Bagi yang menggunakan peranti Apple seperti iPhone, iPad dan juga MacBook, tambahan lagi jika kesemuanya – AirPods Pro merupakan satu lagi perkakasan yang harus menjadi pilihan, ini adalah kerana set fon telinga ini berfungsi dengan lebih baik bersama dengan peranti daripada keluarga yang sama. Bagaimana pula dengan penggunaan dengan perkakasan yang lain? Bagi menjawab persoalan ini, saya sudah menggunakan AirPods Pro untuk beberapa bulan bukan sahaja menggunakannya dengan peranti Apple tetapi juga dengan konsol permainan video seperti PlayStation 5 dan Nintendo Switch.
AirPods Pro (Generasi Ke-2) ini dilancarkan pada tahun 2022, tetapi pada bulan Oktober tahun lepas, Apple telah mengemaskini penawaran set fon telinga ini dengan pod pengecas yang menggunakan port USB-C berbanding Lightning sebelum ini. Penukaran port ini merupakan perkara yang baik untuk saya terutama kerana iPhone 15 juga telah dikemaskini untuk menggunakan USB-C dan kebanyakan peranti sekarang daripada apa jenama sekalipun telah menggunakan USB-C sebagai pilihan port dan ini mengurangkan kabel yang diperlukan.
Dengan setiap pembelian AirPods Pro anda akan mendapat AirPods Pro itu sendiri, yang ditawarkan dengan satu pilihan warna sahaja iaitu putih, putik telinga silikon dengan empat pilihan saiz iaitu XS, S, M, dan L, kabel USB-C dan pod pengecas yang menggunakan USB-C dengan sokongan MagSafe. Bercakap mengenai pod pengecasan, seperti AirPods Pro generasi ke-2 sebelum ini, ia juga dilengkapi dengan speaker untuk membolehkan anda membuatkan ia berbunyi menggunakan aplikasi Find My jika tersorok dan juga tempat untuk memasang lanyard.
Bagi penggunaan umum, seperti mendengar muzik dan menonton kandungan, AirPods Pro mempunyai prestasi yang memuaskan. AirPods Pro mempunyai sokongan Adaptive EQ bagi memastikan profil bunyi sentiasa konsisten untuk memberikan pengalaman yang lebih kurang tidak kira jenis kandungan yang sedang didengari ataupun tonton, tetapan EQ tambahan boleh diakses melalui peranti Apple sahaja. Jika anda menggunakan peranti terbaru Apple, ia juga menyertakan sokongan Adaptive Audio yang menetapkan tahap bass dan juga treble mengikut tahap volume yang sedang digunakan. Tambahan pada itu, ia juga menyokong Spatial Audio bagi kandungan-kandungan yang berkait.
Manakala untuk penggunaan bermain permainan video, di telefon pintar terutamanya iPhone saya tidak mempunyai sebarang masalah. Ia berfungsi dengan baik sepertimana penggunaan umum, rungutan saya hanya mikrofon bukanlah terbaik semasa sesi bermain permainan dalam talian, sama ada secara terus di dalam permainan ataupun melalui penggunaan Discord. Mikrofon terasa sedikit perlahan dan lebih mudah untuk menjadi noisy. Ia tidak menjejaskan sesi permainan, dengan rakan-rakan saya masih boleh mendengarnya cuma ia tidak sebaik yang saya harapkan.
PlayStation 5 tidak menyokong sambungan bluetooth secara terus, oleh itu untuk mengujinya saya menggunakan Audio Transmitter pihak ketiga, dan walaupun saya boleh mendengar audio dengan baik daripada PlayStation 5, tetapi lebih perlahan jika dibandingkan dengan saya menggunakan set fon yang lain. Manakala mengguna AirPods Pro di Nintendo Switch, ia adalah seperti menggunakan di telefon pintar tanpa sebarang masalah saya juga tidak mendapati sebarang kependaman yang ketara, ada masa terasa tetapi tidak sangat mengganggu pengalaman bermain.
Setiap pengecasan penuh, AirPods Pro boleh digunakan secara berterusan lebih kurang 6 jam, dan melalui penggunaan pod pengecasan, ia mempunyai 4 pengecasan penuh yang membawa kepada lebih kurang 30 jam penggunaan yang bagi saya sudah cukup memuaskan, ini ditambah lagi untuk mengecas penuh AirPods Pro bersama dengan pod pengecasan ia hanya mengambil masa 1 jam sahaja. Melalui pengguanan saya, walaupun setiap hari dan merupakan set fon telinga utama saya, tidak pernah terjadi saya kehabisan bateri. Selaing pengecasan menggunakan kabel, pod pengecas juga menyokong pengecas MagSafe, pengecas Apple Watch, dan pengecas Qi.
Pemasangan AirPods Pro adalah mudah jika menggunakan peranti Apple dengan anda hanya perlu membuka pod pengecasan sahaja dan iPhone ataupun peranti Apple lain akan terus mengesannya untuk pemasangan yang mudah. Ia juga boleh bertukar peranti dengan mudah contohnya saya mendengar lagu menggunakan iPhone semasa perjalanan ke pejabat, apabila di pejabat, saya sekadar membuka Mac Mini dan AirPods Pro saya kemudian beralih ke Mac Mini tanpa saya perlu melakukan apa-apa. Perkara yang sama jika saya membuka iPhone semula.
AirPods Pro mempunyai putik telinga yang bersesuaian dengan telinga saya secara lalai, seperti saya nyatakan di atas ia menyertakan beberapa saiz berbeza tetapi saya tidak pernah perlu menukarnya. Saya tidak mempunyai masalah untuk menggunakan AirPods Pro semasa di dalam kereta api, di dalam kereta dan juga semasa berjoging. Namun, ia agak mudah tertanggal jika terlanggar dengan sesuatu, contohnya anda menggunakan semasa di dalam perjalanan tidak kira di dalam kereta ataupun pengangkutan awam, jika saya tertidur, 90% AirPods Pro saya akan terjatuh.
Akhir kata, jika anda menggunakan peranti Apple, AirPods Pro perlu menjadi pilihan jika anda mencari set fon telinga, dengan pelbagai fungsi yang boleh disokong di dalam ekosistem Apple, ia merupakan pilihan terbaik. Anda ingin juga menggunakannya untuk bermain permainan video, di kebanyakan penggunaan ia mencukupi dan memuaskan, saya hanya mempunyai rungutan apabila menggunakan di PlayStation 5 dan juga mikrofon yang terbina kurang memuaskan. Selain daripada itu, anda tidak akan mempunyai masalah untuk dengan kualiti bunyi juga sangat memuaskan.
AirPods Pro (Generasi Ke-2) boleh didapati dengan harga RM1,099.