Skip to main content

Penantian lebih 13 tahun untuk permainan terbaru Prince of Persia berakhir dengan pelancaran Prince of Persia The Lost Crown pada 18 Januari 2024. Ia bukanlah permainan yang meneruskan tatamain seperti permainan-permainan sebelum ini, sebaliknya ia hadir dengan tamamain yang baharu untuk siri ini, ataupun saya juga boleh katakan ia kembali kepada gaya seperti permainan pertama dan kedua untuk siri ini, sebelum menjadi antara permainan terawal menggunakan teknologi 3D. Selepas meluangkan masa lebih kurang 23 jam, saya sangat menyukai Prince of Persia The Lost Crown, dan jika mereka mengambil keputusan untuk terus kekal dengan tatamain sebegini saya tidak mempunyai sebarang masalah.

Penceritaan untuk Prince of Persia The Lost Crown memfokuskan kepada watak Sargon yang merupakan sebahagian daripada puak pahlawan ‘The Immortals’ bersama dengan beberapa lagi rakannya. Selepas Putera Ghassan diculik, Sargon bersama rakan-rakannya perlu ke Gunung Qaf yang juga digelar sebagai bandar sumpahan. Tibanya mereka di sana, mereka mula menyedari yang masa bergerak secara berlainan untuk mereka. Penceritaan yang disampaikan adalah baik, dan sesuatu yang saya jarang katakan apabila bercakap mengenai permainan Ubisoft, penceritaan menarik minta saya untuk terus mengetahui lanjut mengenai apa yang berlaku kepada Putera Ghassan dan juga Gunung Qaf. Penceritaan tutur disampaikan melaluk adegan, sesuatu yang saya boleh katakan jarang untuk permainan genre ini, cuma agak aneh ada beberapa adegan yang terasa terhenti secara mengejut, menjadikan ia agak janggal.

Seperti saya katakan sebelum ini, The Lost Crown bukan permainan 3D tetapi ia adalah permainan 2.5D side-scrolling yang menekankan kepada elemen pengembaraan, perangkap, tekaria dan juga misteri. Pemain akan disertakan satu kawasan yang mempunyai pelbagai cabang, dan pemain akan meluangkan masa untuk pergi ke tempat baharu, kembali ke tempat sebelum ini, seperti kebiasaan untuk permainan gaya metroidvania ini. Memasuki kawasan baharu, ataupun menjumpai kawasan rahsia adalah perkara yang saya paling suka mengenai permainan ini, saya boleh memasuki satu kawasan dan melihat ada peti, berbanding memberi barangan ia adalah perangkap yang memerlukan saya untuk bergerak pantas.

The Lost Crown mempunyai peta yang agak luas, tetapi selepas melalui kebanyakan kawasan ini, melaluinya adalah senang dan saya tidak merasakan sesiapa akan mempunyai masalah untuk menuju ke sesuatu tempat. Ia juga menyertakan beberapa kawasan yang boleh melakukan perjalanan pantas dan juga ‘checkpoint’ yang digelar sebagai Wak-Wak Tree yang akan menyembuh dan juga menjadi tempat pemain akan kembali apabila mati. Sepanjang pengembaraan, saya akan menjumpai pelbagai perkara yang tidak boleh diakses pada awalnya kerana kekurangan kebolehan, permainan ini memastikan saya tidak melupakan kawasan tersebut dengan menyertakan ‘Memory’ iaitu seakan screenshot, tetapi ia akan diletakkan di dalam peta.

