagi untuk memberi ruang kepada setiap masalah tersebut dijadikan fokus. Ia akan membantu untuk mempertingkatkan lagi perkembangan watak. Dengan penceritaan utama sekadar mengambil 12-13 jam untuk dihabiskan, dan sekitar 25 jam untuk keseluruhan, permainan ini masih mempunyai ruang untuk dikembangkan lagi. Oleh itu sedikit mengecewakan Insomniac Games tidak mengambil kesempatan ini.

Bercakap mengenai penceritaan utama, atau misi utama, ia dilakukan dengan baik, dan penukaran di antara Peter Parker dan Miles Morales juga memberi ruang untuk kedua-dua watak mempunyai bahagian tersendiri di dalam misi utama ini. Tambahan itu, seperti permainan lepas, ia turut melibatkan MJ dan ditingkatkan dengan kini mempunyai senjata berbanding menyelinap sahaja sebelum ini. Selain MJ, terdapat beberapa lagi watak yang boleh dikawal dan setiap daripada mereka membawa pengalaman yang berbeza dan menarik, walaupun ada masa penglibatan mereka mengganggu sedikit pacing permainan terutama semasa sedang melalui klimaks penceritaan.

Marvel’s Spider-Man 2 seperti dua permainan yang lepas merupakan permainan dunia terbuka, dan kali ini mereka mendapat dua kawasan baharu iaitu Queens dan Brooklyn, dua kawasan di New York yang sudah menjadi kebiasaan untuk penceritaan Marvel. Dua kawasan baharu ini adalah penambahan yang baik untuk permainan ini, namun mengecewakan yang Insomniac Games masih memilih untuk mengisi dunia terbuka ini dengan ‘aktiviti’ berbanding ‘misi’. Kebanyakan perkara yang boleh dilakukan adalah aktiviti yang sama tetapi di tempat-tempat yang berbeza, ataupun mengumpul perkara yang berlainan di sekitar bandar New York.

Walaupun dengan melakukan aktiviti ini akan membawa penceritaan tersendiri, bagi saya ia tidak menarik terutama dengan dua permainan dunia terbuka yang saya baru sahaja main sebelum ini iaitu Cyberpunk 2077 dan Starfield lebih memfokuskan kepada misi berbanding aktiviti, adalah lebih baik di dalam penyampaian-nya. Terdapat misi yang disertakan untuk Peter Parker berkait dengan ‘The Flame’ manakala mengenai muzik untuk Miles Morales dan bagi saya kedua-dua misi ini adalah sangat menarik, membuatkan saya lebih kecewa kerana ia tidak diperbanyakkan lagi – misi ini juga mempunyai kejutan tersendiri.

Sedikit perkara positif yang saya boleh katakan adalah aktiviti-aktiviti yang disertakan ini mempunya pelbagai variasi, di tambah lagi dengan terdapatnya aktiviti khusus untuk Peter Parker atau Miles Morales, menjadikan ia lebih menarik untuk dilakukan. Tambahan, segala aktiviti ini adalah pilihan sahaja dan tidak perlu dilakukan, ia mungkin diperlukan jika ingin mempertingkatkan tahap sesuatu gajet ataupun kostum kerana ia masih menggunakan sistem token seperti sebelum ini. Setiap aktiviti ini juga tidak mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, oleh itu anda mungkin sudah menghabiskannya sebelum sempat merasa bosan.

Permainan Spider-Man mempunyai antara cara traversal terbaik di dalam permainan dunia terbuka melalui web-swigging di dalam permainan sebelum ini, kini, ia ditambah lagi dengan sayap yang membolehkan kedua-dua Spider-man meluncur di udara, dan bagi saya perkara ini membuat saya jarang menggunakan fast travel – walaupun sistem fast travel dipertingkatkan di dalam permainan ini – kerana ia terlalu seronok untuk sekadar swigging dan juga meluncur di Bandar New York. Tambahan pada itu, ini bukan sahaja di udara, tetapi juga di atas air dengan Spider-man kini boleh meluncur di atas permukaan air, ia bukan sahaja kelihatan sangat cool tetapi juga memudahkan lagi pergerakan di dalam permainan ini. Kawalan untuk cara baharu bagi mengembara ini adalah baik, meningkatkan lagi kualiti traversal untuknya.

