Astro Bot sejak diperkenalkan merupakan satu permainan yang boleh dianggap sebagai permainan sampingan sahaja. Pertama kali diperkenalkan, ia adalah salah satu watak di dalam The Playroom iaitu koleksi permainan-permainan mini dan boleh dikatakan sebagai demo untuk PlayStation Camera. Ia kemudian menerima satu permainan penuh melalui Astro Bot Rescue Mission akan tetapi terhad untuk PlayStation VR. Ia kemudian menerima permainan ketiga iaitu Astro’s Playroom dan walaupun satu permainan menarik tetapi ia sekadar demo teknologi untuk PlayStation 5.

Pada 6 September ini, Team Asobi akhirnya dapat benar-benar menyerlahkan watak yang kian popular ini melalui permainan penuh yang berjudul Astro Bot sahaja. Ia bukan lagi satu demo teknologi, ataupun watak yang digunakan untuk menjuak perkakasan, sebaliknya satu permainan platforming yang penuh. Sebelum pelancaran kelak, saya sudah berkesempatan untuk mencuba lebih kurang 1 jam pertama bagi melalui 3 peringkat awal dan 2 peringkat yang lebih sukar, namun saya tidak pasti jika saya dapat mengakses mengikut turutan yang sama semasa permainan penuh kelak.

Tiga peringkat awal membawa saya kepada dunia dengan persekitaran berbeza tetapi dengan tema yang sama iaitu penuh keceriaan, walaupun penjahat yang berbentuk seperti haiwan masih comel walaupun anda perlu memukulnya untuk melalui setiap kawasan ini. Setiap peringkat ini akan dinyatakan tahap kesukaran yang boleh dijangka iaitu Easy, Medium dan Hard, selain itu setiap peringkat ini juga menyertakan sebilangan Bot yang perlu diselamatkan, bot ini juga ada yang mempunyai rekaan watak-watak popular PlayStation seperti Ratchet dan Kratos.

Sesetengah peringkat juga mempunyai cebisan jigsaw yang boleh dicari seperti yang disertakan di dalam Astro’s Playroom. Bagi peringkat awal ini, ia boleh dilalui dengan cepat, kerana platforming yang disertakan tidaklah sukar. Menyelamatkan Bot lain dan juga mencari cebisan jigsaw membantu untuk memberi nilai tambah kepada peringkat-peringkat tersebut. Kedudukan mereka agak tersembunyi tetapi mudah untuk dijumpai jika saya meluangkan masa untuk mencari tempat-tempat yang tersembunyi. Tambahan pada itu, sesetengah bot juga mempunyai mekanik tersendiri yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan mereka

Selain daripada itu, saya juga boleh mengumpul Coins yang buat masa ini saya hanya jumpa satu kegunaan iaitu untuk mencari tempat-tempat tersembunyi di sesuatu kawasan. Selain daripada Coins yang jelas kelihatan dan mudah untuk dicapai, terdapat juga perkara tersembunyi atau gerakan tambahan yang tersendiri. Contohnya dia satu kawasan yang mempunyai keranjang dan jika saya berjaya ‘menjaringkan’ boleh di dalam kerajang tersebut saya akan mendapat Coins, sesuatu yang tidak dinyatakan tetapi bagaikan satu hadiah untuk pemain yang mempunyai sifat ingin mencuba ataupun sifat ingin tahu.

Selain melakukan platforming yang biasa seperti melompat, setiap peringkat juga mempunyai power-up yang berlainan, contohnya di peringkat pertama saya boleh mengembungkan Astro Bot dan mencapai tempat yang tinggi, di peringkat seterusnya pula saya mendapat roket anjing yang membolehkan saya bergerak dengan lebih pantas. Setiap power-up ini memberikan mekanik yang berbeza untuk setiap peringkat yang bagi saya memastikan setiap daripadanya adalah segar.

Daripada tiga peringkat awal, peringkat ketiga juga menyertakan pertempuran melawan bos. Peringkat yang saya cuba adalah melawan sotong gergasi yang akan melakukan pelbagai jenis serangan dan memerlukan saya untuk mengelak semasa berada di atas satu pula kecik dan melakukan serangan menggunakan power-up tangan yang boleh dipanjangkan. Pertempuran bos ini juga sekali lagi memberi mekanik tambahan kepada permainan ini dan bukan sekadar satu platforming sahaja. Melawan sotong ini adalah ringkas, tetapi masih mencabar dan sudah semestinya menyeronokkan.

Dua lagi peringkat terakhir yang saya cuba sedikit berbeza dan ia mempunyai tahap kesukaran ‘Hard’, peringkat ini tidak menyertakan Bot yang tersembunyi ataupun cebisan jigsaw yang perlu dicari akan tetapi ia lebih kepada menguji kemahiran platforming anda. Di peringkat keempat, ia memfokuskan kepada saya perlu mengelak daripada rantai yang berpusing pantas di atas platform yang tidak kekal lama, manakala peringkat kedua pula saya perlu bergerak dengan pantas semasa selepas menggunakan objek yang memperlahankan pergerakan persekitaran. Jika anda ingin menguji kemahiran platforming, dua peringkat ini benar-benar akan menguji.

Saya bukanlah pakar di dalam permainan platforming, akan tetapi saya merasakan sesiapa yang mahir di dalam genre ini juga akan mendapati dua peringkat ini menarik walaupun mungkin tidak mati sebanyak yang saya alami. Daripada satu jam sesi saya bermain, saya boleh katakan 30 minit saya luangkan untuk menyelesaikan dua peringkat terakhir ini.

Akhir kata, walaupun saya baru sahaja mencuba 5 peringkat daripada lebih 80 peringkat yang akan disertakan di dalam permainan penuh, Astro Bot sudah mempunyai potensi untuk menjadi satu permainan yang bukan sahaja ceria dengan rekaan dunia serta peringkat akan tetapi juga akan menguji kemahiran anda di dalam bermain permainan genre ini. Oleh itu, saya sudah semestinya tidak sabar untuk mencuba permainan penuh kelak.

Astro Bot akan dilancarkan untuk PlayStation 5 pada 6 September 2024.

Sohor Kini