Apple telah melancarkan AirPods Pro 3 pada September lepas, menjadi pengganti kepada AirPods Pro 2 yang dilancarkan pada tahun 2022, sebelum dikemaskini pada tahun lepas yang telah menjadi set fon telinga utama untuk saya, oleh itu peralihan ke AirPods Pro 3 ini saya boleh katakan satu peralihan yang significant dengan beberapa penambahan yang disertakan memberi pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Bagi kualiti audio, saya boleh katakan yang tindak balas bass adalah lebih baik. Ia kini disampaikan dengan lebih dalam, lebih memberi impak, dan mempunyai kawalan yang jauh lebih baik, menghasilkan ‘tendangan’ yang memuaskan tanpa masalah kekeruhan (muddiness) dan terasa pengasingan yang baik dengan frekuensi pertengahan. Bercakap tentang frekuensi pertengahan, vokal dan instrumen mengekalkan kejernihan yang jelas. Begitu juga dengan treble yang kini kedengaran lebih cerah, dan bersih. Soundstage juga dipertingkatkan dengan ia kini terasa jauh lebih luas dan terbuka,yang memberi ruang kepada penyampaian muzik serta kandungan yang berbeza dengan baik seperti Dolby Atmos, mempertingkatkan pengalaman menonton filem. Gabungan bass dan treble yang lebih ditekankan ini menghasilkan profil bunyi “V-shaped” yang bertenaga yang bagi saya satu perubahan daripada AirPods Pro 2 yang memiliki profil bunyi lebih neutral.

AirPods Pro 3 turut mempertingkatkan ANC yang agak ketara berbanding Pro 2, yang bagi saya sudah cukup baik, menjadikannya lebih efektif dalam menyekat bunyi bising frekuensi rendah dalam persekitaran yang extreme seperti kabin kapal terbang. Tambahan pada itu, kualiti panggilan suara juga adalah lebih baik, berikutan peningkatan pada sistem mikrofon yang membolehkan penangkapan suara yang jelas dan semula jadi walaupun dalam persekitaran yang bising. Mod Transparensi juga telah diperhalusi untuk kedengaran lebih semula jadi dan jelas, memudahkan perbualan dunia sebenar tanpa perlu menanggalkan earbuds, sesuatu yang saya dapat menggunakannya dengan lebih kerap berbanding sebelum ini.

Aspek fizikal juga telah direka semula untuk keselesaan dan ketahanan jangka panjang. Reka bentuk ergonomik telah diperhalusi untuk padanan yang lebih kemas dan selamat, disokong oleh pengenalan ear tip silikon baharu yang diselit dengan busa (foam-infused) untuk kedapan yang lebih baik. Sebelum ini, saya jarang menggunakan AirPods Pro jika berada di atas kapal terbang contohnya dengan kemungkinan untuk saya tertidur adalah tinggi kerana ia sering tertanggal, tetapi saya tidak mendapat masalah yang sama kali ini. Tambahan pada itu, Apple kini menyertakan lima saiz berbeza, termasuk saiz XXS baharu. Ketahanan juga dipertingkat dengan penarafan IP57 untuk rintangan habuk dan air, satu lonjakan besar daripada IP54 sebelumnya, menjadikannya kalis habuk sepenuhnya. Akhir sekali, case juga mengikuti rekaan seperti AirPods 4 tanpa butang jelas dan menjadikannya lebih kemas.

Dari segi kuasa dan ciri-ciri baharu, hayat bateri pada earbud telah dipanjangkan, kini menawarkan sehingga 8 jam masa mendengar dengan ANC diaktifkan, walaupun sarung pengecas itu sendiri kini memegang jumlah jam pengecasan yang sedikit kurang berbanding model sebelumnya. Buat pertama kalinya, AirPods Pro 3 menyertakan penderia degupan jantung terbina untuk penjejakan semasa bersenam melalui aplikasi Fitness. Bagi pemilik Apple Watch, data ini boleh menyumbang kepada set data kesihatan yang lebih tepat, namun bagi pengguna tanpa peranti kecergasan khusus, kegunaannya mungkin terhad kerana ia tidak menjejaki metrik kecergasan lain menjadikannya lebih kepada fungsi yang ‘nice to have’.

Kesimpulannya, AirPods Pro 3 merupakan satu set fon telinga yang berkualiti tinggi, memperlihatkan peningkatan yang jelas berbanding model sebelum ini tidak kira daripada segi kualiti audio mahupun fungsi-fungsi lain seperti ANC. Ia juga menyertakan penambahan fungsi fitness yang buat masa ini masih terhad, tetapi mungkin menggambarkan sesuatu yang menarik untuk ‘masa depan’ bagi perkakasan ini. AirPods Pro 3 kini ditawarkan dengan harga RM999 lebih rendah berbanding AirPods Pro 2 sebelum ini, yang menjadikannya bertambah berbaloi, terutama yang sudah berada di dalam ekosistem Apple.

Leave a Reply