Disney+ telah mengumumkan yang siri baharu Furious, dijadualkan menemui penonton di Malaysia bermula 27 Julai ini. Sempena pengumuman tersebut, mereka juga telah melancarkan treler rasmi bagi siri berkenaan.
Furious membawakan kisah Alice Black, seorang ejen FBI yang dilakonkan oleh Emmy Rossum, dalam misi memburu seorang pembunuh bersiri wanita yang misteri dan licik. Konflik utama siri ini memaparkan bagaimana kehidupan kedua-dua individu tersebut mula saling berkait rapat sehingga mengaburkan sempadan antara kebenaran dan kejahatan dalam menegakkan keadilan mengikut jalan masing-masing. Barisan pelakon lain yang turut membintangi siri ini termasuk Lola Petticrew, Scoot McNairy, Quincy Tyler Bernstine, dan Jake Lacy.



Bagi tayangan perdana pada 27 Julai, tiga episod pertama akan ditawarkan sekali gus, manakala episod seterusnya akan disiarkan pada setiap minggu. Dari segi produksi, siri ini dicipta, ditulis, dan diterbitkan oleh Elizabeth Meriwether.
Emmy Rossum turut memegang peranan sebagai penerbit eksekutif untuk Composition 8 bersama Ronald Bass, Matt Olmstead, dan Sam Hoffman. Sementara itu, episod pertama dan kedua diarahkan oleh Brian Kirk yang juga bertindak selaku penerbit eksekutif. Siri drama ini dihasilkan di bawah terbitan 20th Television dan Searchlight Television.


