Predator Helios Neo 14 merupakan penawaran laptop terkini oleh Predator, ia diumumkan pada bulan Mei lepas dan membawa penawaran laptop gaming dengan harga yang lebih berpatutan. Saya telah meluangkan beberapa minggu menggunakan laptop ini, dan sangat berpuas hati dengan pengalaman penggunaan dan juga pengalaman bermain permainan video. Namun, ia juga ada beberapa perkara yang saya rasakan boleh diperbaiki lagi tetapi pada masa yang sama, mungkin bukan satu masalah yang besar untuk pengguna-pengguna lain.

Spesifikasi

Skrin14.5-inci, WQXGA+ (3072 x 1920), IPS, 165Hz
CPUIntel Core Ultra 9 185H
GPUNVIDIA GeForce RTX 4060 (8GB)
RAM32GB
Storan1TB NVMe Gen4
HargaRM7,799

Seperti yang anda boleh lihat di atas, Predator Helios Neo 14 dikuasakan dengan Intel Core Ultra 9 yang merupakan cip pemprosesan yang memfokuskan kepada pemprosesan AI tetapi juga memberi prestasi yang baik bagi penggunaan lain termasuk juga bermain permainan video.

Manakala kad grafik, ia menggunakan NVIDIA GeForce RTX 4060 yang sedikit mengecewakan, saya lebih berharap ia dilengkapi dengan RTX 4070 seperti Predator Triton 14 yang saya ulas sebelum ini, namun masih memadai untuk bermain kebanyakan permainan video dan juga membantu untuk memastikan harga tidak terlalu tinggi.

Bercakap mengenai harga, laptop ini semasa pengumuman ditawarkan dengan harga RM7,799 dan disertakan bersama dengan pelbagai hadiah menarik seperti bagasi Acer Melbourne bernilai RM999. Oleh itu, anda mungkin boleh dapatkan laptop ini dengan harga lebih rendah, ataupun dengan penawaran yang berlainan pada waktu ini.

Prestasi

Intel Core Ultra 9 dan NVIDIA GeForce RTX 4060 sepatutnya mencukupi untuk bermain kebanyakan permainan dengan tetapan tertinggi dan mendapat sekurang-kurangnya 60FPS menggunakan resolusi 1920 x 1080 akan tetapi oleh kerana laptop ini hadir dengan paparan yang lebih tinggi oleh itu, sesetengah permainan akan memerlukan tetapan yang lebih rendah untuk mengekalkan resolusi lalai bagi laptop ini.

Saya menguji tiga permainan untuk laptop ini, pertama adalah Black Myth: Wukong dengan menggunakan tetapan Medium, ia agak sukar untuk mendapat 60FPS yang berterusan, akan tetapi masih boleh dimainkan dengan baik dengan kelancaran tidak terlalu naik atau turun dengan secara mendadak, ini adalah melalui penggunaan DLSS. Permainan ini akan menjadi lebih baik, bahkan melebihi 60FPS jika menggunakan resolusi 1080p, akan tetapi gambar akan sedikit kabur.

Perkara yang sama saya boleh katakan untuk Star Wars Outlaws, dengan menggunakan tetapan Medium, saya boleh mendapat di dalam lingkungan 60FPS, tetapi agak jarang mencatat nombor tersebut. Namun, bagi bermain permainan seperti EA Sports FC 24, tiada masalah untuk saya menggunakan tetapan tertinggi dan mendapat FPS melebihi 60FPS. Saya juga harus nyatakan yang dua permainan iaitu Black Myth dan Outlaws merupakan dua permainan yang dilancarkan dengan pelbagai masalah prestasi oleh itu, ia mungkin sudah lebih baik pada waktu ini.

Melalui pengujian ini, dan juga penggunaan lain, saya boleh katakan yang gandingan Intel Core Ultra 9 dan NVIDIA GeForce RTX 4060 merupakan satu gandingan yang sangat baik untuk resolusi 1080p, oleh itu agak sukar untuk mendapat prestasi yang baik menggunakan resolusi lalai laptop ini. Sepanjang pengujian saya juga menyambung laptop ini ke monitor 1080p, yang akan memberikan pengalaman yang lebih baik bermain permainan video secara amnya.

