Microsoft secara rasmi mengumumkan penawaran generasi terbaharu bagi peranti siri Surface Pro dan Surface Laptop untuk pasaran Malaysia. Kedua-dua peranti komputer ini membawakan integrasi kecerdasan buatan (AI) hibrid secara terus pada perkakasan melalui cip NPU khusus dan sistem operasi Windows. Bagi menyokong keperluan produktiviti, peranti ini turut didatangkan dengan aplikasi kreativiti Affinity yang dipasang secara terbina pada Start menu.

Surface Pro 13-Inci

Surface Pro 13-inci merupakan sebuah PC jenis 2-in-1 yang menawarkan fleksibiliti untuk berubah daripada mod tablet kepada komputer desktop. Bagi menyokong prestasi grafik yang kini 53% lebih pantas berbanding generasi sebelum ini, peranti ini dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Snapdragon X2 Plus atau Snapdragon X2 Elite.

Dari aspek paparan dan hiburan, siri ini menawarkan pilihan skrin OLED untuk kualiti warna yang lebih jitu serta kontras yang tinggi. Komputer ini turut dilengkapi dengan kamera hadapan jenis sudut ultra-lebar 1440p Quad HD yang menyokong ciri penskalaan automatik bagi panggilan video yang lebih jelas.

Untuk kegunaan harian tanpa gangguan, bateri peranti ini mampu bertahan sehingga 15.5 jam. Pengguna juga boleh memadankannya dengan aksesori tambahan seperti Surface Pro Flex Keyboard dan Surface Slim Pen yang menyokong maklum balas haptik. Peranti ini ditawarkan pada harga bermula RM6,999 sehingga RM11,799 bergantung kepada konfigurasi memori RAM 16GB sehingga 32GB, storan SSD dari 256GB sehingga 1TB, serta pilihan warna Platinum atau Black.

Surface Laptop 13.8-Inci dan 15-Inci

Surface Laptop pula direka khusus untuk tugasan kreatif serta aktiviti multi-tasking, dengan penawaran dua saiz skrin berbeza iaitu 13.8-inci dan 15-inci. Komputer siri ini membawakan peningkatan prestasi grafik sehingga 58 peratus lebih tinggi berbanding model terdahulu, di samping dilengkapi pad sentuh besar dengan maklum balas haptik yang boleh diubah suai.

Model 13.8-inci dilengkapi skrin LCD cerah dan menawarkan jangka hayat bateri sehingga 20 jam. Sementara itu, model 15-inci pula hadir dengan paparan LCD yang dipertingkatkan kejelasan skrinnya daripada 201 PPI kepada 262 PPI, serta ketahanan bateri mencapai 19 jam.

Kedua-dua varian ini menggunakan pemproses Snapdragon X2 Plus atau Snapdragon X2 Elite, dipadankan bersama pilihan RAM sehingga 32GB dan storan SSD sehingga 1TB. Keupayaan kamera siri Surface Laptop ini turut diiktiraf sebagai kamera komputer riba nombor satu oleh DXOMARK. Model 13.8-inci dipasarkan pada harga antara RM7,399 hingga RM11,399 dengan pilihan warna Black, Platinum, dan Jade. Bagi varian 15-inci pula, ia dijual pada harga bermula RM7,799 sehingga RM12,199 dalam pilihan warna Platinum dan Black.

Pendaftaran awal untuk siri Surface Pro dan Surface Laptop terbaharu ini sudah bermula dari 8 Julai sehingga 22 Julai 2026 bagi mendapatkan tawaran eksklusif tertakluk kepada promosi setiap wakil jualan. Jualan rasmi di pasaran Malaysia akan bermula sepenuhnya pada 23 Julai 2026.

Peranti ini boleh didapati melalui pengedar sah terpilih termasuk all IT Hypermarket, Harvey Norman, PC Image, Senheng Electric, SNS Network, dan Thunder Match Technology. Khusus untuk pilihan warna Jade bagi model Surface Laptop 13.8-inci, ia hanya ditawarkan secara eksklusif di Harvey Norman Malaysia.

Leave a Reply