Predator Triton 14 boleh dikatakan sebagai satu laptop gaming yang berprofil-rendah, ia menyertakan rekaan dan gaya tidak seperti kebiasaan untuk laptop gaming yang lain. Jika dilihat daripada jauh, ia kelihatan seperti laptop untuk kegunaan umum ataupun professional, akan tetapi apabila saya membuka permainan di laptop ini, kuasanya mula diperlihatkan dan mengingatkan saya semula yang Predator Triton 14 adalah satu laptop gaming.
Spesifikasi
Predator Triton 14 dilancarkan dengan dua pilihan model iaitu PT14-51-767J yang hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4050, 16GB RAM dan ditawarkan dengan harga RM7,999 manakala bagi model yang saya gunakan untuk ulasan adalah PT14-51-748Q dengan spesifikasi seperti berikut;
Skrin | 14-inci, WQXGA (2560 x 1600), IPS, 165Hz |
CPU | Intel Core i7-13700H |
GPU | NVIDIA GeForce RTX 4070 (8GB) |
RAM | 32GB |
Storan | 1TB NVMe Gen4 |
Harga | RM8,999 |
Pengalaman Umum
Sebelum saya menyentuh mengenai prestasi bermain permainan video di laptop ini, saya terlebih dahulu ingin bercakap mengenai pengalaman umum yang saya memfokuskan kepada tiga bahagian utama laptop ini iaitu paparan, speaker dan juga papan kekunci.
Bagi skrin, seperti yang saya nyatakan di atas, Predator Triton 14 menggunakan skrin bersaiz 14-inci, yang bagi saya terasa sedikit kecil berbanding kebiasaan. Namun, skrin bersaiz yang lebih kecil ini membantu untuk menghasilkan ketajaman gambar yang lebih baik. Ia juga menjadikan laptop ini lebih mudah untuk diguna terutama semasa di dalam perjalanan.
Panel IPS dan sokongan kadar segar semula sehingga 165Hz juga bagi saya sangat mencukupi, penyampaian dan juga kejituan warna adalah memuaskan tidak kira untuk bermain permainan video dan juga menonton kandungan media seperti Netflix dan YouTube. Ia juga menyokong NVIDIA Advanced Optimus.
Manakala bagi speaker pula, bagi saya kualiti bunyi yang diberikan adalah baik akan tetapi ia kurang kuat dan mungkin agak sukar untuk digunakan di tempat yang bising, tambahan pada itu, jika dikuatkan kualiti akan menurun. Bagi saya, speaker yang diberikan mencukupi untuk bermain permainan video secara kasual ataupun menonton kandungan YouTube, selebihnya mungkin perlu menggunakan set fon telinga.
Berlainan pula untuk papan kekunci yang saya sangat berpuas hati dengan kualiti untuk menekan. Selain itu susunan dan penjarakan adalah selesa, atau sekurang-kurangnya ia adalah seperti papan kekunci yang saya biasa gunakannya. Semasa bermain permainan video, saya tidak mempunyai masalah untuk menekan papan kekunci ini walaupun sesi permainan yang rancak.
Prestasi
Manakala bagi prestasi pula, saya menggunakan tiga permainan untuk menguji Predator Triton 14 ini, yang saya boleh katakan permainan yang agak baru dengan ketiga-tiga dikeluarkan dalam masa beberapa bulan yang lepas. Tiga permainan tersebut adalah Starfield, Baldur’s Gate 3 dan juga Ratchet & Clank: Rift Apart.
Starfield
Bagi permainan terbaru oleh Bethesda ini, walaupun kad grafik NVIDIA mempunyai beberapa masalah dengan permainan ini, terutama dengan sokongan DLSS yang buat masa ini masih tidak disokong, ia masih memberikan prestasi yang memuaskan. Saya menggunakan tetapan tertinggi, dan saya memilih untuk tidak menggunakan FSR2 dan masih lagi memberikan kadar kelancaran yang memuaskan iaitu secara puratannya 52FPS.
Jika menggunakan FSR2, kadar kelancaran boleh mencecah melebihi 60FPS tetapi saya tidak menggunakannya kerana merasakan prestasi upscalling tidak sebaik yang boleh diberikan oleh DLSS. Starfield juga mempunyai banyak kawasan yang akan menggunakan kuasa yang tidak sekata, tetapi laptop ini dapat mengendalikannya dengan baik walaupun stuttering masih berlaku tetapi tidak terlalu kerap dan Bethesda juga mengatakan akan mempertingkatkan prestasi di komputer yang menggunakan kad grafik NVIDIA.
Baldur’s Gate 3
Bagi Baldur’s Gate 3 pula, saya juga menggunakan tetapan yang tertinggi dan menutup DLSS kerana walaupun tidak menggunakan teknologi tersebut, saya masih boleh mendapatkan tahap kelancaran melebihi 60FPS, kadar kelancaran secara purata adalah 66 FPS akan tetapi saya boleh katakan yang naik turun FPS adalah agar kerap namun, sangat jarang jatuh lebih rendah berbanding 50FPS.
