Apple TV telah memperlihatkan treler acah pertama bagi siri Neuromancer bergenre cyberpunk menerusi penampilan maya pelakon utamanya, Callum Turner, di San Diego Comic-Con. Siri 10 episod ini dijadualkan memulakan tayangan pada 22 Januari 2027 dengan dua episod awal, manakala episod baharu bakal disiarkan secara mingguan setiap hari Jumaat sehingga 19 Mac 2027.
Diadaptasi daripada novel tulisan William Gibson, Neuromancer mengisahkan Case (Callum Turner), seorang penggodam tegar yang bermasalah. Case digandingkan bersama seorang pembunuh upahan bernama Molly (Briana Middleton) untuk menjalankan misi rompakan terhadap sebuah dinasti korporat yang menyimpan pelbagai rahsia.
Barisan pelakon siri ini turut dibintangi oleh Mark Strong, Joseph Lee, Peter Sarsgaard, Clémence Poésy, Max Irons, Dane DeHaan, Junia Rees, Jordan Kouamé, Emma Laird, Marc Menchaca, André De Shields dan Isabella Pappas. Siri ini dicipta untuk televisyen oleh Graham Roland dan JD Dillard, dengan Roland bertindak sebagai showrunner. Dillard pula mengarahkan tiga episod pertama. Penerbitan siri ini dikendalikan oleh Paramount Television Studios dan Anonymous Content, manakala Aubrey ‘Drake’ Graham, Adel ‘Future’ Nur, Jason Shrier, David Levine, Garrett Kemble, Zack Hayden, Jennifer Haley serta William Gibson bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Novel asal Neuromancer yang diterbitkan oleh William Gibson merupakan naskhah cyberpunk yang pernah memenangi Anugerah Nebula, Anugerah Philip K. Dick, dan Anugerah Hugo. Buku berkenaan merupakan karya pertama dalam trilogi Sprawl, yang kemudiannya diteruskan menerusi novel Count Zero dan Mona Lisa Overdrive.
Apple TV ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan dengan tempoh percubaan percuma selama tujuh hari untuk pelanggan baharu. Pelanggan yang membeli dan mengaktifkan peranti baharu seperti iPhone, iPad, Apple TV 4K, atau Mac layak menerima langganan percuma selama tiga bulan.


