Apple kebiasaannya mengambil beberapa tahun sebelum mengemaskini penawaran kotak penghubung televisyen mereka dengan ada yang mencecah lebih daripada 4 tahun sebelum peralihan generasi. Namun, Apple TV 4K yang dikeluarkan pada tahun lepas ini, hadir sekadar lebih daripada setahun daripada generasi lepas yang dikeluarkan pada 2021.
Ini adalah Apple TV 4K generasi ketiga, ataupun generasi ketujuh jika mengambil kira Apple TV sebelum versi 4K. Jika anda membeli Apple TV 4K (2021), ia mungkin perkara yang mengecewakan kerana hanya selang setahun lebih sahaja, versi terbaru ini hadir dengan pelbagai penambah-baikkan yang menjadikan ia adalah satu kotak penghubung televisyen yang jauh lebih baik.
Apa Di Dalam Kotak
Di dalam kotak untuk Apple TV 4K (2022) akan menyertakan Apple TV itu sendiri bersama dengan alat kawalan “Siri Remote” yang kini menggunakan USB-C untuk pengecasan dan juga wayar kuasa. Dukacitanya, kabel HDMI tidak disediakan bersama, akan tetapi dengan ia adalah kabel yang sudah menjadi kebiasaan, ia mungkin bukan masalah yang besar. Jika anda tidak mempunyai lebihan, anda perlu untuk membeli secara berasingan sebelum dapat menggunakan Apple TV ini.
Spesifikasi
Apple TV 4K (2022) dikuasakan dengan cip pemprosesan A15 Bionic iaitu cip yang sama digunakan oleh iPhone 13. Sekadar untuk penggunaan kotak penghubung televisyen, ia mungkin adalah kuasa yang berlebihan, akan tetapi keunikan utama untuk Apple TV 4K ini adalah sokongan permainan video yang sangat menyeluruh menjadikan kegunaan cip pemprosesan tersebut sangat diperlukan.
Apple TV 4K (2022) ini ditawarkan dengan dua pilihan iaitu versi Wi-Fi yang tidak mempunyai penyambung Ethernet, storan 64GB dan ditawarkan dengan harga RM699. Manakala versi Wi-Fi + Ethernet bukan sahaja mempunyai sokongan Ethernet tetapi juga ditawarkan dengan storan 128GB, dengan harga RM799.
Sebagai satu kotak penghubung televisyen, storan mungkin tidak lah penting, akan tetapi jika anda seperti saya yang turut menjadikan ia sebagai satu “konsol” permainan video, storan yang lebih adalah diperlukan dan sokongan Ethernet adalah satu nilai tambah. Namun, tambahan RM100 untuknya? Mungkin terlalu tinggi.
Pengalaman Umum
Dari segi reka bentuk pula, ia adalah seperti rekaan-rekaan Apple TV sebelum ini tetapi dengan saiz yang lebih kecil. Jika anda meletakkannya berhampiran TV, ia sangat “tersembunyi” dan bagaikan tidak wujud pun. Dengan saiz yang kecil, ia juga mudah untuk ditempatkan di mana-mana tempat selagi mana boleh membuat sambungan bagi HDMI dan juga kuasa.
Pemasangan untuk Apple TV 4K ini adalah mudah sahaja, hanya memerlukan kabel HDMI dan boleh disambung kepada mana-mana TV ataupun monitor. Jika anda adalah pengguna peranti Apple, anda boleh menggunakan akaun yang sama dan boleh mendapatkan kesemua perkara di dalam akaun yang sama.
Apple TV 4K (2022) ini menggunakan tvOS 16 dan antaramuka untuknya boleh dikatakan mudah untuk difahami, akan tetapi mungkin ia terlalu ringkas dengan lebih memfokuskan kepada aplikasi yang dipasang itu sendiri. Saya sangat inginkan jika ia mempunyai fungsi folder dengan saya memasang beberapa permainan dan ingin mengasingkan ikon untuk permainan dengan aplikasi lain.
Siri Remote untuk Apple TV 4K mempunyai jumlah butang yang terhad dan tiada butang khas untuk sesetengah aplikasi, termasuk juga Apple TV+, butang yang disediakan adalah anak panah termasuk juga trackpad di bahagian tengah yang sangat responsif dan mudah untuk digunakan. Selain itu, terdapat butang Back, Home, Main/Jeda, Mute dan Volume. Ia juga mempunyai butang Siri di bahagian tepi, untuk membolehkan kawalan melalui suara.
Perkara yang paling saya suka dengan penggunaan Siri Remote, adalah semasa melakukan pencarian termasuk juga menggunakan Siri, ia tidak akan mengganggu sesi tontonan dengan kesemua menu akan dikeluarkan di bahagian tepi, ia cukup baik untuk TV ataupun monitor yang kecil tambahan lagi jika menggunakan paparan yang lebih besar.
Secara amnya, penggunaan Apple TV 4K adalah sangat lancar dengan saya boleh membuka, menutup, memainkan kandungan dan juga membuka mana-mana permainan terasa sangat lancar tanpa sebarang masalah, membuka aplikasi dan permainan juga terasa pantas.
