Ulasan The Elder Scrolls Online: Necrom

The Elder Scrolls Online (ESO) telah menerima penambahan terbaru yang juga dipanggil sebagai ‘Chapter’ iaitu Necrom pada 5 Jun yang lepas. Ia adalah penambahan yang ketujuh bagi permainan ini dan membawa pemain ke dua kawasan baharu iaitu Telvanni Peninsula yang bertempat di Morrowind dan juga Apocrypha iaitu Oblivion yang dimiliki oleh Hermaeus Mora. Penambahan ini juga memperkenalkan kelas baharu iaitu Arcanist.

ESO seperti judulnya adalah permainan dalam talian, ataupun dengan lebih tepat lagi adalah permainan MMORPG, namun di dalam ulasan ini saya hanya memfokuskan bahagian solo dan juga kandungan-kandungan baharu yang tiba melalui Necrom dan saya ingin menjawab persoalan yang saya sering tertanya-tanya, adakah ESO satu permainan yang menarik bagi peminat The Elder Scrolls tetapi tidak terlalu menggemari elemen MMORPG?

Saya boleh menjawab persoalan tersebut dengan terus, iaitu ‘Ya’. Hampir 30 jam saya bermain permainan ini, saya hanya melakukan aktiviti secara berseorangan sahaja, melakukan misi utama, misi sampingan yang disertakan melalui penambahan Necrom, dan saya tidak langsung terlibat dengan apa-apa aktiviti ‘endgame’ ataupun ‘MMORPG’ tidak kira aktiviti PvE, PvP ataupun Dungeon. Oleh itu, The Elder Scrolls Online adalah satu permainan yang sepenuhnya boleh dimainkan secara berseorangan.

Penceritaan di dalam Necrom memfokuskan kepada pergaduhan di antara beberapa Daedric Prince iaitu Hermaues Mora, Vaermina dan Peryite yang turut melibatkan Telvanni Mage dan Dremora. Pemain telah dilantik oleh Hermaues untuk menyiasat mengenai satu ancaman terhadap Apocrypha yang juga boleh memberi kesan kepada dunia.

Sudah beberapa tahun kali terakhir saya bermain Skyrim ataupun kandungan The Elder Scrolls yang lain, oleh itu saya boleh katakan informasi yang saya terima sepanjang melakukan misi di dalam Necrom adalah sangat banyak dan mungkin memerlukan bacaan tambahan untuk memahami mengenai apa yang dirujuk oleh watak-watak yang terlibat.

Namun, secara keseluruhannya penceritaan adalah menarik. Sepanjang melakukan segala misi yang ada saya belajar mengenai apa yang dilakukan oleh Hermaues Mora, selain juga terlibat dengan politik di antara Telvanni Mage. Saya boleh katakan yang melalui semula penceritaan-penceritaan ini, mengingatkan saya semula mengapa suatu masa dahulu saya meluangkan ratusan jam bermain The Elder Scrolls: Skyrim.

Ini ditambah lagi dengan setiap watak mempunyai lakonan suara sepenuhnya dan saya boleh katakan yang ia dilakukan dengan baik. Beberapa watak mempunyai pelakon suara yang sangat baik, dan kebanyakan watak lain adalah mencukupi untuk menyampaikan sesuatu penceritaan.

Satu rungutan yang saya ada mengenai penceritaan terutama berkait dengan misi utama adalah aktiviti yang dilakukan di dalam misi tersebut adalah kurang menarik dan ada masa ia berulang-ulang melakukan perkara yang sama, di tempat yang berlainan. Saya masih menyukainya disebabkan penceritaan yang disertakan bersama tetapi berharap yang aktiviti dilakukan mempunyai lebih variasi agar ia tidak membosankan dan juga membuatkan saya tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku seterusnya.

Ini ditambah lagi dengan misi-misi sampingan juga memerlukan saya melakukan sesuatu yang lebih kurang. Saya suka misi sampingan di dalam penambahan ini kerana ia memberi tambahan penceritaan, sesetengah misi juga memberi pilihan pengakhiran kepada pemain. Oleh itu, agak mengecewakan kerana apa yang saya lakukan di dalam misi utama ataupun misi sampingan adalah perkara yang sama sahaja.

Menemani saya untuk melakukan misi di dalam penambahan ini adalah dua Companion baharu iaitu Azandar Al-Cybiades dan juga Sharp-As-Night. Kedua-dua companion ini mempunyai penceritaan tersendiri yang perlu dilakukan oleh pemain sebelum mereka dapat menemani bagi melakukan aktiviti lain. Saya suka penceritaan untuk kedua-dua companion ini yang secara langsung memberi pengenalan kepada kedua-dua watak tersebut.

