Skip to main content

Jika dilihat daripada jauh, Samsung Galaxy A55 terasa seperti satu lagi sekadar naik taraf generasi yang ringkas berbanding Galaxy A54 yang dilancarkan tahun lepas, akan tetapi selepas penggunaan yang lebih menyeluruh saya boleh katakan yang A55 membawa penambah-baikkan yang walaupun kecil tetapi memberi pengalaman yang lebih baik, yang sekaligus memberikan pengalaman yang lebih baik untuk pilihan paling popular bagi telefon kelas pertengahan oleh Samsung. Ia mungkin tidak memberikan satu sebab yang besar untuk anda naik taraf daripada A54 ke A55 tetapi jika anda sedang mencari telefon daripada kelas pertengahan, A55 merupakan antara pilihan terbaik di pasaran seperti A54 pilihan terbaik sewaktu ia dilancarkan pada tahun lepas.

Perubahan pertama sudah semestinya cip pemprosesan di mana ia menggunakan Exynos 1480 berbanding Exynos 1280. Exynos 1480 mempunyai clock speed yang lebih tinggi iaitu 2.75 GHz berbanding 2.4 GHz, selain itu ia juga menggunakan GPU Samsung Xclipse 530 yang mempunyai frequency 1300MHz berbanding 950 MHz untuk Mali-G68 MP5 yang digunakan oleh Exynos 1380. Ini memberikan prestasi yang lebih baik secara umumnya. Bermain permainan mudah alih masih terasa terhad dengan ia merupakan telefon kelas pertengahan. Kebanyakan permainan saya tidak dapat menggunakan pilihan grafik yang tertinggi sama ada ia akan dijalankan dengan kurang baik ataupun permainan itu sendiri tidak membenarkan saya untuk memilih tetapan yang lebih tinggi. Bagi telefon di dalam kelas ini, A55 memberikan prestasi yang memuaskan tetapi ia tidaklah meninggalkan prestasi telefon lain yang berada di dalam kelas yang sama.

Bagi permainan yang berat seperti Honkai: Star Rail, ia boleh dimainkan dengan tetapan High dan 60FPS, akan tetapi untuk prestasi yang stabil, saya lebih memilih untuk menggunakan Medium/60FPS yang bagi saya merupakan tetapan yang terbaik dengan kualiti grafik tidaklah terlalu berbeza dengan High ataupun Highest, tetapi memberikan prestasi yang lebih stabil. Manakala bagi permainan yang lebih ringan, seperti Marvel Snap saya dapat bermain dengan tetapan terbaik tanpa sebarang masalah tetapi pastikan anda memuat turun kesemua aset terlebih dahulu untuk sesi permainan yang lebih lancar. A55 juga kini hadir dengan 12GB RAM berbanding 8GB sahaja sebelum ini yang secara langsungnya membantu untuk menjadikan prestasi bermain permainan mudah alih yang lebih baik dan juga menjadikan penggunaan secara umum juga lebih lancar, dan dapat menggunakan beberapa aplikasi pada satu masa tanpa sebarang masalah yang ketara. Tambahan pada itu, saya juga boleh katakan yang untuk telefon Android sekarang, 12GB RAM sudah menjadi satu kewajipan dengan 8GB sudah tidak lagi mencukupi walaupun bagi telefon kelas pertengahan.

Perkara seterusnya yang dipertingkatkan bagi A55 adalah ia kini dibina menggunakan rangka aluminium yang menjadikan kualiti binaan terasa lebih premium terutama untuk telefon di kelas ini. Selain itu, Samsung juga meletakkan satu lekuk di bahagian tepi sebelah kanan telefon untuk menjadikan ia lebih mudah untuk dipegang. Ini tidak kira semasa memegang telefon secara sebelah tangan untuk bermain permainan mudah alih yang menegak ataupun secara melintang kerana lekuk yang disediakan merupakan tempat dua jari telunjuk saya ‘berehat’ dan lekuk ini benar-benar menjadikannya lebih selesa. Sedikit kekurangan menggunakan aluminium bagi saya, telefon ini lebih cepat menjadi suam ataupun panas, berbanding pengalaman saya semasa menggunakan A54 sebelum ini. Ini ditambah lagi jika saya menggunakan semasa mengecas, ataupun menggunakan secara terus selepas pengecasan, ia akan terasa panas dan sedikit kurang selesa. Namun, apabila telefon itu dibiarkan saya boleh katakan yang ia lebih cepat untuk kembali menjadi suhu biasa ataupun sejuk. Tambahan itu, walaupun panas, ia bukanlah panas yang membuatkan saya tidak langsung dapat menggunakannya akan tetapi sekadar kurang selesa sahaja.