Pertempuran adalah lebih kurang dengan permainan sebelum ini, akan tetapi Peter Parker dan juga Miles Morales menerima beberapa kuasa baharu dan selain serangan biasa, kedua-dua Spider-Man boleh menggunakan kuasa ini yang boleh digunakan 4 pada satu masa, dengan 4 lagi adalah gajet. 4 kuasa adalah berlainan di antara dua Spider-Man manakala gajet dikongsi oleh kedua-duanya. Walaupun, menggunakan kuasa yang berlainan tetapi pada asasnya gaya pertempuran masih terasa sama di antara dua Spider-Man, dengan ia berbeza kebanyakan adalah bagaimana kuasa tersebut dilakukan ataupun visual sahaja.

Pokok kemahiran juga dibahagi kepada tiga iaitu satu untuk Peter Parker, Miles Morales dan juga satu yang dikongsi oleh mereka berdua. Menggunakan kedua-dua watak ini terasa sedikit berbeza tetapi pada masa sama saya inginkan lebih perbezaan agar benar-benar memperlihatkan perbezaan di antara bagaimana Peter Parker dan Miles Morales bertempur. Kepelbagaian penjahat pula saya boleh katakan pada awalnya ia adalah seperti permainan sebelum ini, akan tetapi menjadi lebih berbeza di bahagian kedua permainan sehingga penamat.

Saya bermain dengan tahap kesukaran Normal ataupun ‘Amazing’ dan saya boleh katakan ia sedikit lebih sukar berbanding dua permainan sebelum ini pada tahap kesukaran yang sama, kali ini saya benar-benar terasa perlu menggunakan segala kuasa dan gajet untuk melawan mereka. Oleh itu, ia adalah permainan yang mencabar jika anda merancang untuk bermain dengan tahap kesukaran lebih tinggi, satu lagi tahap kesukaran iaitu ‘Ultimate’ akan dibuka selepas habis bermain buat pertama kali.

Tekaria disertakan dengan lebih menyeluruh di dalam permainan ini, jika anda menyukainya, ia adalah perkara yang baik. Bagi saya tekaria yang disertakan adalah menarik, ringkas tetapi pada masa sama masih menguji saya. Jika anda tidak menyukai tekaria, permainan ini menyediakan dua pilihan iaitu menjadikan tekaria lebih ringkas ataupun langkau terus tanpa perlu melakukannya.

Satu Port Yang Bermula Tidak Baik, Sekarang Lebih Baik

Bagi grafik, saya boleh katakan yang port untuk Marvel’s Spider-Man 2 bukan yang terbaik pernah dihasilkan oleh PlayStation untuk permainan-permainan mereka yang dibawa oleh PC. Semasa saya awal-awal mencuba, ia sering terkeluar ataupun crashes walaupun saya tidak menggunakan tetapan yang tinggi. Perkara ini menyebabkan saya lebih menantikan jika mereka mengeluarkan kemaskini dan mereka mengeluarkan dua dengan yang terbaru pada awal bulan ini. Saya mula bermain semula dan saya katakan prestasi yang disertakan adalah lebih baik daripada permulaan.

Berikut merupakan spesifikasi ringkas PC yang saya gunakan untuk mencuba permainan ini:

  • CPU: AMD Ryzen 5 3600
  • GPU: NVIDIA GeForce RTX 4070 Super
  • RAM: 16GB
  • Resolusi: 1080p

Bagi ujian ini, saya menggunakan tetapan lalai yang tertinggi iaitu ‘Very High’ dengan dengan tetapan Ray-Tracing ‘High’, terdapat tetapan yang lebih tinggi iaitu Very High dan juga Ultimate ataupun tutup secara terus, tetapi pada percubaan saya ‘High’ sudah memadai terutama kerana menggunakan tetapan yang tertinggi untuk bahagian grafik.

Saya juga mencuba dengan tiga tetapan DLSS iaitu tanpa DLSS, dengan DLSS – Quality dan DLSS – Quality – Frame Generation.

Bagi sesi permainan tanpa DLSS, saya boleh katakan ia masih boleh dimainkan dengan baik kerana purata FPS adalah 46 dengan kebanyakan bahagian mencapai 58FPS, walaupun tidak mencapai 60FPS tetapi sudah dijangkakan kerana tetapan yang tinggi ditambah lagi dengan permainan ini menyertakan satu dunia yang agak ‘sibuk’.