Pengalaman Umum

Bercakap mengenai resolusi, paparan yang disertakan di Predator Helios Neo 14 adalah memuaskan, warna yang diperlihatkan adalah cantik dan seperti sebenar tetapi saya merasakan yang keterangan untuknya agak rendah oleh itu akan menjadi sedikit sukar jika menggunakannya di tempat yang terang ataupun semasa berada di luar rumah. Namun, untuk penggunaan umum seperti menonton kandungan hiburan, menyunting gambar atau video, paparan yang disertakan sangat memadai.

Bagi speaker, ia mempunyai masalah yang sama dengan Predator Triton 14 sebelum ini, iaitu bunyinya agak perlahan, dan jika dikuatkan ia tidak memberi kualiti bunyi yang memuaskan. Ia memadai untuk penggunaan harian tetapi saya kebiasaannya menggunakan set fon telinga untuk bermain permainan video dan juga menonton filem atau siri TV.

Papan kekunci juga memuaskan, ia mungkin lebih baik jika mempunyai kesan menaip, kerana ada masa ia membuatkan saya tidak pasti jika telah menekan satu kekunci ataupun tidak. Papan sesentuh juga dapat digunakan dengan baik sehinggakan bagi penggunaan umum saya tidak sangat menggunakan tetikus, tempat untuk merehatkan tangan juga mencukupi.

Saya juga boleh katakan yang Predator Helios Neo 14 satu laptop yang agak senyap, kecuali semasa penggunaan yang sangat tinggi akan ada dengan bunyi kipas, namun ia masih lagi rendah jika ingin dibandingkan dengan laptop-laptop lain, satu kekurangannya yang mungkin diakibatkan kipas ini, laptop ada masa terasa sedikit panas untuk digunakan.

Bateri adalah memuaskan, bagi penggunaan umum (tanpa bermain permainan video) saya boleh mencatat penggunaan selama 6-7 jam untuk satu pengecasan penuh, ia akan menjadi jauh lebih rendah apabila disertakan bersama dengan bermain permainan video. Jika bermain secara berterusan, ia akan bertahan sekadar 2-3 jam sahaja atau lebih rendah jika bermain permainan yang memerlukan kuasa yang tinggi.

Rekaan

Kemas itulah satu perkataan yang saya boleh katakan dengan rekaan untuk Predator Helios Neo 14, saya menyukai yang laptop gaming sekarang memilih untuk hadir dengan rekaan yang tidak terlalu ‘gaming’ sebaliknya hadir dengan rekaan yang lebih menawan. Dengan warna hitam keseluruhan badan, tetapi logo dengan sokongan RGB di belakang memberi penampilan yang gah untuk laptop ini.

Sedikit mengecewakan keseluruhan badan laptop ini menggunakan plastik yang membuatkan ia terasa murah, dan juga mungkin menjadi sebab masalah pemanasan. Bahagian badan laptop ini juga sangat menarik kesan cap jari yang memerlukan saya untuk mengelap beberapa kali sehari. Port-port yang ada adalah mencukupi, termasuk juga mempunyai port di bahagian kiri dan juga kanan, secara keseluruhan ia menyertakan 2 USB-C yang menyokong DP dan Power Delivery, 2 USB-A, 1 HDMI 2.1 dan 1 slot untuk microSD.

Dengan berat hanya 1.9kg, ia juga satu laptop yang agak mudah untuk di bawa, dan boleh dimuatkan kebanyakan beg galas. Saya juga tidak mempunyai masalah untuk sekadar membawa laptop ini di tangan kerana ringan dan saiz yang tidak terlalu besar.

Rumusan

Predator Helios Neo 14 merupakan satu laptop gaming yang serba baik untuk pelbagai aspek, walaupun ia bukanlah satu laptop yang boleh bermain permainan video mengikut resolusi asal, dan lebih boleh dianggap sebagai laptop yang baik untuk bermain permainan secara 1080p, namun pengalaman umum yang diberikan adalah memuaskan. Rekaan yang kemas serta tidak terlalu berat juga membuatkan laptop ini bergaya untuk dijadikan sebagai laptop umum termasuk juga semasa melakukan tugasan pekerjaan.

Sedikit kekurangan untuknya adalah paparan yang sedikit malap, speaker yang perlahan, bahan binaan menggunakan plastik yang menjadikannya terasa murahan selain mungkin membawa kepada masalah pemanasan dan juga kesan cap jari yang terlalu jelas. Bateri pula saya boleh katakan memuaskan untuk laptop sekecil ini.

Leave a Reply