Bagi yang sudah mengikuti jenama Samsung mesti sudah mengetahui mengenai penawaran peranti FE ataupun Fan Edition oleh mereka, ia merupakan satu penawaran telefon pintar oleh Samsung yang ingin membawa pengalaman peranti mercu tetapi dengan harga yang lebih berpatutan. Begitu juga dengan Samsung Galaxy S25 FE, bagi yang merasakan pilihan-pilihan lain bagi Galaxy S25 melebih keperluan, telefon ini boleh dijadikan sebagai satu alternatif yang baik tetapi satu “kecuali” yang agak besar (atau kecil).

Sebelum saya jelaskan mengenai “kecuali” tersebut, berikut merupakan spesifikasi penting untuk Samsung Galaxy S25 FE ini:

Paparan6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, FHD+, HDR10+
Cip PemprosesanExynos 2400 (4nm)
GPUXclipse 940
RAM8GB
Storan256 GB
Batteri4,900mAh
45W pengecasan berwayar
15W pengecasan nirwayar
HargaRM3,099

Seperti yang boleh lihat di dalam spesifikasi, ia satu telefon pintar yang sangat memuaskan, “kecuali” jumlah RAM iaitu 8GB sahaja. Bagi memberikan pengalaman peranti mercu, saya merasakan ia sekurang-kurangnya memerlukan 12GB RAM agak tiada masalah untuk melakukan multi-tugasan, ataupun bermain permainan-permainan mudah alih dengan lebih memuaskan.

Walaupun begitu, sepanjang saya menggunakan telefon ini, untuk kegunaan harian dan juga bermain permainan mudah alih, ia tidaklah sangat mengganggu dan juga saya tidak terlalu mengorbankan grafik untuk mendapatkan kelancaran yang baik. Cuma masalah utama bagi saya adalah melihat jangka masa panjang, dengan setiap permainan akan menjadi lebih berat, aktiviti di telefon juga menjadi lebih laparkan kuasa, 8GB RAM mungkin tidak akan bertahan lama untuk memberikan pengalaman yang memuaskan.

Selain daripada itu, Galaxy S25 FE memberikan pengalaman untuk telefon mercu yang memuaskan, pertama paparan ataupun skrin. Ia hadir dengan skrin bersaiz 6.7-inci yang cukup besar untuk apa-apa sahaja kegunaan, manakala panel Dynamic AMOLED 2X merupakan panel yang berkualiti seperti mana-mana peranti Samsung yang lain, memberikan warna serta kecerahan yang memuaskan. FHD+ bukanlah resolusi terbesar, tetapi bagi saya ia sudah memadai terutama untuk bermain permainan mudah alih. Sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz dan HDR10+ adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.

Bagi cip pemprosesan, ia menggunakan Exynos 2400 iaitu cip yang sama digunakan di Samsung Galaxy S24+ yang saya sudah ulas sebelum ini, oleh itu saya boleh katakan yang prestasi adalah lebih kurang sama, seperti permainan-permainan HoYoverse seperti Genshin Impact, Honkai: Star Rail dan juga Zenless Zone Zero boleh dimainkan dengan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah, tetapi akan ada daripada semasa ke semasa ada masalah kelancaran tetapi ia tidak kerap ataupun berlanjutan untuk masa yang lama sehingga menjejaskan pengalaman bermain.

Kepanasan peranti saya boleh katakan tidak terlalu ketara, ada masa ia akan menjadi panas terutama apabila bermain dengan tempoh masa yang lama akan tetapi tidaklah sehingga tidak dapat memegang telefon tersebut, melainkan jika anda bermain sambil megecas, ia mungkin terasa sedikit panas sehingga ada perlu meletaknya di bawah. Jika anda menggunakan selongsong, terutama yang tebal, ia tidak lagi akan menjadi masalah.

Telefon ini dilengkapi dengan bateri sebesar 4,900 mAh yang bukanlah bateri terbesar yang ada, tetapi lebih daripada mencukupi untuk kegunaan seharian. Saya boleh menggunakan telefon ini dari awal pagi sehingga lewat malam tanpa perlu pengecasan tambahan. Saya menggunakannya secara harian dengan membuka media sosial, menonton video seperti YouTube dan Netflix, serta bermain permainan mudah alih tidak lebih daripada dua jam. Jika anda ingin bermain dengan lebih lama, mungkin perlu mengecasnya tetapi ia juga bukan masalah kerana ia menyokong pengecasan pantas sehingga 45W yang boleh mengecas dari sifar ke penuh dalam masa sejam sahaja.

Akhir kata, untuk kebanyakan bahagian membawa pengalaman peranti mercu dengan harga yang lebih berpatutan adalah satu gambaran yang tepat untuk bercakap mengenai Samsung Galaxy S25 FE, daripada skrin, prestasi umum ataupun prestasi bermain permainan mudah alih, dan juga ketahanan bateri ia sangat memuaskan. Namun, ia mempunyai satu kekurangan yang bagi saya sedikit mengecewakan iaitu menggunakan 8GB RAM sahaja dengan saya merasakan secara lalai setiap telefon Android kini perlu mempunyai sekurang-kurangnya 12GB RAM bukan sahaja untuk memastikan ia boleh digunakan dengan baik pada waktu sekarang tetapi juga untuk beberapa tahun yang kedepan.

Samsung Galaxy S25 FE untuk ulasan ini mempunyai 256GB storan, warna Jetblack dan ditawarkan dengan harga RM3,099. Ia juga hadir dengan 512GB storan dengan harga RM3,699 bersama dengan pilihan warna lain seperti Navy, Icyblue, dan White.

Leave a Reply