Ulasan Samsung Galaxy S24+

Samsung pada minggu lepas telah mengumumkan tiga model baharu bagi siri S24 mereka iaitu Samsung Galaxy S24 Ultra, Samsung Galaxy S24+ dan juga Samsung Galaxy S24. Bagi yang inginkan telefon terbaik, dengan segala fungsi-fungsi, Ultra sudah semestinya adalah model yang harus dibeli akan tetapi ia juga hadir dengan tanda harga yang tinggi iaitu RM6299 untuk pilihan yang paling murah bagi model ini. Oleh itu, seperti yang saya katakan di dalam Pandang Pertama Samsung Galaxy S24+, model ini adalah pilihan yang lebih baik dan berpatutan terutama jika anda tidak kisah mengenai kelebihan kamera ataupun binaan menggunakan titanium di Ultra kerana untuk bahagian-bahagian lain S24+ menawarkan perkara yang sama dengan Ultra dengan harga bermula RM4899.

Perkara pertama yang saya boleh katakan adalah paparan, S24+ menggunakan skrin bersaiz 6.7-inci perbezaan yang kecil jika ingin dibandingkan dengan Ultra yang menggunakan 6.8-inci. Dengan perbezaan kecil saiz skrin ini, ia juga membawa kepada perbezaan sedikit untuk resolusi iaitu 1440 x 3088 berbanding 1440 x 3120 akan tetapi kedua-duanya masih boleh dikategorikan sebagai QHD+. Selain daripada itu, paparan adalah sama dengan menggunakan panel AMOLED 2X dengan kadar segar semula sehingga 120Hz. Seperti saya sentiasa katakan di mana-mana ulasan telefon yang dikeluarkan oleh Samsung, ia adalah antara paparan terbaik yang disertakan di telefon pintar.

S24+ juga memperlihatkan peningkatan yang besar bagi paparan jika ingin dibandingkan dengan Samsung Galaxy S23+ yang dikeluarkan pada tahun lepas, pertama menggunakan resolusi QHD+ berbanding FHD+, ia juga 0.1-inci lebih besar dan 513 ppi berbanding 393 ppi oleh itu ia adalah satu paparan yang lebih baik, bahkan lebih future proofing kerana membawa resolusi QHD+ yang buat pertama kali tiba untuk model bukan Ultra. Segala ini membawa kepada pengalaman yang sangat baik untuk bermain permainan mudah alih dan juga menonton kandungan-kandungan video seperti di YouTube, Netflix dan lain-lain.

Seterusnya adalah bateri, S24+ mempunyai kapasiti bateri 4900 mAh iaitu 200 mAh lebih besar berbanding S23+ dan 100 mAh sahaja lebih kecil berbanding S24 Ultra. Semasa saya menguji telefon ini untuk lebih kurang seminggu yang lepas, saya mendapat screen-on-time (SOT) di antara 5 hingga 6 jam, dengan menggunakan resolusi QHD+ sepanjang penggunaan, tambahan itu saya juga menggunakan always-on-display (AOD) baharu iaitu paparan dimalapkan berbanding ditutup terus. Saya cadangkan anda untuk menutup AOD jenis ini, kerana ia memberi kesan ketara untuk penggunaan bateri. Secara amnya, saya berpuas hati dengan bateri, dan ia boleh dipertingkatkan lebih lagi jika saya memadamkan AOD dan juga menggunakan resolusi FHD+ Tambahan pada itu, dengan sokongan pengecasan pantas sehingga 45W, ia mengambil lebih kurang sejam sahaja untuk pengecasan penuh daripada kosong.

Bagi spesifikasi pula, S24 Ultra dan S24+ masing-masing menggunakan 12GB RAM tetapi dengan satu perbezaan yang besar iaitu S24 Ultra menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 berbanding S24+ yang menggunakan cip Exynos 2400 yang sepatutnya adalah bersamaan, tetapi berdasarkan beberapa pengujian penanda aras, ia memberikan skor yang lebih rendah. Namun, untuk penggunaan saya sendiri bermain permua, ia memberikan prestasi yang memuaskan. Seperti biasa saya menguji dengan dua permainan oleh HoYoverse iaitu Genshin Impact dan Honkai: Star Rail dan kedua-dua permainan saya boleh main dengan ketetapan tertinggi tanpa sebarang masalah. Begitu juga untuk permainan-permainan lain seperti Marvel Snap, Call of Duty: Mobile dan War Thunder Mobile.

