Skip to main content

Semasa sesi sidang media, Syafiq Yusof mengakui yang dia tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai dunia esukan dan Mobile Legends: Bang Bang, sebaliknya melalui filem ini beliau memfokuskan kepada kisah Soloz ataupun nama sebenar beliau Muhammad Fariz Zakaria, yang merupakan antara individu terawal mempopularkan permainan MLBB dan juga terlibat dengan dunia esukan bagi permainan tersebut. Pilihan oleh Syafiq Yusof tersebut saya boleh katakan berjaya kerana filem ini boleh dihargai oleh semua walaupun yang tidak berpengalaman dengan dunia esukan dan juga MLBB.

Filem ini memperlihatkan bagaimana Soloz dari kecil lagi berminat bermain permainan video, dan apabila memasuki remaja mula terlibat dengan dunia kompetitif permainan video termasuk juga semasa di Universiti. Perkara ini telah mencetus masalah dengan ibunya yang merupakan seorang cikgu dan ingin Soloz untuk memfokuskan kepada pelajaran. Selain itu, filem ini juga memberi fokus bagaimana Soloz bermula sebagai atlit esukan, kejayaan dan juga kesukaran yang dihadapinya bersama dengan rakan sepasukan lain menjadi pengerak utama filem ini.

Seperti saya katakan sebelum ini, Syafiq Yusof selaku pengarah dan juga penulis berjaya membawa satu penceritaan yang mudah untuk diikuti, pilihan untuk memulakan filem ini dengan berkongsi perkara asas mengenai permainan MLBB bagi saya satu pilihan yang baik, walaupun pengetahuan tersebut tidaklah memberi kesan yang besar semasa sesi tontonan, tetapi ia serba sedikit mempertingkatkan pengalaman tontonan kerana filem mempunyai banyak bahagian yang berkait dengan permainan tersebut.

Filem ini juga dengan sangat baik menggunakan isu keluarga serta persahabatan dengan baik untuk menghasilkan adegan-adegan yang memberi impak. Ini bukan sahaja eksklusif untuk watak Soloz sahaja, tetapi juga watak-watak lain tidak kira rakan sepasukannya, dan juga watak ‘jahat’ ataupun pemain dari pasukan lawan. Setiap daripada mereka diberi ruang untuk mempunyai penceritaan tersendiri yang bagi saya memberi nilai tambah kepada filem ini dan tidak sekadar memberi fokus kepada Soloz sahaja.

Lakonan yang baik daripada setiap pelakon juga membantu untuk memastikan adegan-adegan ini mencapai matlamatnya untuk memberi impak emosi kepada saya, saya boleh katakan sediakan tisu kerana akan terdapat beberapa adegan yang akan membuatkan anda menangis. Hun Haqeem membawa watak Soloz dengan baik, walaupun secara jujurnya saya tidak mendapat ‘vibe’ Soloz daripadanya mungkin kerana badannya yang lebih sasar, dan suaranya sedikit kasar berbanding Soloz tetapi wataknya masih menyampaikan penceritaan dengan baik.

Selain itu, rakan sepasukan Soloz seperti Fizul lakonan Syafie Naswip, Safwan lakonan Noki K-Clique dan Hafeez Mikail sebagai Eddy yang merupakan pengurus mereka dan merupakan watak berdasarkan Daddyhood. Watak antagonis utama iaitu Irfan lakonan Ikmal Amry juga satu watak yang menarik menjadi pencabar utama kepada pasukan Soloz yang akan melakukan apa sahaja untuk menang, tetapi filem ini juga memberi ruang untuk berkongsi mengenai penceritaan disebalik watak Irfan ini.

Fizul disampaikan sebagai watak yang saya boleh anggap sebagai antagonis kedua kerana sifatnya yang suka berterus terang dan sedikit kasar dengan rakan-rakannya, manakala Safwan menyerlah apabila memasuki adegan yang berkait dengan keluarganya manakala Eddy pula merupakan seorang pengurus yang mengalami pelbagai kesukaran tetapi menyembunyikannya untuk memastikan pasukan mereka berjaya. Irfan dilakonkan dengan baik, tetapi saya kurang menyukai watak yang terlalu ‘jahat’ terutama di dalam kisah sukan ataupun esukan ini.

