Skip to main content

Sudah menjadi kebiasaan apabila memasuki musim anugerah seperti Golden Globes dan Emmys baru-baru ini, saya akan berminat untuk menonton siri yang kebiasaan memenangi pelbagai anugerah ataupun kandungan yang menarik minat tetapi saya tidak ketahui sebelum ini. Bagi tahun ini, kandungan tersebut ialah The Bear iaitu siri TV yang awalnya dikeluarkan melalui Hulu dan kini boleh turut ditonton melalui Disney+ Hotstar di Malaysia. Siri ini telah mempunyai dua musim dan memenangi pelbagai anugerah, dan selepas menontonnya, saya faham mengapa.

The Bear adalah mengenai Carmen Berzatto atau lebih dikenali sebagai Carmy dan merupakan seorang tukang masak di ‘restoran terbaik di Amerika Syarikat’. Dia mewarisi restoran abangnya yang telah membunuh diri iaitu ‘The Beef’, bersama dengan restoran tersebut dia juga mewarisi segala baik dan buruk yang datang bersama, seperti hutang, pekerja dan pada waktu yang sama dia juga perlu menghadapi trauma dan masalah tersendiri.

Siri ini telah memenangi pelbagai anugerah di dalam kategori komedi, dan saya boleh katakan benar, The Bear adalah satu siri komedi, akan terdapat pelbagai bahagian di dalam siri ini yang akan membuatkan saya tertawa. Namun, ia bukanlah satu gelak tawa seperti siri-siri komedi lain, akan tetapi satu gelak tawa dengan melihat keadaan harian di dalam restoran tersebut. The Bear adalah satu siri komedi yang memfokuskan kepada kesan membunuh diri kepada orang terdekat tidak kira rakan ataupun keluarga, ia adalah satu komedi kehidupan.

Satu lagi perkataan yang saya boleh gunakan untuk hurai mengenai siri ini adalah huru-hara. Setiap episod untuk musim pertama ini, dan setiapnya lebih kurang 20 minit sahaja, kecuali episod terakhir 40 minit, dipenuhi dengan pelbagai perkara yang huru hara. The Beef adalah satu restoran yang mempunyai pekerja yang mahir tetapi tidak terurus, Carmy dengan bantuan Sydney Adamu iaitu pekerja baharu yang juga mempunyai pengalaman di dalam pengurusan dapur cuba untuk menjadikannya lebih baik tetapi dengan keputusan yang sangat berbeza. Episod terbaik bagi saya untuk memperlihatkan perkara ini adalah episod 7, yang bagi saya episod paling huru-hara di dalam siri ini.

Oleh itu, mungkin agak mengejutkan jika saya katakan walaupun dengan segala huru-hara ini, The Bear masih lagi satu siri yang sangat tenang dan saya boleh katakan tontonan yang sangat casual untuk saya. Bagi saya, ini adalah kerana siri ini pandai untuk memasuki perkara yang tenang seperti masakan, ataupun sekadar memperlihatkan bandar Chicago, sebelum, di antara dan juga selepas segala huru-hara tersebut. Kombinasi segala perkara ini bagi saya dilakukan dengan sangat baik, memberikan ketenangan di dalam segala kehuru-haraan yang ada.

Saya juga menyukai siri ini tidak terlalu meluangkan masa untuk menceritakan semula apa yang berlaku, tidak kira mengenai Carmy, mengenai abangnya, mengenai watak-watak lain, atau mengenai restoran The Beef, ia sekadar disampaikan dengan ringkas sahaja dan bagi saya ia membantu untuk tidak terlalu memperlihatkan perkara yang kurang penting. Dengan apa yang dipertunjukkan sudah memberi gambaran yang baik mengenai mereka. Pada pengakhiran siri ini, juga jelas mengapa mereka tidak perlu untuk menceritakan kisah silam kerana keseluruhan musim pertama ini saya boleh katakan adalah satu kisah silam untuk restoran ini.

Melengkapi kesemua ini, dan juga yang menjadikan segala komedi di dalam sengsara, ketenangan di dalam huru-hara adalah pelakon-pelakon yang membawa watak masing-masing dengan sangat sempurna. Jeremy Allen White yang saya kenali daripada siri Shameless, membawa watak Carmy dengan berkesan, begitu juga Ayo Edebiri sebagai Sydney Adamu, Ebon Moss-Bacharach sebagai Richie, Lionel Boyce sebagai Marcus dan ramai lagi yang menjadikan siri ini sangat berkualiti tinggi. Dengan bagaimana setiap watak berhubung dengan sangat rapat di dalam siri ini, satu atau dua watak yang kurang menjadi akan merosakkan segalanya, tetapi siri ini berjaya membawa kesempurnaan untuk setiap daripada mereka.

Akhir kata, siri The Bear sangat berlainan kerana ia membawa dua perkara yang sepatutnya bertentangan akan tetapi disampaikan secara bersama dan saling mengangkat satu sama lain. Komedi diterapkan dengan tragedi, huru-hara di dalam ketenangan, ia sentiasa menjadikan siri ini sangat menarik dan setiap episod membawa perkara yang baharu walaupun masih memfokuskan kepada sekumpulan watak dan kawasan yang sama.

The Bear (Musim 1)
The Bear sangat berlainan kerana ia membawa dua perkara yang sepatutnya bertentangan akan tetapi disampaikan secara bersama dan saling mengangkat satu sama lain. Komedi diterapkan dengan tragedi, huru-hara di dalam ketenangan, ia sentiasa menjadikan siri ini sangat menarik dan setiap episod membawa perkara yang baharu walaupun masih memfokuskan kepada sekumpulan watak dan kawasan yang sama.
Positif
Setiap Episod Menarik
Lakonan Yang Baik
Negatif
Beberapa Episod Terlalu Mengejut
9

Leave a Reply

Final Score