Bagi menggunakan DLSS – Quality pula, secara purata ia memberikan 48FPS dan untuk kebanyakan bahagian melebihi 60FPS, yang bagi saya sudah mencukupi. Oleh kerana itu saya tidak mencuba tetapan lain seperti DLSS – Performance yang sudah semestinya memberikan FPS yang lebih tinggi.

Dengan permainan ini juga menyokong Frame Generation, saya juga mengujinya dan tidak mengejutkan ia memberikan FPS yang lebih tinggi. CapFrameX tidak dapat memperlihatkan dengan baik data apabila menggunakan tetapan ini akan tetapi saya boleh katakan ia melebihi 90FPS untuk kebanyakan masa. Saya juga tidak terlalu merasai sebarang input delay.

Jika anda menggunakan spesifikasi PC yang lebih kurang, anda boleh jangkakan sesuatu yang sama dengan apa yang saya peroleh ini, lebih baik jika mempunyai kad grafik ataupun CPU yang lebih baik. Jika menggunakan monitor dengan resolusi 4K atau monitor ultra-lebar, saya lebih cadangkan untuk menggunakan tetapan medium dan tanpa menggunakan Raytracing, ataupun boleh mengharapkan kepada Frame Greneration yang bagi saya tidak mempunyai masalah tetapi hanya digalakkan jika anda perlu FPS yang melebihi 60FPS.

Sepanjang sesi saya bermain, saya menggunakan tetapan di atas dan membuka DLSS-Quality, saya dapat main tanpa sebarang masalah, terutama selepas kemaskini yang tiba pada awal bulan ini. Jika anda sudah membeli permainan ini sebelum ini dan merasakan ia bermasalah, anda boleh mencubanya sekarang, jika baru ingin mencubanya, sekarang masa yang terbaik kerana kebanyakan masalah sudah diselesaikan dan ia hanya akan jadi lebih baik daripada semasa ke semasa.

Bagi alat kawalan, anda boleh bermain menggunakan papan kekunci dan tetikus tetapi saya lebih galakkan menggunakan alat kawalan kerana lebih memudahkan kawalan, dan jika mempunyai DualSense ia juga menyokong kelebihan-kelebihan yang di bawa oleh DualSense tetapi anda akan memerlukan wayar untuk mendapat kelebihan seperti getaran haptik dan picu penyesuai.

Akhir kata, Marvel’s Spider-Man 2 bagi perkara yang baik ataupun tidak adalah seperti dua permainan sebelum ini. Menyertakan dua Spider-Man di dalam satu permainan menjadikan ia satu permainan yang lebih menyeluruh untuk satu permainan Spider-Man. Penceritaan juga adalah baik dengan pelbagai perhubungan di antara watak diperkuatkan lagi dan menjadi bahagian penting di dalam penceritaan selain daripada watak jahat seperti Kraven dan Venom yang dilakukan dengan memuaskan. Menjadikan Marvel’s Spider-Man 2 satu permainan yang memberikan pengalaman yang epik.

Prestasi di PC pada awalnya tidak baik, akan tetapi selepas beberapa kemaskini, ia tidak lagi memberikan masalah untuk dimainkan. Ia juga tidak memerlukan spesifikasi yang tinggi untuk bermain dengan lancar, melainkan ingin mendapat grafik yang terbaik, tetapi dengan spesifikasi sederhana dan juga tetapan yang sama, saya boleh katakan grafik yang ditawarkan sudah cukup baik.

Marvel’s Spider-Man 2 sudah dilancarkan untuk PC pada 30 Januari 2025, dan untuk PS5 pada 30 Oktober 2025. Kod permainan ini disediakan oleh SIE bagi tujuan ulasan ini.

Marvel's Spider-Man 2 (PC)
Marvel's Spider-Man 2 masih mempunyai masalah pengisian dunia terbuka yang kurang menarik tetapi selain daripada itu ia adalah satu pengalaman yang lengkap dengan penyampaian yang epik. Versi PC walaupun pada awalnya bukan port yang baik, menjadi lebih memuaskan selepas beberapa kemaskini.
Positif
Penceritaan Menyeluruh Melibatkan Ramai Watak
Variasi Penjahat Yang Mencukupi
Pilihan Kostum
Port PC yang baik
Negatif
Pengisian Dunia Terbuka Kurang Menarik
Penukaran Watak Ada Masa Menganggu Pacing
9

Leave a Reply

Final Score