Kingdom Hearts IV disahkan akan turut dilancarkan untuk Nintendo Switch 2. Perkara ini didedahkan menerusi penstriman Nintendo Direct, yang turut memperlihatkan rakaman persekitaran dan sistem pertempuran permainan tersebut.

Treler baharu selepas sekian lama ini memfokuskan kepada watak Sora yang terperangkap di dalam sebuah bandar metropolitan berkonsepkan dunia realistik. Dia dilihat berlawan dengan seekor raksasa bayang gergasi di tengah-tengah ruang udara bandar dan jalan raya. Sistem pertempuran Action RPG permainan ini menonjolkan pergerakan yang lincah, di mana Sora menggunakan elemen parkour seperti berlari di bahagian sisi bangunan dan mempamerkan kebolehan senjata Keyblade yang boleh berubah bentuk untuk pelbagai jenis serangan.

Penceritaan Kingdom Hearts IV turut disentuh secara ringkas melalui seorang watak berhud misteri. Dia menerangkan bahawa struktur dunia baharu tersebut pada asalnya tidak mempunyai konsep cahaya dan kegelapan, sehinggalah ketibaan mereka yang memberi bentuk fizikal kepada entiti tersebut. Beberapa watak klasik seperti Donald Duck dan Goofy juga membuat kemunculan ringkas sedang mencari sesuatu di dalam kawasan yang gelap.

Buat masa ini, masih tiada tarikh pelancaran yang diumumkan untuknya.

Leave a Reply