Pengalaman Menonton
Apple TV 4K mempunyai kebanyakan aplikasi hiburan yang utama seperti Netflix, HBO Go, Disney+ Hotstar dan Prime Video. Setiap aplikasi mempunyai fungsi antaramuka tersendiri tetapi pada percubaan saya, kebanyakan adalah lebih kurang sahaja dan mudah untuk difahami. Apple TV 4K ini seperti namanya menyokong resolusi kandungan sehingga 4K akan tetapi bergantung kepada kandungan-kandungan yang menyokongnya. Jika anda mempunyai TV ataupun monitor yang menyokong HDR, Apple TV 4K juga menyokong HDR10+ yang akan memberikan kualiti gambar yang lebih baik, bersama dengan Dolby Vision yang juga sudah disokong sebelum ini.
Melalui Tab Watch Now anda boleh meneruskan sesi tontonan dengan lebih mudah akan tetapi buat masa ini, ia hanya terhad untuk kandungan-kandungan dari Apple seperti iTunes dan juga Apple TV+, mungkin menjadi lebih menarik jika ia akan merangkumi kesemua aplikasi yang dipasang di dalam Apple TV ini.
Jika anda menggunakan Apple TV ini bersama dengan rakan ataupun sekeluarga yang serumah, ia mempunyai tetapan untuk profil-profil berbeza, tetapi pada masa sama menyertakan fungsi seperti “For All of You” untuk berkongsi kandungan yang mungkin sesuatu untuk semua yang menggunakan Apple TV tersebut.
Antara ciri tambahan adalah untuk pengguna iPhone, antaranya adalah menjadikan iPhone sebagai alat kawalan, ataupun menggunakan sensor cahaya di iPhone untuk memberikan kualiti paparan yang lebih bersesuaian dengan keadaan di dalam bilik. Manakala jika menggunakan AirPods, anda boleh menyambung dua AirPods pada masa yang sama untuk sesi tontonan yang senyap.
Pengalaman Bermain
Selain menonton siri TV dan juga filem, perkara yang saya rasakan paling lama digunakan semasa mencuba Apple TV 4K ini adalah bermain permainan. Menggunakan cip yang sama dengan iPhone, permainan-permainan untuk iPhone juga ditawarkan di dalam Apple TV, tetapi tidak untuk permainan-permainan yang lebih memfokuskan mobile seperti PUBG Mobile, permainan seperti Genshin Impact juga tidak ditawarkan. Namun, dengan ia kini menggunakan cip pemprosesan yang agak berkuasa, berkemungkinan lebih banyak pembangun yang akan keluarkan permainan untuk Apple TV.
Sumber utama untuk mendapatkan permainan tanpa bayaran tambahan adalah Apple Arcade, dengan Apple memastikan kebanyakan permainan-permainan Apple Arcade juga boleh dimainkan di Apple TV, anda akan mendapat pelbagai permainan menarik dari permainan RPG seperti Fantasian sehinggalah permainan kasual seperti Hidden Folks dan juga permainan multi-pemain seperti NBA 2K23 dan Warped Kart Racers. Saya boleh katakan yang Apple TV 4K (2022) adalah ‘konsol’ terbaik untuk bermain permainan-permainan Apple Arcade.
Apple TV 4K (2022) menyokong hampir kesemua alat kawalan utama seperti DualSense untuk PS5, DualShock untuk PS4, alat kawalan Xbox dan juga Joy-con untuk Nintendo Switch ataupun mana-mana alat kawalan MFi. Sokongan ini adalah sangat baik, dan dua alat kawaslan yang saya sering guna adalah DualSense serta joy-con untuk menjadikan Apple TV bagaikan satu konsol permainan video. Setiap alat kawalan ini juga kemudiannya boleh digunakan untuk mengawal Apple TV termasuk juga semasa tidak bermain permainan.
Secara keseluruhan, Apple TV menyokong sehingga 4 alat kawalan pada satu masa yang bersesuaian jika anda ingin bermain permainan secara multi-pemain. Bagi Joy-con anda juga boleh menggunakan setiap belah untuknya sebagai satu alat kawalan sendiri. Oleh itu, dengan sepasang joy-con anda juga boleh jadikannya sebagai dua alat kawalan.
Bagi prestasi, kesemua permainan yang saya cuba boleh dimainkan dengan sangat baik, terutama dengan penggunaan A15 Bionic yang walaupun merupakan cip pemprosesan yang dikeluarkan lebih setahun yang lepas akan tetapi masih lagi berkuasa untuk memainkan mana-mana permainan dengan baik.
Rumusan
Apple TV 4K (2022) adalah kotak penghubung televisyen yang bukan sahaja terbaru tetapi juga terbaik dari Apple terutama dengan lompatan cip pemprosesan yang besar berbanding dengan generasi sebelum ini. Penggunaan cip ini membantu untuk memberikan prestasi yang pantas bukan sahaja untuk kegunaan umum seperti membuka aplikasi ataupun permainan, mencari kandungan, tetapi juga semasa bermain permainan video walaupun permainan yang mempunyai keinginan grafik yang tinggi.
Pengalaman umum penggunaan umum juga adalah baik dan seperti yang diharapkan daripada satu kotak penghubung televisyen. Namun, ia adalah lebih baik jika menyokong fungsi folder dan aplikasi-aplikasi pihak ketiga boleh integrasi dengan lebih baik di dalam keseluruhan sistem Apple TV ini untuk mempertingkatkan lagi pengalaman penggunaan.