Selepas pandemik covid-19 jumlah penonton yang mengunjungi pawagam untuk menonton filem kian bertambah, tetapi kutipan-kutipan filem tempatan masih kurang memberangsangkan. Walaupun pada tahun lepas, jumlah kutipan untuk filem tempatan sepanjang tahun 2024 adalah RM115 juta, tetapi hampir 80% kutipan tersebut adalah daripada 5 filem sahaja, dengan 21 filem lain mempunyai jumlah kutipan lebih kurang 20% sahaja.
Melalui artikel ini, kami akan berkongsi kesemua filem tempatan yang ditayangkan pada bulan lepas, dan kutipan semasa. Kami akan kemaskini dari semasa ke semasa, kerana terdapat beberapa filem lagi masih sedang ditayangkan:
PAPA (RM82 Ribu)
Tarikh Tayangan: 2 Januari 2025
Penerbit: Madness Films Sdn Bhd
Filem arahan Zh Emdee dengan senarai pelakon seperti Puteri Balqis, Aniq Durar, Lia Natalia, Hasnul Rahmat dan Shahronizam. Filem ini memfokuskan kepada seorang bapa yang terpaksa menghadapi anak perempuannya yang bersikap aneh kerana telah dirasuk.
8 Bucks Tycoon (RM118 Ribu)
Tarikh Tayangan: 2 Januari 2025
Penerbit: Froggy Planet Sdn Bhd
Filem arahan Katak Chua dengan senarai pelakon seperti Henley Hii, Joey Leong, Eric Chen, dan Gadrick Chin mengisahkan mengenai seorang pelukis yang kurang berjaya telah menemui dompet ajaib yang dapat memberikan wang ringgit tanpa had tetapi daripada kekayaan tersebut juga membawa pelbagai masalah lain.
Sahak Gangster (RM49 Ribu)
Tarikh Tayangan: 9 Januari 2025
Penerbit: Millennium Megamas Sdn Bhd
Filem arahan Ahmad Idham dengan senarai pelakon Hariz Hamdan, Nelissan Nizam, Yana Samsudin, Usop Wilcha, dan Mamak Puteh. Filem ini memfokuskan Sahak yang dibesarkan oleh Pak Andak iaitu seorang gangster, selepas Pak Andak dibunuh, Sahak bertekad untuk membalas dendam.
Bisikan Dosa (RM604 Ribu)
Tarikh Tayangan: 9 Januari 2025
Penerbit: Yusrych Global Sdn Bhd
Filem arahan Faizul A. Rashid dan melibatkan senarai pelakon seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Mustaqim Bahadom, Juliana Evans, Sara Ali dan Sherie Merlis. Filem ini adalah mengenai Sarimah yang baru kematian anak telah berpindah ke Kuala Lumpur dan menjadi pembantu rumah untuk keluarga Ayden, dia kemudia diganggu oleh roh yang dikatakan sebagai bekas isteri kepada pemilik rumah tersbeut.
EMP4T (RM 74 Ribu)
Tarikh Tayangan: 16 Januari 2025
Penerbit: Lomo Pictures Sdn Bhd
Filem arahan Silver Yee bersama dengan Ayez Shaukat dan melibatkan senarai pelakon seperti Adriana Adnan, Syafie Naswip, Alvy Joanna, Riesha Aslan, dan Ayez Shaukat. Filem adalah mengenai seorang wanita yang mempunyai keupayaan untuk melihat perkara mistik, ia menjadi lebih teruk apabila perkara tersebut mula menyerang rakan-rakannya.
Big Student (RM53 Ribu)
Tarikh Tayangan: 16 Januari 2025
Penerbit: K Productions Sdn Bhd
Filem arahan Eddie Tiger dan senarai pelakon seperti Clarence Wong, Ribbon Ooi, Freddie Wong, dan Chun Wong. Selepas cucunya meninggal dunia sebelum dapat menduduki SPM, seorang datuk bertekad untuk mengambil peperiksaan tersebut bagi mengingati cucunya itu.
Soloz: Game of Life (RM2.2 Juta)
Tarikh Tayangan: 23 Januari 2025
Penerbit: Key Billions Sdn Bhd
Filem arahan Syafiq Yusof dan senarai pelakon seperti Hun Haqeem, Ikmal Amry, Syafie Naswip, Noki K-Clique, Jaa Suzuran, dan Hafeez Mikail. Filem ini adalah perjalanan hidup Soloz bagaimana beliau menjadi yang terawal terlibat dengan permainan Mobile Legends: Bang Bang dan juga bermain secara profesional dan pelbagai masalah dan halangan yang perlu dilaluinya.
Baca: Ulasan Soloz: Game of Life
Kesemua data diambil daripada data Skim Wajib Tayang oleh FINAS