Acara Internationale Funkausstellung (IFA) sedang berlangsung di Berlin, Jerman dan semasa acara ini Acer telah mengumumkan beberapa produk terbaru mereka termasuk juga yang khusus untuk permainan video.
Antara yang diumumkan adalah mereka secara rasmi terlibat dengan penawaran PC mudah alih melalui Acer Nitro Blaze 7.
Selain itu, mereka juga mengumumkan kemaskini untuk produk desktop iaitu Predator Orion 7000 yang kini dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 dengan cip pemprosesan Intel, selain itu ia juga dilengkapi dengan teknologi Predator CycloneX 360 untuk memastikan PC sentiasa di suhu yang optimum.
Predator Orion 7000 juga mempunyai pilihan storan sehingga 4 TB HDD dan 6TB SSD serta sokongan untuk Thunderbolt 4 dan Wi-Fi 7. Setiap pembelian dekstop ini juga akan disertakan bersama dengan papan kekunci dan tetikus.
Acer juga mengumumkan model baharu untuk Acer Nitro V 14 yang mempunyai rekaan kompak dengan skrin bersaiz 14.5 inci, resolusi WQXGA (2560 x 1600) terdapat juga pilihan untuk WUXGA (1920 x 1200) dengan sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz.
Acer Nitro V 14 dikuasakan dengan cip pemprosesan Intel yang antaranya Intel Cor i7-14650HX dan pilihan kad grafik seperti NVIDIA GeForce RTX 4060. Ia juga hadir dengan pilihan RAM sehingga 32GB dan storan sehingga 2TB SSD. Jika inginkan pilihan skrin yang lebih besar, Acer Nitro V 16 juga diumumkan bersama.
Selain desktop dan laptop, Acer juga mengumumkan penawaran terbaru untuk siri monitor mereka. Antaranya Predator XB273U F5 yang mempunyai saiz skrin 27-inci dengan resolusi WQHD (2560 x 1440) dengan kadar segar semula sehingga 360Hz.
Manakala untuk penawaran monitor 4K, Acer juga mengumumkan Predator XB273K V5 yang menyertakan resolusi 4K (3840 x 2160) dengan kadar segar semula sehingga 160Hz, resolusi juga boleh diturunkan ke FHD untuk mendapat kadar segar semula 320Hz.
Bagi yang mencari monitor lebih mampu milik, Acer juga mengumumkan tiga pilihan monitor di bawah jenama Nitro iaitu Nitro XV240 F6 yang menyertakan skrin bersaiz 24.1-inci, resolusi 1920 x 1080 dengan sokongan kadar segar semula sehingga 600Hz dengan panel TN.
Manakala Nitro XV270 F5 menyertakan saiz skrin 27-inci menggunakan panel IPS, resolusi 1920 x 1080 dengan kadar segar semula sehingga 520Hz. Terdapat juga resolusi yang lebih tinggi iaitu Nitro XV270U F5 yang menyertakan resolusi 2560 x 1440 dan kadar segar semula sehingga 500Hz.
Buat masa ini tarikh penawaran dan juga harga untuk produk-produk ini di Malaysia masih tidak diumumkan lagi.