Saya mempunyai rungutan yang sama semasa mengulas filem Gran Turismo, bagi saya filem seperti Soloz ini tidak memerlukan watak jahat sebegini. Irfan yang bersikap kurang baik dengan Soloz, termasuk juga menggunakan tipu helah untuk menang bagi saya menjadikan pertandingan di dalam filem ini menjadi kurang menarik. Bagi saya, semangat untuk setiap pasukan untuk menang sudah cukup menarik untuk disampaikan tetapi saya juga faham, filem ini adalah untuk semua dan bukan sahaja bagi yang mengikuti arena esukan oleh itu watak antagonis ini adalah satu cara yang mudah untuk menjadikan penceritaan lebih menarik.

Selain watak jahat yang saya boleh katakan sedikit ‘terlampau’ ini, saya juga merasakan terdapat beberapa babak yang agak janggal untuk dimasukkan di dalam filem dan merasakan ia sekadar set up untuk memberi lapisan baharu kepada sesetengah watak, akan tetapi kerana ia dilakukan dengan secara tiba-tiba impak yang dibawa terasa kurang. Ia mungkin boleh dilakukan dengan lebih baik jika tidak terlalu mengejut dan babak itu sendiri berkait dengan apa yang berlaku pada waktu itu.

Saya berbelah bahagi mengenai bagaimana filem ini menyampaikan bahagian sesi permainan MLBB, berbanding memperlihatkan sesi permainan sebenar (ada sedikit) sebaliknya mereka memilih untuk menyampaikan-nya secara animasi. Jangan salah faham, animasi yang digunakan adalah baik dan benar-benar memperlihatkan pergerakan menarik bagi watak-watak tersebut tetapi saya secara peribadi lebih menyukai jika sesi permainan sebenar diperlihatkan untuk memberi lebih impak. Namun, saya juga merasakan jika menggunakan sesi permainan sebenar ia sedikit janggal bagi penonton yang tidak bermain permainan ini, tambahan itu cara ia disampaikan dengan penonton bagaikan memasuki mata pemain menyampaikan babak ini dengan menarik.

Akhir kata, Syafiq Yusof dengan jayanya memastikan filem mengenai individu dan dunia esukan ini boleh dihargai oleh semua penonton dan tidak semestinya perlu mempunyai pengetahuan sama ada mengenai permainan ini mahupun mengenai watak Soloz itu sendiri. Sebaliknya filem memberi fokus kepada nilai kekeluargaan dan persahabatan yang boleh difahami oleh semua, penyampaian yang baik oleh setiap pelakon juga memberi impak emosi yang besar untuk filem ini, saya sendiri beberapa kali tersentuh hati. Saya kurang gemar dengan pilihan untuk hadir dengan antagonis yang benar-benar ‘jahat’ kerana merasakan ia tidak diperlukan di dalam filem berkait dengan dunia esukan ini tetapi pada masa sama, watak sebegini membantu untuk menjadikan filem ini bergerak dengan lebih menarik.

Soloz: Game of Life mula ditayangkan pada 23 Januari 2025.

Soloz: Game of Life
Kisah Soloz dan dunia esukan Mobile Legends: Bang Bang disampaikan dengan menarik serta penuh emosi dan mudah untuk diikuti oleh semua tidak kira yang mengikuti Soloz, MLBB ataupun yang tidak kerana ia memfokuskan kepada nilai kekeluargaan dan persahabatan yang boleh difahami oleh semua.
Positif
Penyampaian penceritaan yang menarik dan mudah untuk semua
Lakonan mantap
Negatif
Watak jahat yang 'tipikal'
Beberapa adegan yang janggal
8

Leave a Reply

Final Score