Bagi saya, laptop ini tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk bermain dengan tetapan tertinggi tanpa menggunakan sebarang teknologi upscaling bagi permainan ini, namun jika ingin mendapatkan kadar kelancaran yang lebih stabil ataupun yang lebih tinggi, penggunaan DLSS sangatlah digalakkan.
Ratchet & Clank: Rift Apart
Berbanding dua permainan lain, Ratchet & Clank: Rift Apart adalah satu-satunya permainan yang saya uji mempunyai tetapan Ray Tracing. Saya juga menguji untuk menggunakan tetapan yang tertinggi, termasuk juga bagi ray tracing. Oleh itu, satu-satunya cara untuk dapat bermain dengan baik adalah menggunakan DLSS termasuk juga DLSS Frame Generation ataupun DLSS3.
Bagi permainan ini saya memilih untuk menggunakan DLSS dengan tetapan Balanced, dan mendapat kadar kelancaran 40FPS secara purata, oleh itu saya boleh katakan jika ingin mendapatkan tetapan tertinggi ini, termasuk juga ray tracing, saya boleh sasarkan kadar kelancaran 30FPS.
Jika inginkan kadar kelancaran yang lebih tinggi, saya merasakan ia sangat mudah untuk dilakukan terutama dengan mengurangkan kualiti ray tracing yang bagi saya mungkin terlalu ‘overkill’ jika menetapkannya dengan tetapan tertinggi. Ia boleh direndahkan dan dapat dimainkan dengan kadar kelancaran yang lebih tinggi tanpa terlalu menjejaskan kualiti grafik.
Rekaan
Seperti yang saya katakan di bahagian pembukaan untuk ulasan ini, saya sangat menyukai rekaan untuk Predator Triton 14 terutama kerana ia mempunyai rekaan laptop profesional berbanding rekaan seperti satu laptop gaming. Logo Predator juga hanya terdapat kecil di bahagian atas yang menjadikan laptop ini lebih kemas.
Selain logo Predator yang kecil, satu-satunya saya boleh katakan yang membuatkan laptop ini nampak seperti satu gaming laptop adalah rekaan vent untuk pengudaraan yang diletakkan di bahagian belakang dan juga tepi. Ia juga ditempatkan dengan kemas dan bersesuaian dengan estetik keseluruhan untuk laptop ini.
Bagi port pula, Predator Triton 14 mempunyai 1 USB-C yang juga menyokong Thunderbolt 4, 2 USB-A 3.2 yang terletak di kedua-dua bahagian tepi laptop, 1 HDMI yang juga terletak di bahagian tepi dan 1 slot untuk mikroSD yang terletak di bahagian depan laptop. Port ini adalah mencukupi untuk saya terutama bagi kuasa ia menggunakan port berbeza dan tidak akan menggunakan satu-satunya port USB-C yang ada.
Dengan kesemua port ini berada di bahagian tepi, ini memberikan bahagian belakang laptop hanya terdapat vent untuk pengudaraan sahaja seperti yang saya katakan di atas. Ia menjadikan rekaan lebih kemas tetapi pada masa sama saya juga merasakan meletakkan bahagian kuasa di tepi, ada masa akan mengganggu untuk saya mengakses port lain, tetapi ia mudah untuk di pusing cuma perlu kedudukan sumber kuasa yang betul.
Bercakap mengenai vent kuasa, laptop ini mempunyai pelbagai bahagian untuk mengeluarkan udara panas daripada laptop yang membantu untuk memastikan suhu laptop ini sentiasa optimun akan tetapi saya juga boleh katakan mengikut jenis permainan yang saya main, bunyi kipas boleh menjadi terlalu kuat, ditambah lagi dengan speaker yang saya katakan sebelum ini tidak terlalu kuat, ia mungkin sedikit masalah untuk anda.
Rumusan
Predator Triton 14 adalah satu laptop yang saya sangat suka, ia adalah laptop yang tidak mengecewakan dari segi prestasi walaupun apabila saya menggunakan tetapan yang tertinggi untuk permainan-permainan yang berat. Selain itu, pengalaman umum untuk skrin dan juga papan kekunci juga tidak mengecewakan dan tidak mengejutkan bagi harga laptop ini.
Sebagai tambahan, saya juga menyukai yang laptop ini tidak direka dengan rekaan laptop gaming yang menjadikan ia satu laptop yang lebih kemas tetapi tidak mengorbankan bahagian-bahagian lain yang penting untuk bermain permainan video. Tambahan pada itu, pilihan skrin 14-inci juga sudah kurang dikeluarkan sekarang dengan kebanyakan lebih memfokuskan kepada saiz skrin yang lebih besar.