Para Perasuk merupakan sebuah naskhah unik garapan pengarah Wregas Bhanuteja. Filem ini mengangkat elemen kerasukan sebagai medium penceritaan yang padat dengan nilai-nilai kemanusiaan. Karya ini membawa penonton ke sebuah dunia rekaan di Desa Latas, sebuah perkampungan yang menjadikan Pesta Kerasukan sebagai aktiviti dan identiti utama penduduknya.

Fokus utama penceritaan terarah kepada Bayu (Angga Yunanda), seorang pemuda yang berazam tinggi untuk menjadi ketua perasuk roh dalam acara tersebut. Dia kemudiannya bertemu dengan Laksmi (Maudy Ayunda), seorang wanita dengan trauma masa lalu yang sering menyertai Pesta Kerasukan agar dirinya dirasuk, membolehkannya melupakan kesengsaraan tersebut untuk seketika. Di sebalik ritual ini, filem ini turut menenun kisah perjuangan penduduk kampung menentang konglomerat yang cuba merampas tanah mereka.

Kekuatan utama Para Perasuk jelas terletak pada kecemerlangan barisan pelakonnya. Angga Yunanda memberikan komitmen fizikal dan emosi yang jitu dalam menghidupkan watak Bayu. Maudy Ayunda pula mengimbangi tenaga tersebut dengan cemerlang melalui watak Laksmi, di mana trauma masa lalunya divisualkan melalui koreografi tarian yang memukau. Selain itu, penampilan Anggun sebagai Guru Asri amat berkesan. Kelunakan suara dan auranya memperkuatkan lagi elemen mistik, terutamanya ketika dia membaca mantera dan menyeru roh.

Dari sudut subteks, penggunaan Pesta Kerasukan sebagai lambang untuk melarikan diri daripada realiti dan masalah dizahirkan dengan cukup pintar. Konflik antara penduduk miskin dengan syarikat gergasi PT Wanaria terasa sangat dekat dengan realiti sosial masa kini. Walaupun naskhah ini sarat dengan pelbagai cabang penceritaan, termasuk dinamik hubungan kekeluargaan Bayu dan bapanya, pengarah berjaya merangkai kesemuanya dengan kemas tanpa mencacatkan kelancaran plot. Begitu juga dengan hubungan Bayu dan Laksmi yang bermula secara harmoni sebelum perlahan-lahan bertukar menjadi sesuatu yang kurang baik terutama dengan tekanan yang Bayu berikan pada dirinya sendiri.

Pun begitu, biarpun bermula dengan momentum yang kukuh, babak penyelesaian pada pengakhiran filem ini terasa agak tergesa-gesa. Beberapa tindakan ekstrem Bayu pada klimaks cerita seolah-olah dipaksakan, sekaligus mengurangkan impak resolusi konflik dan menjadikannya tampak kurang kemas. Terdapat juga sedikit kelemahan pada janaan imej berkomputer (CGI). Meskipun lakonan dan tarian sudah cukup sempurna, kualiti CGI ketika babak kerasukan tampak canggung dan berpotensi untuk digarap dengan lebih teliti.

Kesimpulannya, Para Perasuk ialah sebuah karya hebat yang berjaya menyatukan metafora alam mistik dengan realiti kehidupan, menyentuh aspek keinginan diri, trauma, kekeluargaan, dan penentangan terhadap penindasan kapitalis. Walaupun adegan kerasukannya mungkin kelihatan janggal pada pandangan pertama, di sebalik kejanggalan itu terselit sebuah penceritaan yang mendalam tentang erti kemanusiaan.

Para Perasuk
Sebuah karya hebat yang berjaya menyatukan metafora alam mistik dengan realiti kehidupan, menyentuh aspek keinginan diri, trauma, kekeluargaan, dan penentangan terhadap penindasan kapitalis. Walaupun adegan kerasukannya mungkin kelihatan janggal pada pandangan pertama, di sebalik kejanggalan itu terselit sebuah penceritaan yang mendalam tentang erti kemanusiaan.
Positif
Lakonan berkualiti
Cabang jalan cerita disampaikan dengan berkesan
Elemen rasukan dilakukan dengan baik
Negatif
Bahagian akhir kurang kemas
CGI
8

Leave a Reply

Final Score