Permainan di dalam genre ini kebiasaan menjadikan pertempuran dan platforming yang sukar sebagai penarik utama dan The Lost Crown juga menyertakannya walaupun tidaklah sukar seperti Hollow Knight, namun masih lagi mencabar terutama jika bermain dengan tahap kesukaran yang lebih tinggi. Bercakap mengenai tahap kesukaran, permainan ini menyertakan pelbagai tetapan untuk menjadikannya lebih sukar ataupun lebih senang. Selain mempunyai 4 tetapan tahap kesukaran berbeza, saya juga boleh menetapkan tetapan tersendiri. Jika anda tidak menyukai platforming, sesuatu yang saya boleh katakan sangat menarik di dalam permainan ini, terdapat juga tetapan untuk anda tidak perlu bersusah payah melakukannya. Kepelbagaian tetapan bagi saya lebih memudahkan saya untuk mencadangkan permainan ini kepada lebih ramai pemain, terutama yang tidak biasa dengan genre ini.

Bagi pertempuran pula, saya juga menyukainya, gerakan terasa kemas dan sangat responsif dengan input saya sertakan. Pergerakan adalah ringkas, akan tetapi pada masa yang sama mempunyai pelbagai helah untuk mengelak daripada terbunuh. Saya juga boleh melakukan kombo, seperti memukul penjahat ke udara, terus menyerang menggunakan panah, sebelum menghempasnya apabila ia terjatuh ke tanah. Pelbagai kombo ini menjadikan pertempuran lebih menarik. Permainan ini juga mementingkan untuk mengelak dan juga parry, jika anda melakukan parry untuk serangan tertentu, ia juga akan memperlihatkan serangan dalam bentuk ‘cut scene’. Penggunaan pelbagai senjata juga menjadikan pertempuran lebih menarik, seperti panah, saya juga boleh membaling untuk menjadikannya seperti boomerang yang juga perlu digunakan untuk platforming dan menyelesaikan tekaria.

Rekaan kawasan pula, ia adalah seperti yang saya sudah jangkakan daripada Ubisoft, mereka hadir dengan kawasan-kawasan yang sangat menarik untuk diteroka. Dengan pelbagai elemen misteri yang diterapkan, setiap sudut kawasan ada sahaja perkara yang unik ataupun kejutan tersendiri. Prestasi permainan juga tiada masalah, saya bermain di PlayStation 5 dan ia boleh dimainkan dengan baik. Saya menjumpai beberapa pepijat terutama semasa dialog dengan NPC, namun ia mudah untuk diselesaikan dengan jeda ataupun memasuki bahagian menu. Rekaan watak, NPC dan juga penjahat juga adalah baik dengan setiap daripada mereka mempunyai rekaan tersendiri dan benar-benar menggambarkan dunia Prince of Persia.

Akhir kata, Prince of Persia The Lost Crown adalah satu permainan yang sangat baik, bahkan saya boleh katakan antara permainan terbaik yang dikeluarkan oleh Ubisoft untuk dua tiga tahun kebelakangan ini. Ia bukan sahaja mempunyai penceritaan yang baik, tetapi tatamain juga sangat menyeronokkan membawa pelbagai perkara yang baik daripada genre ini dan dibalut dengan penceritaan serta rekaan dunia Prince of Persia yang menawan. Ia adalah satu permainan untuk semua, jika anda tidak menyukai genre ini yang mungkin sukar ia mempunyai pelbagai tetapan untuk menjadikan permainan lebih mudah, dan juga lebih mencabar jika inginkannya.

Penafian: Kod permainan Prince of Persia The Lost Crown disediakan oleh Ubisoft bagi tujuan ulasan ini.

Prince of Persia The Lost Crown
Prince of Persia The Lost Crown adalah satu permainan yang sangat baik, bahkan saya boleh katakan antara permainan terbaik yang dikeluarkan oleh Ubisoft untuk dua tiga tahun kebelakangan ini. Ia bukan sahaja mempunyai penceritaan yang baik, tetapi tatamain juga sangat menyeronokkan membawa pelbagai perkara yang baik daripada genre ini dan dibalut dengan penceritaan serta rekaan dunia Prince of Persia yang menawan.
Positif
Penceritaan Yang Memuaskan
Tatamain Yang Menarik
Rekaan Dunia dan Watak Yang Baik
Negatif
Ada Beberapa Pepijat Kecil
Sesetengah Adegan Tamat Secara Mengejut
9

Leave a Reply