Skip to main content

Selamat Tahun Baharu! Mungkin sedikit terlambat, akan tetapi kita akhirnya memasuki tahun baharu dan bersama dengan tahun, permainan-permainan baharu juga akan tiba sepanjang tahun ini. Jika anda ingin melihat permainan-permainan menarik yang akan tiba pada tahun ini, anda boleh baca artikel yang kami terbitkan sebelum ini – 10 Permainan Menarik Untuk Tahun 2024.

Bagi anda yang tidak ingin melihat terlalu jauh, melalui artikel ini, kami akan senaraikan permainan-permainan menarik yang akan tiba bulan ini (susunan adalah mengikut tarikh pelancaran):

Prince of Persia: The Lost Crown

Tarikh Pelancaran: 18 Januari 2024
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC

Lebih 13 tahun tanpa permainan baharu, Ubisoft akhirnya kembali menghidupkan IP Prince of Persia melalui permainan The Lost Crown ini. Ia merupakan permainan 2.5D side-scrolling dan memfokuskan kepada watak baharu iaitu Sargon yang merupakan anggota ‘The Immortals’ dan ditugaskan untuk menyelamat Prince Ghassan dari Mount Qaf.

Baca: Ulasan Prince of Persia: The Lost Crown

The Last of Us Part II Remastered

Tarikh Pelancaran: 19 Januari 2024
Platform: PS5

Dikeluarkan pada tahun 2020 untuk PlayStation 4, The Last of Us Part II adalah permainan terbaik tahun tersebut. Walaupun, The Last of Us Part II boleh dimainkan di PS5 melalui fungsi keserasian belakang, akan tetapi ia menyertakan sedikit sahaja penambah-baikkan. Melalui versi Remastered ini, Naughty Dog ingin membawa penambahan yang lebih baik dan juga mod permainan baharu. Pemilik permainan asal juga boleh naik taraf dengan harga RM40.

Baca: Ulasan The Last of Us Part II Remastered

Like a Dragon: Infinite Wealth

Tarikh Pelancaran: 26 Januari 2024
Platform: PlayStation, Xbox, PC

Like a Dragon iaitu nama baharu bagi siri permainan Yakuza akhirnya menggabungkan dua watak utama, iaitu Ichiban Kasuga yang diperkenalkan melalui permainan pertama Like a Dragon, dan Kazuma Kiryu yang membawa identiti baharu selepas kejadian di dalam siri permainan Yakuza. Infinite Wealth juga membawa tatamain baharu yang meneruskan pertempuran mengikut turutan tetapi lebih aktif.

Tekken 8

Tarikh Pelancaran: 26 Januari 2024
Platform: PS5, Xbox Series, PC

Lebih 8 tahun selepas Tekken 7 dikeluarkan, pemain akan diberikan siri baharu untuk permainan pertempuran popular ini. Seperti yang dinyatakan oleh pengarah untuk Tekken 8, Katsuhiro Harada, tatamain kali ini akan memfokuskan untuk menjadikan pertempuran lebih agresif dan akan memberi kelebihan kepada pemain yang lebih aktif menyerang berbanding bertahan. Terdapat 32 watak yang akan disertakan semasa pelancaran dengan lebih banyak akan tiba melalui DLC.

One Punch Man: World

Tarikh Pelancaran: 30 Januari 2024
Platform: PC, iOS, Android

Satu lagi permainan mudah alih berdasarkan siri manga dan anime popular iaitu One Punch Man akan tiba dan di dalam permainan ini, dikatakan pemain boleh mengembara dan berjumpa dengan adiwira-adiwira lain. Seperti kebanyakan permainan mudah alih yang lain, ia adalah permainan percuma untuk dimainkan dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi termasuk juga pemain boleh mendapatkan watak-watak melalui sistem kotak tikam.

Leave a Reply