Skip to main content

Kita sudah melihat kembali tahun 2023 dengan artikel Filem Terbaik 2023, Siri TV Terbaik 2023 dan Permainan Terbaik 2023, oleh itu kali ini sebelum kita mengakhiri tahun 2023 ini, kita juga melihat kedepan dan melalui artikel ini, kami akan kongsikan 10 permainan menarik yang akan dikeluarkan pada tahun 2024, namun seperti biasa dengan tarikh pelancaran mungkin akan ditukar, senarai ini mungkin akan berubah dari semasa ke semasa.

Berikut adalah 10 permainan menarik untuk tahun 2024:

Like a Dragon: Infinite Wealth

Ini adalah permainan kedua untuk Like a Dragon yang melibatkan Ichiban Kasuga, tetapi menariknya ia juga akan melibatkan Kazuma Kiryu yang akan membawa identiti baharu selepas kejadian di dalam permainan Yakuza sebelum ini dan juga Like a Dragon Gaiden yang tersenarai antara permainan terbaik untuk tahun ini. Permainan ini juga akan menambah-baik tatamain daripada permainan lepas dengan menggabungkan pertempuran mengikut turutan dengan aksi yang lebih aktif. Like a Dragon: Infinite Wealth diumumkan akan tiba pada 26 Januari 2024 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.

Tekken 8

Permainan baharu untuk siri permainan perlawanan terkenal ini akan menemui pemain pada 26 Januari 2024 di PlayStation 5, Xbox Series dan PC. Tekken 8 dikatakan akan memfokuskan kepada sesi pertempuran yang lebih agresif dengan pengenalan sistem baharu iaitu “Heat”. Permainan ini juga akan mempunyai persekitaran yang lebih interaktif untuk memberikan pengalaman yang lebih mendalam semasa sesi pertempuran.

Final Fantasy VII Rebirth

Dengan kejadian yang berlaku di dalam Final Fantasy VII Remake, penceritaan untuk Final Fantasy VII Rebirth akan menjadi lebih menarik kerana kita boleh jangkakan yang ia akan menjadi berlainan dengan apa yang kita sudah alami melalui permainan asal. Permainan kedua di dalam trilogi ini akan mengembangkan lagi dunia untuk pemain mengembara termasuk juga boleh menggunakan Chocobos. Pertempuran mengikut permainan sebelum ini dengan mekanik Synergized daripada DLC akan dibawa ke dalam permainan ini. Final Fantasy VII Rebirth akan dilancarkan pada 29 Februari 2024 untuk PlayStation 5.

Rise of the Ronin

Permainan seterusnya oleh pembangun Nioh ini sudah semestinya dinanti-nanti ramai terutama dengan premis permainan yang sangat menarik. Di dalam Rise of the Ronin, pemain boleh menghasilkan watak sendiri dan dapat memilih jalan cerita sendiri dengan bersama ataupun melawan watak-watak lain yang ada di dalam permainan ini. Selain itu, permainan ini juga menjanjikan dunia yang menarik untuk diteroka menggunakan pelbagai cara yang berbeza. Rise of the Ronin akan dilancarkan pada 22 Mac 2024 untuk PlayStation 5.

Dragon’s Dogma 2

Penantian selama 12 tahun akan berakhir tidak lama lagi apabila Capcom akhirnya hadir dengan permainan baharu bagi siri Dragon’s Dogma iaitu Dragon’s Dogma 2. Permainan ini akan dilancarkan pada 22 Mac 2024 untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC. Seperti permainan pertama, pemain akan menjadi Arisen iaitu orang yang telah diambil jantungnya oleh naga. Dragon’s Dogma membawa semula mekanik ‘vocation’ tetapi kali ini ia juga akan menerima versi hibrid.

Eiyuden Chronicles: Hundred Heroes

Bagi peminat siri permainan Suikoden, Eiyuden Chronicles: Hundred Heroes sudah semestinya permainan yang dinanti-nantikan kerana ia boleh dikatakan sebagai satu permainan susulan kerana dibangunkan oleh pembangun yang sama dan membawa tatamain yang lebih kurang tetapi ditambah dengan perkara-perkara yang baharu. Eiyuden Chronicles: Hundred Heroes akan dilancarkan pada 23 April 2024 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC.

Black Myth: Wukong

Permainan oleh pembangun dari China, Game Science menarik minat pemain melalui beberapa video yang dikongsi termasuk juga treler tatamain selama 12 minit yang memperlihatkan aksi perlawanan yang menarik dengan pemain sebagai Wukong mempunyai pelbagai serangan berbeza dan juga boleh berubah untuk menjadi binatang lain. Permainan ini diumumkan akan tiba pada 20 Ogos 2024 untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC.

Zenless Zone Zero

Permainan seterusnya oleh HoYoverse iaitu pembangun untuk Genshin Impact dan Honkai: Star Rail, Zenless Zone Zero menjanjikan tatamain yang berbeza dengan permainan-permainan mereka sebelum ini tetapi mengekalkan elemen penceritaan menarik dan pelbagai watak yang boleh didapatkan oleh pemain. Permainan ini sudah beberapa kali melalui sesi beta tertutup dengan pelancaran sudah diumumkan pada tahun 2024 untuk PC, iOS dan Android.

Avowed

Obsidian Entertainment yang sebelum ini telah hadir dengan permainan ‘alternatif’ untuk Fallout melalui The Outer Worlds, permainan akan datang mereka iaitu Avowed boleh kita katakan sebagai permainan alternatif untuk The Elder Scrolls. Walaupun masih tidak banyak maklumat mengenai permainan ini, namun ia akan berlaku di dalam dunia yang sama dengan Pillars of Eternity iaitu antara permainan RPG yang sangat baik dengan dunia yang menarik. Buat masa ini, Avowed diumumkan akan tiba sekitar tahun 2024 untuk Xbox Series dan PC.

Metaphor: ReFantazio

Metaphor: ReFantazio adalah permainan asli pertama oleh Studio Zero iaitu studio yang ditubuhkan pada tahun 2016 oleh Atlus dan melibatkan pembangun-pembangun yang pernah terlibat dengan permainan Megami Tensei dan juga Persona. Permainan ini akan membawa dunia baharu yang mengambil inspirasi daripada Eropah. Permainan ini akan dilancarkan pada akhir tahun ini untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox Series, dan PC.

Leave a Reply