Samsung juga memperkenalkan Samsung Knox Vault buat pertama kali. Teknologi ini memfokuskan keselamatan dengan memberikan pelbagai fungsi seperti melindungi data pengguna jika telefon dicuri ataupun hilang dengan ia juga menyertakan pelindungan untuk melawan serangan perkakasan (hardware attack). Selain itu, ia juga menyertakan pelbagai fungsi keselamatan yang lain seperti menghalang pemasangan aplikasi yang berbahaya, mengetahui no telefon yang terlibat dengan penipuan, penyulitan data dan Secure Folder. Dengan lebih banyak perkara disimpan di dalam telefon pintar sekarang, termasuk juga maklumat mengenai kad bank atas penggunaan pelbagai jenis wallet di dalam telefon, maklumat-maklumat tersebut akan disimpan baik di sebalik Knox dengan walaupun telefon anda dicuri ataupun hilang, maklumat-maklumat tersebut akan terus terpelihara dan tidak boleh diakses dengan mudahnya. Bercakap mengenai perkara ini, sedikit rungutan adalah pengimbas cap jari bagi saya tidak sebaik seperti kebiasaan yang saya alami daripada telefon-telefon lain, ia sedikit lambat dan ada masa tidak dapat mengesan dengan baik.

Selain daripada itu, tiada perubahan lain yang ketara, skrin hanya lebih besar sebanyak 0.2-inci tetapi masih mengekalkan spesifikasi lain iaitu resolusi 1080×2340, sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz, menggunakan panel AMOLED, ppi lebih rendah iaitu 390 berbanding 403 kerana saiz skrin yang sedikit lebih besar dan juga mengekalkan 1000 nits tahap keterangan. Bagi saya ia mencukupi untuk telefon kelas pertengahan tetapi sedikit mengecewakan kerana ia tidak dipertingkatkan berbanding dengan A54 yang sebelum ini. Saya juga sedikit kecewa kerana walaupun rangka badan menggunakan aluminium menjadikannya lebih premium, tetapi bahagian depan masih terasa sama terutama dengan saiz bezel yang masih terasa besar untuk telefon sekarang. Namun, ia masih lagi satu skrin yang baik seperti yang kita sudah biasa dengan Samsung. Oleh itu, saya berpuas hati dengan pengalaman bermain permainan mudah alih dan juga menonton kandungan-kandungan penstriman, terutama ia menyokong untuk memaparkan kualiti terbaik daripada perkhidmatan penstriman seperti Netflix dan Prime Video.

A55 juga mengekalkan saiz storan iaitu 256GB yang bagi saya sedikit kecil untuk telefon waktu ini, tetapi bukan satu masalah kerana berbanding telefon di dalam kelas mercu, A55 masih mengekalkan sokongan mikroSD yang memudahkan untuk saya menambahkan storan kemudian jika diperlukan. Ia juga mempunyai saiz bateri yang sama iaitu 5,000 mAh tetapi dengan Exynos 1480 yang mengendalikan bateri lebih baik, penggunaan terasa lebih lama dan boleh bertahan sepanjang hari, ataupun bertahan selama lebih kurang 7 jam untuk bermain permainan mudah alih secara berterusan. Sedikit mengecewakan, ia juga masih mengekalkan pengecasan pantas setakat 25W sahaja yang akan mengambil masa lebih kurang sejam untuk penuh daripada sifar. Ia bukanlah satu masa yang lama, tetapi dengan kebanyakan telefon sekarang sudah mempunyai pengecasan pantas yang lebih tinggi, A55 ketinggalan di dalam perkara ini. A55 juga mengekalkan piawaian IP67 agar anda tidak perlu terlalu risau mengenai debu ataupun air.

Akhir kata, seperti kebiasaan untuk siri A5x, Samsung Galaxy A55 juga merupakan antara pilihan yang terbaik untuk telefon kelas pertengahan. Ia tidak membawa perubahan yang besar berbanding generasi sebelum ini, tetapi penambah-baikkan yang di bawa seperti cip pemprosesan, rangka aluminium yang memberikan rasa lebih premium, ia juga lebih mempunyai ketahanan berbanding sebelum ini, pengenalan Samsung Knox ke dalam telefon ini juga memberi ketenangan penggunaan kepada pengguna terutama untuk keselamatan dan privasi maklumat tertentu. Selain itu, ia masih mengekalkan perkara yang baik daripada generasi sebelum ini seperti skrin, storan, bateri dan juga piawaian IP67.

Samsung Galaxy A55 sudah boleh dibeli dengan harga RM1,999 dengan tiga pilihan warna iaitu Awesome Iceblue, Awesome Navy dan Awesome Lilac.

Leave a Reply