Ulasan The Bear (Musim 2)

The Bear musim pertama telah bermula secara terus dengan Carmen Berzatto atau Carmy mewarisi satu restoran di bandar Chicago yang iaitu The Beef daripada abangnya yang telah membunuh diri, musim pertama tersebut memfokuskan bagaimana Carmy cuba untuk membuatkan restoran yang penuh dengan pelbagai masalah menjadi lebih baik. Walaupun ia tidak menjadi satu restoran yang ‘berfungsi’ tetapi di akhir musim pertama Carmy menjumpai peninggalan daripada abangnya, yang membuatkan dia membuat keputusan untuk mengubah restoran The Beef menjadi The Bear.

Musim kedua ini memperlihatkan bagaimana The Bear ini dibangunkan yang boleh dikatakan sebagai bermula dari awal dan mengubah daripada menjadi restoran masakan harian kepada restoran fine dining. Pekerja-pekerja restoran masih mengekalkan orang yang sama tetapi mereka juga mencari pekerja tambahan kerana ia akan menjadi restoran yang lebih besar berbanding sebelum ini. Namun, fokus utama untuk musim ini bukanlah mengenai restoran tersebut, tetapi mereka memberi peluang untuk mengenali lebih dekat watak-watak yang ada di dalam siri ini.

Carmy yang diperlihatkan lebih lanjut mengenai kehidupannya tidak kira masa sekarang dan juga masa lepas, terutama mengenai perhubungannya dengan keluarga yang lain termasuk juga dengan abangnya Michael Berzatto lakonan Jon Bernthal yang membuat penampilan dengan lebih lanjut. Selain itu, Richie, Sydney, Tina dan Marcus juga diberikan sekurang-kurangnya satu episod untuk memperlihatkan keadaan mereka. Ini menjadikan musim ini lebih ‘perlahan’ berbanding musim lepas, tetapi keadaan huru-hara masih dikekalkan tidak kira dengan pelbagai masalah dihadapi untuk menubuhkan restoran baharu tersebut dan juga masalah-masalah kehidupan yang biasa.

Memberi peluang untuk setiap watak ini disampaikan penceritaan, membantu untuk memberi lapisan tambahan kepada perwatakan mereka dan juga keseluruhan penceritaan sendiri, apabila sesuatu berlaku kepada watak-watak ini, ia kemudiannya boleh dirujuk semula kepada episod sebelum ini. Ini menjadikannya setiap perkara tidak berlaku out of thin air. Bagi yang inginkan huru-hara yang menjadi tema utama untuk musim lepas, musim ini masih menyertakannya terutama melalui episod 6, yang berlainan dengan episod lain, ia adalah episod dengan durasi 1 jam. Saya boleh katakan yang jika episod 6 ini dijadikan sebagai filem kendiri ia adalah satu filem yang saya akan tonton dan sangat menyukainya.

Jeremy Allen White, Ebon Moss-Bachrach, Ayo Edebiri, Lionel Boyce, Liza Colón-Zayas serta Abby Elliott yang membawa watak Natalie, setiap daripada mereka memberikan prestasi lakonan yang sangat berkualiti tinggi seperti yang dilakukan oleh mereka ketika musim pertama. Tambahan pada itu, walaupun sudah kurang memfokuskan kepada persembahan makanan, tetapi musim kedua ini masih menyertakan banyak shot yang cantik dan memberi ketenangan dalam keadaan yang huru-hara. Banyak adegan yang dilakukan dengan sangat berkesan untuk menggambarkan emosi yang cuba disampaikan.

Akhir kata, The Bear musim kedua membawa sesuatu yang sedikit berlainan berbanding musim pertama dengan ia lebih memberi peluang kepada setiap watak untuk diperkenalkan dengan lebih lanjut dan kurang memfokuskan kepada huru-hara menjadi tukang masak, tetapi ia masih disampaikan dengan gaya yang sama dengan musim pertama dan menjadikannya kekal menarik. Bagi yang inginkan sesuatu seperti musim pertama, mereka sampaikan di dalam satu episod yang boleh dikatakan mempunyai durasi untuk 3 episod bagi siri ini. Selain itu, lakonan dan juga adegan-adegan masih mengekalkan kualitinya, menjadikan setiap episod sangat menarik untuk ditonton.

The Bear boleh ditonton di Disney+ Hotstar. Ulasan The Bear (Musim 1).

The Bear (Musim 2)
The Bear musim kedua membawa sesuatu yang sedikit berlainan berbanding musim pertama dengan ia lebih memberi peluang kepada setiap watak untuk diperkenalkan dengan lebih lanjut dan kurang memfokuskan kepada huru-hara menjadi tukang masak, tetapi ia masih disampaikan dengan gaya yang sama dengan musim pertama dan menjadikannya kekal menarik.
Positif
Watak-watak diberikan peluang untuk bersinar
Kualiti lakonan yang tinggi
Negatif
Kurang adegan masakan
9

Sohor Kini