Melalui misi utama dan misi sampingan ini juga akan membuatkan saya melawati setiap sudut di dua kawasan baharu yang saya nyatakan sebelum ini iaitu Telvanni Peninsula dan Apocrypha. Telvanni Peninsula juga adalah menjadi tempat kepada Necrom yang merupakan satu bandar dan juga hub utama di dalam penambahan ini. Manakala Apocrypha adalah Oblivion oleh itu mempunyai rekaan yang lebih mistik berbanding Telvanni Peninsula.

Saya boleh katakan yang rekaan dunia untuk Telvanni Peninsula dan juga Apocrypha adalah baik, mencukupi bagi menjadi tempat penceritaan akan tetapi jika ingin dibandingkan dengan permainan-permainan RPG ataupun fantasi yang dikeluarkan baru-baru ini, ia terasa sangat biasa dan kebanyakan kawasan adalah dihasilkan secara asas sahaja, menjadikan pengembaraan tidak menarik selain daripada melakukan misi ataupun melakukan aktiviti dunia.

Bagi kelas baharu pula iaitu Arcanist, saya tidak akan melakukan perbandingan dengan kelas-kelas lain, tetapi akan mengulas kelas ini secara kendiri. Setelah sekian lama, ESO akhirnya menerima kelas baharu iaitu Arcanist yang bagi saya satu kelas yang menarik dan juga seimbang untuk beberapa jenis permainan yang berbeza. Ini saya boleh ringkaskan kepada tiga kategori untuk kelas ini iaitu Herald of the Tome, Soldier of Apocrypha dan Curative Runeforms.

Herald of the Tome memfokuskan kepada melakukan serangan, Soldier of Apocrypha untuk perisai dan Curative Runeform lebih memfokuskan kepada healing. Saya masih tidak mencecah tahap 50 untuk sepenuhnya merasakan apa yang di bawa dengan kelas baharu ini, akan tetapi sepanjang saya melakukan penceritaan utama dan sudah mencuba beberapa kemahiran yang berbeza, ia adalah satu kelas yang menarik, ini ditambah lagi dengan beberapa kesan visual yang menarik membuatkan saya lebih memilih untuk bermain secara third person berbanding first person.

Walaupun saya tidak akan ulas bahagian MMORPG di dalam permainan ini, tetapi saya akan menyentuh bahagian yang memberi kesan kepada pengalaman sesi permainan solo saya. Pertama adalah sistem inventory di dalam permainan ini adalah sangat terhad dan akan menjadikan mengumpul barangan di dalam permainan ini adalah tidak berguna kerana anda tidak boleh menyimpannya, sebaliknya saya sekadar menjual sahaja barangan yang tidak digunakan.

Loot di dalam permainan ini juga adalah tidak menarik, ini sudah semestinya untuk memastikan keseimbangan bagi permainan MMORPG, jika melalui loot saya sudah mendapat barangan yang baik, tiadalah motivasi untuk saya melakukan aktiviti-aktiviti endgame. Kekangan kedua-dua ini memberi kesan kepada pengalaman saya bermain, tetapi ia adalah perkara yang sudah dijangkakan kerana ESO adalah permainan MMORPG.

Akhir kata, The Elder Scrolls Online – Necrom adalah satu penambahan yang baik untuk permainan ini, dengan menyertakan dua kawasan yang menarik walaupun dihasilkan dengan ringkas, penceritaan juga mempunyai banyak elemen yang baik walaupun pengakhiran adalah tergantung, penambahan kelas baharu iaitu Arcanist juga bagi saya adalah satu kelas yang seimbang dan akan memberikan pelbagai cara permainan yang berlainan.

Seperti yang saya katakan di atas, jika anda seperti saya tidak terlalu menggemari genre MMORPG, ESO secara umum dan juga bagi penambahan Necrom secara amnya boleh dimainkan secara berseorangan dan pengalaman yang diberikan adalah mencukupi. Dengan hampir 30 jam kandungan untuk misi utama dan juga misi sampingan, anda menerima pelbagai kandungan tanpa perlu menyentuh langsung bahagian-bahagian MMO.

Penafian: Kod permainan The Elder Scrolls Online: Necrom untuk PC disediakan oleh Bethesda bagi tujuan ulasan ini.

Ulasan The Elder Scrolls Online - Necrom
Necrom adalah satu penambahan yang baik untuk The Elder Scrolls Online yang menyertakan penceritaan, kawasan dan kelas baharu yang baik. Ia juga satu pengalaman permainan solo yang menarik.
Positif
Penceritaan Yang Menarik
Arcanist Adalah Kelas Yang Baik
Pelbagai Kandungan Utama Dan Sampingan
Negatif
Rekaan Kawasan Baharu Sangat Ringkat
Beberapa Elemen MMORPG Yang Menjengkelkan
7

Sohor Kini