Take-Two Interactive Bakal Mengambil-Alih Gearbox Entertainment

Embracer Group telah mengumumkan yang persetujuan dicapai untuk Take-Two Interactive mengambil-alih Gearbox Entertainment iaitu studio permainan yang popular dengan permainan seperti Borderlands. Pengambil-alihan ini bernilai $460 juta (RM2.1 bilion) yang dibayar melalui pegangan saham Take-Two.

Melalui transaksi ini, Gearbox Software, Gearbox Montreal, Gearbox Studio Quebec bersama dengan IP seperti Borderlands, Tiny Tina’s Wonderlands, Homeworld, Risk of Rain, Borthers in Arms dan Duke Nukem akan menjadi hak milik Take-Two.

Manakala Gearbox Publishing San Francisco yang akan dijenama semula sebelum ditutup, pemilik kepada IP seperti Remnant, Hyper Light Breaker dan beberapa permainan yang tidak diumumkan lagi akan kekal dengan Embracer Group bersama dengan Cryptic Studios, Lost Boys Interactive dan Captured Dimensions.

Pengasas Gearbox Entertainment melalui pengumuman yang dilakukan di X mengatakan menyertai Take-Two Interactive dan 2K akan membantu untuk meningkatkan mereka ke tahap yang lebih baik dan sangat teruja dengan prospek seterusnya untuk mereka.

Gearbox dan Take-Two melalui subsidiari mereka iaitu 2K sebelum ini sudah bekerjasama untuk menerbitkan permainan seperti Borderlands dan Duke Nukem.

Embracer Group mengambil-alih Gearbox Entertainment pada tahun 2021 dengan kos sekitar RM5 bilion. Pada bulan Jun tahun lepas, mereka telah mengumumkan penstrukturan semula, dan penjualan Gearbox Enterainment ini merupakan sebahagian daripadanya.

Sohor Kini