Apple TV secara rasmi telah mempertontonkan treler bagi musim kedua siri cereka sains Dark Matter sempena acara San Diego Comic-Con. Musim baharu yang merangkumi 10 episod ini dijadualkan mula tayangannya pada 28 Ogos 2026.
Siri yang diadaptasi daripada novel ciptaan Blake Crouch ini menampilkan Joel Edgerton dan Jennifer Connelly sebagai pelakon utama, mereka juga bertindak sebagai penerbit eksekutif. Jalan cerita musim kedua meneruskan kisah keluarga Dessen yang cuba menetap di sebuah dunia baharu. Walau bagaimanapun, keadaan yang disangka selamat itu kembali bergolak apabila ancaman baharu memaksa mereka melarikan diri semula. Obsesi Jason Dessen terhadap the Box semakin mendalam, manakala rasa paranoia Daniela kian memuncak dan anak mereka, Charlie, dahagakan kestabilan hidup. Di lokasi lain, Amanda dan Ryan berganding bahu untuk mencari jalan pulang, sementara Leighton berusaha merealisasikan visinya untuk mencipta dunia sempurna berhadapan halangan daripada Blair.
Selain Edgerton dan Connelly, barisan pelakon lain yang kembali menjayakan musim ini termasuk Alice Braga, Jimmi Simpson, Dayo Okeniyi, Oakes Fegley, dan Amanda Brugel. Siri penerbitan Sony Pictures Television ini menyaksikan Crouch bertindak sebagai pencipta, showrunner, serta penulis skrip bersama penerbit eksekutif Jacquelyn Ben-Zekry.



Bagi memperluaskan dunia siri ini, pelancaran musim baharu turut diiringi dengan Dark Matter: The Official Podcast. Dihoskan oleh Crouch dan Ben-Zekry, podsiar tersebut bakal membincangkan perkembangan watak, sains di sebalik konsep multiverse, serta proses kreatif pembikinan siri berkenaan bersama barisan pelakon dan penerbit. Episod podsiar baharu akan dikeluarkan serentak dengan tayangan episod mingguan di TV, bermula dengan episod imbasan semula musim pertama. Program audio dan video ini boleh diikuti menerusi Apple Podcasts serta saluran YouTube rasmi Sony Pictures Television dan Apple TV.
Siaran Dark Matter musim kedua akan dimulakan dengan episod pertama pada 28 Ogos 2026, diikuti satu episod baharu pada setiap hari Jumaat sehingga 30 Oktober 2026.
Apple TV ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan dengan tempoh percubaan percuma selama tujuh hari untuk pelanggan baharu. Pelanggan yang membeli dan mengaktifkan peranti baharu seperti iPhone, iPad, Apple TV 4K, atau Mac layak menerima langganan percuma selama tiga bulan.


