Ulasan The Elder Scrolls Online: Gold Road

The Elder Scrolls Online: Gold Road merupakan penambahan seterusnya bagi permainan MMORPG oleh Zenimax dan Bethesda ini, ia dilancarkan pada bulan Jun lepas, dan merupakan penambahan susulan kepada The Elder Scrolls Online: Necrom yang dilancarkan pada tahun lepas. Penambahan ini antaranya membawa penceritaan baharu, memberi kawasan baharu untuk diteroka dan juga pengenalan sistem permainan baharu iaitu Scribing.

Penceritaan untuk Gold Road meneruskan penceritaan daripada Necrom mengenai Putera Daedric yang dilupai iaitu Ithelia yang buat pertama kali membuat penampilan di dalam siri permainan Elder Scrolls. Penceritaan yang disertakan bagi saya adalah lebih baik berbanding penceritaan di dalam Necrom. Penceritaan kali ini terasa mempunyai satu sasaran yang jelas, tetapi pada masa yang sama masih memberi beberapa perkara kejutan.

Pengenalan-pengenalan watak terutama Ithelia juga dilakukan dengan baik, dengan ia memberi satu watak yang membuatkan saya ingin nantikan apa yang akan terjadi seterusnya dengannya. Penceritaan juga menyertakan elemen multi-mesta yang menjadi trend penceritaan pada waktu ini. Ia dilakukan dengan ringkas, tetapi cukup berkesan untuk menjadi bahagian penting di dalam penceritaan dan juga membentuk perwatakan Ithelia sendiri.

Selain penceritaan utama, penceritaan sampingan yang hadir melalui misi-misi tambahan juga agak menarik, ada penceritaan mengenai penyiasatan pembunuhan, kisah mengenai vampire dan juga mengenai perhubungan cinta yang tidak direstui. Walaupun saya menyukai penceritaan utama, tetapi saya boleh katakan yang saya mempunyai masa yang lebih baik melakukan misi-misi sampingan kerana kisah serta penceritaan yang lebih pelbagai walaupun masih mengekalkan formula misi yang sama seperti sebelum-sebelum ini.

Bagi kawasan baharu pula, iaitu West Weald yang sebelum ini tiba di dalam permainan The Elder Scrolls IV: Oblivion kelihatan lebih segar terutama dengan pembentukan hutan baharu iaitu Valenwood yang juga menjadi bahagian penting di dalam penceritaan utama dan sampingan. West Weald merupakan satu kawasan yang agak meriah dengan rekaan yang berbeza. Saya melakukan hampir kesemua aktiviti yang boleh dilakukan seperti memasuki kesemua Public Domain, Delve melawat semua bandar dan saya sangat menyukai kerana kawasan ini terasa hidup.

Namun, satu nota yang penting, selain daripada Telvanni Peninsula dan juga Apocrypha yang saya luangkan masa di penambahan lepas, saya tidak mengembara dengan lebih di kawasan-kawasan lain, oleh itu West Weald mungkin terasa segar untuk saya tetapi tidak untuk anda yang sudah meluangkan masa yang lama bermain di tempat-tempat lain. Ini adalah kerana West Weald, walau berbeza masih lagi satu kawasan biasa untuk Elder Scrolls.

Perkara ketiga yang juga mungkin terbesar disertakan di dalam penambahan ini adalah Scribing, iaitu kuasa yang boleh digunakan oleh pemain tetapi keunikan untuknya adalah pemain boleh menghasilkan kuasa tersendiri dengan menetapkan beberapa pilihan iaitu Focus, Signature dan Affix tambahan itu ia juga akan mengikuti kelas watak anda. Melalui Scribing ia boleh menggabungkan beberapa jenis kuasa menjadi satu serangan.

Scribing bagi saya sangat baik bagi pemain yang mungkin sudah lama bermain dengan sesuatu watak, dan ingin membawa sesuatu yang segar di dalam sesi permainan, ataupun pemain yang biasannya bermain secara solo dan tidak terlalu menggunakan kemahiran yang bersifat kumpulan dapat menghasilkan satu Scribing dengan kuasa yang lebih memfokuskan kepada kumpulan tanpa terlalu perlu mengubah struktur kemahiran sedia ada.

Satu perkara mengenai Scribing yang mungkin adalah baik atau juga tidak bergantung kepada pandangan peribadi adalah untuk mendapat kesemua potensi Scribing, saya perlu melakukan pelbagai aktiviti dan juga menyelesaikan misi-misi tambahan. Oleh itu, ia akan mengambil masa sebelum saya benar-benar dapat menggunakan fungsi terbaru ini dengan sepenuhnya. Namun, oleh kerana saya menyukai misi-misi tambahan, ia bukan masalah besar untuk saya.

Akhir kata, tiga penambahan utama yang disertakan di dalam The Elder Scrolls Online: Gold Road merupakan tiga penambahan yang baik memberi nafas segar kepada permainan ini. Penceritaan adalah lebih baik berbanding sebelum ini, penceritaan sampingan juga menarik, manakala kawasan baharu dilakukan dengan segar dan sistem baharu iaitu Scribing pula mempunyai potensi yang besar untuk menjadi perkara yang utama di dalam permainan ini dan seronok untuk dilakukan uji kaji dengan kuasa-kuasa yang berbeza.

The Elder Scrolls Online: Gold Road
The Elder Scrolls Online: Gold Road menyertakan tiga penambahan yang baik dan memberi nafas segar kepada permainan ini, terutama melalui sistem baharu Scribing yang sangat berpotensi.
Positif
Penceritaan lebih jelas
West Weald satu kawasan yang baik
Scribing berpotensi menjadi lebih besar
Negatif
Formula yang sama dengan penambahan sebelum ini
Kekangan bermain tanpa langgan ESO+
8

Sohor Kini