Seperkara yang saya perasaan di kesemua permainan, ada semasa ke semasa, akan ada berlaku sedikit gangguan kepada kelancaran, ia berlaku dengan jangka masa yang pendek akan tetapi agak kerap untuk menjadikannya noticeable. Ia mungkin disebabkan kerana Exynos 2400 adalah cip baharu yang tidak dikeluarkan secara umum lagi, oleh itu kebanyakan permainan masih tidak optimasi untuknya, namun saya masih boleh bermain permainan tanpa sebarang masalah dan tidak sangat menganggu pengalaman keseluruhan untuk bermain. Selain itu, badan telefon terasa sedikit panas semasa bermain terutama untuk tempoh melebihi sejam, tetapi tidak terlalu panas sehingga tidak dapat memegangnya dan saya juga tidak menggunakan sebarang kerangka.

Aplikasi Gaming Hub yang terpasang bersama dengan telefon ini, masih lagi satu aplikasi tambahan yang baik untuk pengurusan permainan mudah alih, dengan saya boleh memilih untuk mengumpul kesemua permainan di dalam aplikasi ini berbanding ia terpapar di bahagian depan ataupun App Drawer. Aplikasi ini juga mempunyai beberapa lagi fungsi lain yang membantu pelbagai perkara terutama melalui Game Booster. Antara kegunaannya adalah penjimatan bateri di mana saya boleh mengurangkan penggunaan bateri semasa ‘Auto Touch Protection’ di buka, terutama bagi permainan idle yang saya sering main. Saya juga boleh memilih untuk mengurangkan kadar pengecasan semasa bermain, berbanding 45W kepada 25W untuk mengurangkan pemanasan. Saya juga boleh hadkan kadar segar semula kepada 48Hz semasa bermain untuk mengurangkan lagi penggunaan bateri.

Perkara-perkara lain seperti kamera dan penggunaan umum, saya tidak mempunyai sebarang masalah. Kamera sudah semestinya lebih kurang fungsi jika ingin dibandingkan dengan S24 Ultra, akan tetapi ia adalah sesuatu yang kita sudah boleh jangkakan terutama melalui perbezaan harga untuk kedua-dua model ini. Namun, kamera yang ada di S24+ adalah jauh daripada tidak baik, kerana ia masih memberikan gambar yang sudah mencukupi untuk saya. Fokus utama bagi model kali ini, iaitu AI juga tidak membawa perbezaan di antara dua model tersebut.

Kesimpulannya, jika anda ingin dapatkan Samsung Galaxy S24 dan sekadar ingin menjadi telefon untuk bermain permainan mudah alih ataupun menonton kandungan-kandungan video dan tidak terlalu mementingkan tambahan fungsi kamera, tidak menggunakan stylus, Samsung Galaxy S24+ adalah pilihan yang baik kerana harganya yang lebih rendah tetapi kebanyakan fungsi-fungsi yang penting adalah sama sahaja di antara dua telefon tersebut. Jika anda hadir daripada S23+ ataupun S23, ia membawa peningkatan yang baik terutama dari segi paparan untuk anda naik taraf.

Di Malaysia pratempahan Samsung Galaxy S24+ dibuka dan dijual pada harga RM4899 untuk 12/256GB dan RM5399 untuk 12/512GB dengan tujuh pilihan warna.

Samsung Galaxy S24+
Samsung Galaxy S24+ ditawarkan dengan harga lebih murah berbanding S24 Ultra tanpa pengorbanan besar bagi perkara yang penting seperti paparan, bateri dan penggunaan umum. Exynos 2400 juga satu cip yang baik untuk bermain permainan mudah alih.
Positif
Antara Paparan Terbaik Di Telefon Pintar
Ketahanan Bateri Memuaskan
Prestasi Bermain Permua Memuaskan
Negatif
Ada Sedikit Isu Kelancaran Permainan

Sohor Kini