Nintendo dan Monolith Soft telah mengumumkan Xenoblade Genesis, judul terbaharu yang dijadualkan untuk pelancaran pada tahun 2027. Diumumkan ketika Nintendo Direct baru-baru ini ia akan dilancarkan untuk Nintendo Switch 2.

Menerusi treler sinematik pertama yang ditayangkan, latar belakang Xenoblade Genesis dibina berasaskan sumber asas dunia yang dipanggil Anima, iaitu elemen yang membentuk segala sesuatu termasuk air, api, dan angin. Pertempuran di dalam permainan ini digerakkan oleh golongan pahlawan yang dikenali sebagai Vesselai, yang mempunyai keupayaan khas untuk memanipulasi kuasa Anima.

Penceritaan permainan ini berpusat di sebuah akademi yang terletak di kawasan Leukos, tempat para Vesselai menjalani latihan tempur dan kehidupan harian mereka. Setiap Vesselai akan dibekalkan dengan sebuah objek penting yang dipanggil “Anima crystone”. Batu kristal ini berfungsi untuk menggandakan kuasa mereka di samping merekodkan setiap tindakan dan pemikiran penggunanya.

Video pendedahan tersebut turut menonjolkan tema naratif yang lebih gelap, mendedahkan konflik moral yang dihadapi oleh watak-watak ini apabila tugas mereka sebagai kesatria secara langsung melibatkan pembunuhan, dan misi mereka untuk mencari kebenaran di sebalik sistem tersebut.

Dunia baharu di dalam Xenoblade Genesis digambarkan sebagai sebuah benua luas yang disinari oleh cahaya dari enam matahari. Penceritaan utama permainan ini akan didorong oleh sejarah mengenai dendam yang belum berbalas daripada seorang dewa yang telah tewas.

Leave a Reply